`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, April 6, 2025

Bantuan beriman, tak beriman

 

hishamuddin-aun

Kepada pentaasub, bantuan kepada mereka yang memerlukan rupa-rupanya boleh dibeza-bezakan antara penyumbang beriman dan tak beriman. Daripada memikirkan penerima yang berhak mendapat simpati dan bantuan, pertikaian sebaliknya berkisar kepada ‘cop halal’ sumbangan yang diterima.

Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ruslina Hanani Rusli, yang menetap di Permatang Pauh – juga menjadi anak angkat Menteri Sumber Manusia Steven Sim — yang menjadi mangsa buli siber sehingga keluarganya turut diaibkan.

Alkisahnya, Ruslina mengalami kemalangan beberapa hari sebelum hari raya yang menyebabkannya terlantar di rumah. Diziarahi Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Mohamad Jan yang turut menghulurkan sumbangan RM100, video lawatan itu mengundang seorang pentaasub yang memuat naik satu hantaran mencemuh keluarga berkenaan.

Tanpa mengetahui Sim menghantar pegawainya melawat Ruslina pada hari kejadian lagi dan memberi bantuan, pengguna akaun Sayapkiri914 di TikTok mempertikaikan ke mana pergi bapa angkatnya itu yang tahun lalu menyumbangkan RM3,000 untuk kemasukannya ke UTeM selain duit belanja RM200 sebulan. Fawwaz turut menyumbang RM150 ketika itu.

“Mana pi pak angkat tak kerat…kesayangan yang hang kata bagus sangat tu? Anak angkat kemalangan patah riuk, pak angkat langsung tak mai jenguk ka? Tak ada otak ka nak pikiaq. Pak angkat hang tu baru ja huloq tiga ribu teruih dah tak reti nak beza hat mana hat beriman, hat mana tak beriman,” katanya.

Apa lagi daripada asalnya hantaran itu – videonya telah dipadamkan — bertalu-talulah hantaran balas yang menghentamnya sehingga ada yang menyimpulkan kata-kata kesatnya itu sebagai membayangkan makin jelas budaya toksik yang diterapkan oleh PAS dalam kalangan penyokongnya.

Dalam mempersoalkan bantuan daripada orang beriman dan tak beriman, seorang pengomen lain pula menonjolkan akhlak buruk dan tak beradab ‘cybertrooper’ berkenaan yang ditegur supaya mencermin diri dahulu sebelum menghakimi orang lain.

Sim sendiri – yang Disember lalu membantu tujuh sekeluarga dari Kelantan dengan menyediakan rumah dan mendapatkan pekerjaan buat ketua keluarga itu — mengecam tindakan pembangkang yang menjadikan anak angkatnya sebagai sasaran maki-hamun mereka.

“Pembangkang nak maki-hamun kat saya takpa, saya maafkan. Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya. Mereka orang susah, dah ditimpa musibah. Perbezaan politik tidak boleh melintasi garis kesopanan, berpolitik biar berpada-pada,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu di laman X.

Anehnya, tiada daripada kepimpinan PAS yang tampil untuk menjernihkan keadaan atau cuba menjarakkan diri dengan cybertrooper berkenaan sehingga ada warga maya yang menganggapnya sebagai merestui kenyataan biadab dan tidak berakhlak itu.

Ke mana perginya Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari atau Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff, soal mereka.

Timbul juga dakwaan masih ada yang masih berdendam dengan bapa Ruslina, Rusli Ahmad, 59 – bekas ahli jawatankuasa PAS Permatang Pauh – yang tahun lalu memohon bantuan Sim untuk kemasukan anaknya ke UTeM selepas permohonan serupa ke pusat khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh cuma mendapat RM150.

Satu tangkap layar Kelab Penyokong PAS Malaysia beberapa hari lalu memaparkan foto Rusli yang berpakaian seragam pengawal keselamatan dengan kapsyen “Kenapa perlu jadi bangsat untuk sedikit nikmat dunia?”

Satu laporan Sinar Harian pada Jumaat turut memetiknya sebagai mengakui mengalami tekanan emosi selepas keluarganya dikecam secara terbuka oleh seorang pengguna TikTok.

“Anak saya mengalami kemalangan beberapa hari sebelum Aidilfitri dan berikutan kejadian itu, YB Permatang Pauh datang melawat serta menghulurkan sumbangan RM100 kepadanya. Berikutan video lawatan YB itu, ada yang mengecam tindakan Hanani menerima sumbangan tersebut dan mempertikaikan mengapa dia tidak dibantu oleh ayah angkatnya (Steven Sim) selain dihina dengan pelbagai kata-kata yang menyakitkan hati,” katanya.

Kesal dengan kecaman di media sosial, Rusli berkata dia sudah memulangkan wang sumbangan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada pegawainya di samping sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengguna TikTok berkenaan.

Selepas berhari-hari isu itu menjadi tular, terbit satu video terbaru di akaun MATT MAN pada Sabtu didakwa daripada seorang petugas pusat khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang mempertahankan Fawwaz sambil menolak video terdahulu oleh Sayapkiri914 ada kaitan dengannya.

“Aku sebagai orang yang berkhidmat di pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh dan DUN Permatang Pasir nak cerita Ustaz Fawwaz dapat makluman anak pakcik Rusli ni kemalangan mintaklah ustaz pi ziarah. Ustaz pun pi lah dengan pegawai media dia. Pegawai media dia ambil video.

“Kemudian video tu menjadi isu sebab ada seorang yang komen dengan kata-kata pada anak pak cik Rusli tu macam-macam la. Jadi orang yang pi komen, maki-hamun macam-macam ni dia tak ada kena-mengena dengan pusat khidmat, tak ada kena-mengena dengan PAS Permatang Pauh, Ahli Parlimen Permatang Pauh, kemudian hangpa nak maki Ahli Parlimen Permatang Pauh kononnya bagi seratus nak ungkit. Apa ni hangpa dok merepek isu dia?

“Difahamkan pak cik Rusli katanya nak buat laporan polis, baguslah polis siasat. Dia tak ada kena-mengena dengan pusat khidmat, dia pun bukan ahli PAS. Sama juga dengan walanon buat kerja ambik video hentam pembangkang, ini video TikTok orang ambik balun, isu ni pulak isu politik. Jadi janganlah kaitkan Ustaz Fawwaz konon dok ungkit, ustaz tak pernah ungkit, dia bagi ikut kemampuan dia,” katanya.

“Dalam isu Ahli Parlimen Permatang Pauh ni, sakit hati hangpa kalah Permatang Pauh ni tak habis lagi sampai ke la ni. Jadi hangpa memang akan cari apa saja isu di Permatang Pauh ni untuk membunuh karakter Ustaz Fawwaz. Orang yang cuba nak memfitnah, nak bunuh karakter Ustaz Fawwaz ni, moga Allah balas niat jahat hangpa, semoga Allah beri taufik hidayah kat hangpa,” katanya.

Kepada isu asal dibangkitkan berkait bantuan daripada orang beriman atau tak beriman, kita nak tanya apa bezanya dengan pesakit yang terima darah atau pemindahan organ seperti buah pinggang yang tiada ‘cop halal’ di bungkusannya? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.