Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, kata Perlembagaan memperuntukkan kuasa pengampunan terletak pada Agong dan dilaksanakan menerusi lembaga pengampunan.

Asyraf berkata Perlembagaan memperuntukkan kuasa pengampunan terletak pada Agong dan dilaksanakan menerusi lembaga pengampunan, termasuk kuasa memberi pengampunan, mengurang atau meringankan hukuman.
“Jadi, apabila Agong sudah menitahkan perkara itu melalui proses yang sewajarnya, iaitu menerusi lembaga pengampunan, keputusan berkenaan tidak boleh dipertikaikan.
“Oleh itu, tiada keperluan untuk peguam negara diarahkan menghadap Agong bagi memberikan penjelasan,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi menjelaskan permasalahan sekitar pelaksanaan titah tahanan di rumah terhadap Najib.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan memperakui titah dan bidang kuasa Agong, dan membuat persiapan untuk memenuhi keputusan dan tanggungjawab melaksanakannya.
Semalam, Umno umum melunaskan denda RM50 juta dikenakan terhadap Najib selepas mengumpulkan dana menerusi kempen sumbangan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kemudian mengeluarkan perintah pelepasan selepas bayaran direkodkan, namun Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan pelaksanaan tahanan rumah wajar ditangguhkan sementara, bagi meneliti persoalan perundangan berkaitan perintah pengampunan dan kesan perintah mahkamah.
Hari ini, Istana Negara menegaskan sebarang tindakan mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah menjurus perbuatan mengingkari titah Agong.
Katanya, perintah pengampunan bersyarat itu adalah jelas, nyata, dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.
Istana Negara juga berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan, maka pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan raja berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Katanya, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat berkenaan telah dipenuhi dan tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran atau ketidakpastian berpanjangan mengenai pelaksanaannya.
Hari ini, AGC menjelaskan permohonan menangguhkan pelaksanaan tahanan di rumah Najib bukan percubaan mempertikaikan pengampunan bersyarat diberikan Agong.
Katanya, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda atau membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan rumah, atau sama ada perintah itu membawa kesan hukuman dalam kes SRC International telah selesai.
AGC berkata, ia mempunyai kaitan langsung dengan perintah Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB yang menetapkan hukuman penjara dalam kes terbabit hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani. - FMT







/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/85df72b92acd986c3dba81677c9e7270.jpg)

/file/1139/32ba0a08e61ec3915a4067660c36ebeb.jpeg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/cd3d425a124e65f827f444cd500f2d57.jpg)
/file/attachments/orphans/confirm11_129293.png)