Tawfik Yaakub berkata PN ada calon berpengalaman tetapi kepimpinan mereka gagal diterjemahkan kepada imej nasional merentasi sempadan ideologi, kaum dan generasi.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, PN sebenarnya mempunyai beberapa pemimpin berpengalaman seperti Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri.
“Saya melihat Samsuri dan Hamzah mempunyai kekuatan kepimpinan yang berbeza. Samsuri membawa imej teknokrat, profesional dan pengalaman mentadbir Terengganu manakala Hamzah mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan persekutuan serta politik nasional.
“Namun, cabaran utama mereka terletak pada sejauh mana kempimpinan itu dapat diterjemahkan kepada imej nasional yang merentasi sempadan ideologi, kaum, generasi dan wilayah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Anwar pula mempunyai sejarah politik nasional yang panjang, pengalaman diplomasi antarabangsa dan keterlihatan yang tinggi mendahului tokoh politik lain sebagai perdana menteri.
Katanya, ciri-ciri kepimpinan yang ada pada Anwar itu mewujudkan cabaran berbeza kepada mana-mana tokoh pembangkang untuk membina profil kepimpinan nasional sekali gus diangkat sebagai calon perdana menteri.
“Bagi saya isu sebenar bukan sekadar siapa yang mempunyai karisma tetapi bagaimana seseorang tokoh memperlihatkan kebolehan memimpin negara majmuk, mengemukakan penyelesaian ekonomi yang meyakinkan dan berkomunikasi secara berkesan dengan generasi muda,” katanya.
Tawfik juga berkata, PN juga perlu mencapai kesepakatan mengenai identiti kepimpinan yang mahu diketengahkan sama ada berteraskan pengalaman pentadbiran, pendekatan teknokratik atau gabungan kedua-duanya.
“Akhirnya saya fikir untuk menjadi calon perdana menteri perlu dinilai bukan berdasarkan populariti peribadi semata-mata tetapi juga keupayaan membentuk pasukan pentadbiran, menawarkan dasar yang jelas dan memperoleh kepercayaan masyarakat merentasi kelompok politik,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berpendapat kelebihan utama Anwar terletak pada pengalamannya yang panjang dalam aktiviti kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak usia muda sebelum menyertai politik.

Menurutnya, rekod perkhidmatan serta fasa jatuh bangun politik yang dilalui Anwar membentuk kebolehan perhubungan awam yang sukar ditandingi oleh mana-mana tokoh politik hari ini.
“Samsuri dan Hamzah masing-masing sibuk membina kerjaya awal sebagai saintis dan usahawan.
“Sebaliknya, Anwar sudah mula merakyatkan diri sejak muda dan berani meneroka persahabatan dengan kelompok bukan Melayu.
“Kebolehan berinteraksi dari peringkat akar umbi di kampung hingga ke pentas antarabangsa tanpa rasa rendah diri menjadikan Anwar calon yang amat sukar dicabar dari segi karisma dan diplomasi,” katanya.
Beliau menambah, untuk PN menampilkan seorang lagi calon perdana menteri dengan rekod pengalaman kemasyarakatan seumpama itu tanpa naungan kerajaan memerintah akan mengambil masa yang amat lama.
Semalam, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari mengakui PN berdepan cabaran mengetengahkan calon perdana menteri yang mampu menandingi pengaruh Anwar pada PRU16.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Anwar mempunyai kelebihan dari segi penampilan dan pendekatannya terhadap anak muda termasuk ketika menghadiri acara awam.
Beliau mengambil contoh kehadiran Anwar dalam acara MotoGP di Sepang, minggu lalu, apabila perdana menteri itu dilihat duduk di atas rumput bersama golongan muda, yang disifatkannya sebagai pendekatan berkesan dari segi imej dan persepsi awam. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.