`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 22, 2026

SKMM masih siasat kenyataan Anwar terhadap Muhyiddin, kata Fahmi

Menteri komunikasi merujuk kenyataan perdana menteri bahawa Ahli Parlimen Pagoh pertahan beri subsidi kepada warga asing.

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim nyata keterbukaan memohon maaf kepada Muhyiddin Yassin, namun masih menunggu siasatan SKMM berkait tiga sumber maklumat yang dirujuk palsu atau sebaliknya.
PETALING JAYA:
 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan siasatan berhubung kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengaitkan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin dengan tindakan mempertahankan pemberian subsidi kepada warga asing.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata siasatan itu dijalankan di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“SKMM telah menerima satu laporan daripada orang awam berkaitan kandungan yang melibatkan Ahli Parlimen Pagoh berhubung isu subsidi petrol kepada warga asing.

“Buat masa ini, siasatan tersebut masih dijalankan selaras dengan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan belum dimuktamadkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta dinyatakan hasil siasatan SKMM terhadap kenyataan Anwar pada 5 Ogos 2025, yang membuat dakwaan berhubung isu subsidi diesel untuk warga asing, memandangkan lebih empat bulan telah berlalu dan bertanya jika perdana menteri akan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf sekiranya tidak benar.

Pada Ogos tahun lalu, Anwar berkata beliau terbuka memohon maaf kepada Muhyiddin selepas mendakwa presiden Bersatu itu mempertahankan pemberian subsidi kepada warga asing.

Namun, sebelum sebarang permohonan maaf dibuat, Anwar menjelaskan beliau masih menunggu hasil siasatan SKMM bagi menentukan sama ada tiga sumber maklumat yang dirujuk itu palsu atau sebaliknya.

Susulan itu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri, berkata Anwar masih belum memohon maaf berhubung dakwaan tersebut.

Muhyiddin turut berkata, beliau masih belum menerima sebarang laporan daripada SKMM berhubung sama ada sumber maklumat yang dirujuk itu palsu atau sebaliknya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.