`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 


 




Thursday, November 5, 2026

Siapa munafik dan siapa dajal?

 Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghukum keimanan orang lain atau melemparkan gelaran munafik dan dajal.

tajuddin rasdi

Dalam tulisan ini saya ingin mengingatkan diri saya dan orang Melayu Islam yang lain supaya menjaga keimanan agar tidak terjebak dengan perkara yang boleh mengancam kedudukan kita di akhirat nanti.

Ini adalah berkaitan dengan suatu kumpulan orang Melayu Islam yang ‘galak’ sangat menghukum dan menuduh orang bukan Islam rakyat Malaysia sebagai kafir, musuh-musuh Islam dan ejen penjajah.

Lebih buruk lagi, kumpulan ini juga tidak terasa apa-apa dosa menuduh orang Islam lain sebagai munafik dan sebagai berkelakuan seperti dajal akhir zaman. Tuduhan liberal dan sesat kepada orang Melayu umat Islam daripada kumpulan itu dah jadi kebiasaan mereka.

Maka itu saya terpanggil untuk memberi peringatan walaupun saya bukan ustaz atau mufti atau profesor bidang Islam dan juga presiden NGO Islam seperti Abim dan Ikram sebabnya ada kebisuan dalam kalangan tersebut, entah kenapa.

Dalam pembacaan semua hadis-hadis koleksi saya seperti Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud dan Al-Muwatta versi terjemahan Inggeris serta juga At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibn Majah versi terjemahan Indonesia, saya terserempak dengan suatu hadis yang pada mulanya suatu misteri tetapi akhirnya menjadi pedoman serta ingatan saya sebagai seorang Muslim yang menjiwakan Sunnah Rasulullah dan bukannya perbuatan atau kata-kata ustaz dan agamawan lain:

Hadis sahih ini juga mengingatkan kita tentang pentingnya amalan dalam menentukan nasib kita di akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya, seseorang di antara kalian ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta, lalu takdir mendahuluinya, sehingga ia beramal dengan amalan ahli syurga dan masuklah ia ke dalam syurga. Sebaliknya, seseorang di antara kalian ada yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta, lalu takdir mendahuluinya, sehingga ia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pertama sekali saya berdepan hadis ini adalah versi Inggeris dan saya dapat versi Melayu ini dari internet. Saya amat terkejut apabila dikatakan Rasulullah supaya jangan kita anggap seseorang itu yang berkelakuan seperti orang jahat akan berakhir dengan ia ke neraka dan seorang yang berkelakuan seperti orang baik tidak semestinya berakhir dengan ditempatkan di syurga.

Bagi saya, kalau seorang yang berkelakuan tidak bermoral dan berniat jahat itu mungkin di akhir hayatnya akan menjadi baik kerana bertaubat dan membetulkan kesalahannya itu suatu kemungkinan dan suatu harapan baik.

Tetapi, saya terasa pelik bila merenung macam mana seorang yang ‘baik’ bersembahyang, berjuang atas nama Islam, memimpin parti politik Islam setengah abad ada kemungkinan berakhir di tempat selain syurga?

Saya memang tidak menyangka yang pada suatu hari nanti saya akan melihat dengan mata saya sendiri dan mendengar dengan telinga sendiri tokoh-tokoh Melayu umat Islam yang saya amat hormati dan sayangi mengubah kelakuan mereka 180 darjah menjadi orang yang berkelakuan tidak bermoral dan tidak berperasaan kemanusiaan langsung ketika saya dan mereka masih hidup di dunia ini.

Sejak saya kenal sedikit politik sewaktu umur dua puluhan bermula di Amerika Syarikat saya menjadi lebih matang sewaktu era Reformasi tahun 1998 ketika Anwar Ibrahim dipenjarakan, dimalukan dan dipukul separuh mati daripada orang Melayu Islam kita sendiri.

Ketika itu saya melihat institusi agama kesemuanya senyap seribu bahasa dan institusi pengajian tinggi duduk diam saja tak buat apa. Yang membantu Anwar adalah sebuah parti politik yang bertemakan perjuangan reformis Islam dan ia menjadi harapan dan payung saya selama hampir 15 tahun.

Pada saya, semua tokoh-tokoh parti ini memang perlu menjadi sanjungan dan ikutan orang Melayu umat Islam kerana kecekalan dan keikhlasan mereka melawan Umno dan Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Ia adalah Melayu lawan Melayu. Melayu Islam melawan Melayu nasionalis. Saya di dalam golongan Melayu Islam dan membenci Melayu nasionalis.

Walaupun kebencian saya terhadap Umno dan Mahathir amat besar sekali, tidak ada sekali pun saya pernah menuduh mereka itu munafik atau kafir atau menjadi ejen penjajah, jauh sekali sebagai musuh-musuh Islam.

Bagi saya perbalahan adalah kepada mereka yang terperangkap dengan konsep Islam tradisi dan Islam institusi maka reformis Islam perlu membebaskan mereka daripada belenggu tersebut.

Saya masih ingat reformis yang mengikuti reformasi tidak pernah membakar gambar tokoh-tokoh Umno atau menuduh mereka munafik serta mempunyai ciri dajal.

Memanglah ada sejarah seorang tokoh dan suatu parti itu mengkafirkan Umno tetapi saya, walaupun menjadi ahli parti tersebut, tidak pernah bersikap demikian.

Saya amat tergamam apabila saya melihat parti yang memperjuangkan Islam sebagai antiasabiyah atau perkauman tiba-tiba bersekongkol dengan parti yang memperjuangkan perkauman Melayu.

Saya berasa terkejut apabila dari lidah tokoh Melayu Islam sendiri terkeluar kata-kata kesat dan menghina kepada kaum bukan Islam serta menuduh kaum Islam lain sebagai bersahabat dengan musuh-musuh Islam dan penjajah.

Saya amat terkejut juga apabila tergamak ahli parti itu membaca Qunut Nazilah ke atas rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama yang menjadi lawan politik mereka.

Dan kini saya juga terkejut tentang lafaz munafik dan dajal yang dilemparkan kepada orang Melayu umat Islam yang berbeza polisi dan pandangan dalam politik.

Lebih teruk lagi parti itu mengutip derma jihad untuk mengiyakan fitnah jelas ahlinya ke atas orang bukan Islam yang lain demi ‘perjuangan menegakkan Islam’ dalam negara.

Kita semua akan meninggalkan dunia ini di akhir hayat kita. Apakah penjelasan kita bila berdepan dengan penghakiman akhirat nanti?

Adakah kita akan bergantung kepada argumen ‘demi perjuangan Islam’ maka any way is the halal way?

Janganlah kita ghairah sangat bertakbir dan bertempik Islam namun tergadai akhirnya iman dan jiwa kita kepada kemunafikan dan pendajjalan diri kita sendiri di akhir hayat nanti. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.