Presiden MCA Wee Ka Siong tepis dakwaan itu sebagai tidak logik dan cubaan merosakkan imej BN.

Katanya, dakwaan itu tidak masuk akal kerana ketiadaan pertandingan di sesetengah kerusi bukan bukti wujudnya kerjasama politik antara parti.
“Kalau mereka anggap satu parti tidak bertanding sebab ada kolaborasi, bolehkah saya pula anggap bila PN tidak bertanding di sesuatu kerusi, itu bermaksud mereka juga bersubahat dengan parti lain?
“Ini semua tidak masuk akal. Mereka cuba merosakkan imej parti lain dengan mereka-reka cerita. Rakyat bukan bodoh,” katanya kepada pemberita, selepas program ramah mesra di Paloh.
Sementara itu, MCA akan tumpu kepada rekod pentadbiran Onn Hafiz Ghazi daripada melayan dakwaan bermotif politik, katanya.
Dakwaan kerjasama BN dan PN dalam PRN Johor timbul selepas beberapa pemimpin PN menggesa penyokong mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, Wee menolak dakwaan kemenangan BN di Johor akan membawa kepada pembebasan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Katanya, pengampunan tertakluk kepada lunas undang-undang dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukannya bergantung kepada keputusan PRN.
“Kalau proses itu tidak dipenuhi dan pengampunan tidak diperkenankan, maka seseorang banduan tetap perlu menjalani hukuman.
“Tak boleh kita gabungkan dua perkara ini seolah-olah kalau BN menang, seseorang itu akan terus dibebaskan. Tidak ada lunas undang-undang yang menyokong dakwaan itu,” katanya.
PRN Johor menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 56 kerusi DUN, manakala PN meletakkan calon di 33 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.