Penganalisis berkata keberadaan PKR di Putrajaya juga tidak memberi kelebihan kepada parti itu.

Jayum Jawan di Akademi Sains Negara berkata kerjasama pilihan raya dengan parti lain pada ketika ini hanya akan merugikan GPS, kerana ia akan memaksa blok memerintah itu memenuhi permintaan rakan baharu.

“Prestasi GPS adalah terbaik dengan ada 79 kerusi pada DUN ke-12. Ini setelah tiga Adun Parti Sarawak Bersatu (PSB) melompat ke Parti Demokratik Progresif (PDP), dan PSB pula dibubarkan. Selepas itu, pembangkang tinggal dua kerusi yang dipegang DAP,” katanya kepada FMT.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PDP, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). GPS melangkah ke PRN kali ini dengan pertaruhan di semua 82 kerusi.
Selasa lalu, PKR menyeru pintu kolaborasi politik mesti sentiasa terbuka selepas GPS menyatakan tidak akan melayan sebarang cadangan pakatan dengan mana-mana parti berpangkalan di Semenanjung pada PRN akan datang.
Seruan Naib Presiden Roland Engan itu sehari selepas jurucakap GPS, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerjasama antara parti di peringkat persekutuan tidak secara automatik bererti pakatan pilihan raya di Sarawak.
PRN lalu menyaksikan PKR tewas di semua yang ditandingi.

Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, berkata ketiadaan wakil rakyat bermakna calon pilihan raya PKR perlu bekerja lebih keras untuk memperkenalkan parti kepada pengundi dan meyakinkan mereka bahawa PKR mampu memberi khidmat secara berterusan.
“Kepercayaan seperti itu biasanya dibina antara pilihan raya, ketika penduduk melihat sendiri siapa yang membantu menyelesaikan aduan mereka,” katanya kepada FMT.
Jeniri percaya DAP berkemampuan untuk mempertahankan kerusi Padungan dan Pending daripada kemaraan GPS, sebaliknya PKR perlu membina semula kedudukan untuk memasuki DUN.
“Cabaran PKR lebih berat di luar bandar. Di kawasan yang penempatannya berjauhan, jentera perlu menjangkau kampung dan rumah panjang secara konsisten,” katanya.
“Sesungguhnya, GPS terlalu kuat untuk dilawan oleh PKR yang sudah begitu lemah di Sarawak.”
Jeniri menambah keberadaan PKR di Putrajaya juga tidak memberi kelebihan kepada parti itu, kerana GPS juga sebahagian daripada blok memerintah.
“GPS turut berada dalam kerajaan persekutuan dan boleh membawa rekodnya sendiri dalam memperjuangkan kepentingan negeri,” katanya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.