Fleksibiliti pengeksportan itu terhad untuk aktiviti R&D, menurut Miti.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) memaklumkan pada masa ini, pelabur REE agak keberatan untuk melabur kerana ketiadaan jaminan bekalan bahan mentah yang stabil dalam negara.
Menurutnya, fleksibiliti pengeksportan itu terhad untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja.
“Tambahan pula, syarikat yang berkaitan hendaklah menunjukkan komitmen jelas mengenai kerjasama pembangunan fasiliti pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport bahan mentah REE,” menurut Miti.
Kementerian itu menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai pendirian tegas kerajaan berhubung perjanjian pembekalan oksida nadir bumi bernilai USD96 juta antara Lynas dengan Pentagon, Amerika Syarikat (AS).
Miti memaklumkan, strategi kementerian tertumpu kepada usaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa untuk membangunkan dan seterusnya memperkasa segmen industri REE pertengahan dan hiliran, terutamanya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.
Bagi menjayakan aspirasi membangunkan industri REE negara, Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik dan pemindahan teknologi dari dalam negara termasuk juga negara rakan yang berpengalaman dalam pemprosesan REE.
“Langkah ini bukan sahaja akan dapat mengukuhkan keupayaan tempatan merentasi seluruh rantaian nilai iaitu daripada aktiviti perlombongan sehinggalah kepada pembuatan produk akhir, malah akan menempatkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global mineral kritikal,” tambahnya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.