`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Sunday, November 22, 2026

MCA sukar cari sekutu baharu di luar BN

 MCA selama ini bergantung kepada sokongan pengundi Melayu yang disumbangkan Umno, selepas gagal peroleh kepercayaan majoriti pengundi Cina sejak 2008.

MCA mungkin boleh pertimbang kerjasama dengan parti bebas atau parti kecil, namun sebarang kerjasama berkemungkinan membabitkan BN, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
MCA berdepan kesukaran untuk mencari rakan kerjasama politik di luar Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu masih bergantung kepada sokongan Umno untuk memenangi kerusi, menurut penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata MCA selama ini bergantung kepada sokongan pengundi Melayu yang disumbangkan Umno, khususnya di kerusi campuran, selepas parti itu gagal memperoleh kepercayaan majoriti pengundi Cina sejak 2008.

Meskipun MCA memenangi kerusi dalam beberapa PRN kebelakangan ini, kejayaan itu tidak semestinya mencerminkan sokongan pengundi Cina kepada parti berkenaan, katanya.

“Kita sebagai pemerhati ni kita rasa agak tertanya-tanya MCA nak bekerjasama dengan siapa, sedangkan MCA boleh kita katakan sejak banyak dekad sangat bergantung kepada Umno kerana MCA hanya mampu menang di kawasan campuran di mana mempunyai jumlah pengundi Melayu yang signifikan.

“Kalau kawasan majoriti Cina selalunya MCA kalah,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, bahawa partinya terbuka kepada kemungkinan bekerjasama dengan parti lain, mengambil kira landskap politik negara yang kompleks dan ada kalanya musuh menjadi sekutu dan duduk semeja.

Semalam, Chong berkata MCA bersedia untuk berunding, berbincang dan bekerjasama dengan parti berbeza demi kestabilan politik dan masa depan negara.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

Mazlan bagaimanapun berkata pendirian itu menimbulkan persoalan mengenai parti yang ingin dijadikan sekutu, memandangkan Pakatan Harapan sudah mempunyai DAP yang mendapat sokongan besar pengundi Cina, manakala Perikatan Nasional pula mempunyai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia.

“Jika MCA mahu membuka kerjasama dengan pihak selain daripada Barisan Nasional itu, saya bimbang MCA akan kehilangan sokongan teras selama yang dia nikmati bersama Umno,” katanya.

“Untuk mendapatkan sokongan orang Cina ini, nampak jika MCA bekerjasama dengan PH saja ruang yang ada untuk dapat sokongan Cina. Tapi orang Cina dah banyak menyokong DAP.”

Mazlan berpandangan kenyataan Chong itu mungkin mencerminkan keinginan MCA meneroka peluang baharu dalam hubungan politik selepas sekian lama bersama Umno. Bagaimanapun, belum jelas baginya sama ada pendekatan itu mampu memberi kelebihan kepada MCA.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya MCA tidak mempunyai banyak pilihan untuk menjalin kerjasama dengan parti lain, terutama jika mahu kekal dalam BN.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Katanya, kerjasama dengan PN sukar direalisasikan jika Umno tidak bersetuju, melainkan MCA memilih untuk keluar BN dan menyertai gabungan itu secara langsung.

“Kalau MCA nak kerjasama dengan parti bawah PN, nampak seperti bertindih kerana BN pun dah kerjasama… saya tak rasa MCA boleh kerjasama dengan PN kecuali MCA keluar BN dan masuk PN jadi saya tak rasa MCA kerjasama dengan PN,” katanya.

Lau berkata MCA mungkin boleh mempertimbangkan kerjasama dengan parti bebas atau parti kecil seperti Muda dan Bersama, namun sebarang kerjasama berkemungkinan membabitkan BN sebagai gabungan, dan bukan MCA secara bersendirian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.