`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Friday, June 6, 2025

Pustakawan ejen transformasi sosial, galak budaya membaca, kata Aaron

 Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata pustakawan memainkan peranan penting dalam pembinaan negara bangsa dan nilai murni.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata Hari Pustakawan bukan sahaja mengiktiraf sumbangan besar golongan itu malah mengangkat profesion tersebut sebagai pemacu utama pembangunan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
 Pustakawan bukan sekadar penjaga bahan bacaan tetapi juga berfungsi sebagai ejen transformasi sosial, pemudah cara maklumat dan penggalak kepada budaya membaca yang inklusif, kata Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.

Sempena Hari Pustakawan yang disambut hari ini, beliau berkata golongan itu memainkan peranan penting dalam pembinaan negara bangsa dan pembudayaan nilai murni selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembentukan masyarakat berilmu, bersatu padu serta berbudaya tinggi.

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang.

“Kecemerlangan sesebuah negara bergantung kepada tahap keilmuan dan kesatuan rakyatnya. Justeru, peranan pustakawan adalah sangat strategik dalam menyemai semangat cintakan ilmu, membina sahsiah masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan.

Aaron berkata Hari Pustakawan bukan sahaja mengiktiraf sumbangan besar golongan itu malah mengangkat profesion tersebut sebagai pemacu utama pembangunan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan.

Beliau berkata kini terdapat 1,149 pustakawan di Malaysia dengan 148 daripadanya di Perpustakaan Negara, perpustakaan awam negeri (139), perpustakaan komuniti (1), perpustakaan khusus (210) dan perpustakaan akademik (651).

Menurut Aaron, Kementerian Perpaduan Negara juga amat menghargai komitmen para pustakawan dalam menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030 yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang 2030.

“Usaha ini memerlukan keterlibatan aktif semua pihak dan para pustakawan berada di barisan hadapan dalam mendorong tabiat membaca, memperkasa literasi digital serta membina masyarakat celik maklumat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.