`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 3, 2023

Baddrol meluncur gelombang bawah panahan pengkritik

 

Bercucuran air mata Baddrol Bakhtiar ketika mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan dalam pasukan bola sepak Sabah FC dan penyokong seusai perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 Julai lalu.

Selepas 18 tahun bergelumang dalam bola sepak sejak 2005 yang memberikannya banyak kejayaan, sanjungan, dan kenangan manis, ia harus keputusan tidak mudah yang dibuatnya ketika itu untuk terjun ke bidang politik yang sama-sekali terlalu asing buatnya.

Dipercepatkan waktu ke hari penamaan calon Sabtu lalu, hidup Baddrol, 35, yang disahkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun, berubah dalam sekelip mata apabila dilabel tiada hala tuju dan boneka PN yang mahu mengeksploitasi popularitinya.

Bagaimana dia menghadapinya, sama ada terus beristiqomah, menyesali pilihan terburu-burunya atau menangis di dalam hati, tiada siapa tahu melainkan dirinya sendiri. Tetapi dari luarannya, dia nampak boleh menerima apa saja nasibnya.

Daripada sudah terbiasa dengan sorakan serta menjadi sanjungan, baik ketika mewakili pasukan kebangsaan, Kedah mahupun Sabah sebagai pasukan terakhirnya, dia harus kini membiasakan diri dengan reaksi amat berlawanan – cercaan dan jadi bahan dipersendakan.

Ia dimulai dengan ucapannya dalam satu program bersama penduduk di Gurun tatkala dia dilihat hanya tunduk membaca teks hingga digelar ‘Mat PDF’ oleh segelintir warganet. Sorakan yang sesekali terdengar turut menimbulkan persoalan kemungkinan ada yang ditugaskan berbuat demikian kerana intonasi suara Baddrol mendatar dari mula hingga akhir dan tidak mengangkat muka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahida Zarik Khan, turut mendakwa Baddrol tiada hala tuju dalam kempen PRN berikutan satu sesi temu bual pada hari penamaan calon di Dewan Lestari, Guar Chempedak, Kedah yang mendedahkan dia tidak betah menjawab soalan wartawan. Dalam temu bual bola sepak sebelum ini pun, dia tidak banyak bersuara.

Ketika ditanya soal manifesto yang bakal disajikan, Baddrol menepisnya dengan meminta orang ramai mengundinya terlebih dahulu sebelum boleh memaklumkan visinya bagi Gurun.

Tanpa berlengah, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menciapkan: “Macam-macam kejutan kempen kali ini. Ini kali pertama kali saya dengar manifesto akan menjadi ‘surprise’ dan kena undi dulu. Kalau PH, laju PN cakap (PH) tiada hala tuju.”

Rafizi jugalah yang sebelum ini mendedahkan seorang lagi bekas pemain bola sepak Kedah, Radhi Mat Din, yang dipilih untuk merebut DUN Alor Mengkudu, dihebahkan bersama tiga calon PAS yang lain sebagai berkelulusan dari sebuah universiti di Amerika Syarikat yang sebenarnya tidak wujud. PAS segera memohon maaf dan menawarkan alasan ia kesilapan ‘copy and paste’.

Dalam istilah politik yang mempercayai ‘sebarang bentuk publisiti baik atau buruk adalah lebih baik daripada tiada publisiti langsung’, pengenalan secara tidak terancang buat Baddrol itu mungkin juga baik baginya.

Bukan hairan jika cercaan mendedahkan dirinya yang sebenar sebagai orang baru yang tidak bermuka-muka tapi menyerlahkan keluhuran budinya untuk berbakti kepada masyarakat.

Lagipun, dia mungkin dijanjikan kemenangan oleh parti yang diwakilinya, dengan mereka yang akan bekerja keras untuknya sambil Baddrol hanya diperlukan untuk menunjukkan muka di majlis-majlis selain kunjungan dari rumah ke rumah.

Namun, bagi bekas ADUN Beserah dalam Parlimen Kuantan, Jamal Nasir Ismail, bekas pemain bola sepak yang pertama terpilih sebagai wakil rakyat bagi penggal 1995-1999, pembabitan Baddrol dalam politik bermula dengan langkah yang canggung hingga mendedahkannya sebagai tidak langsung berpengetahuan dalam sepak terajang politik.

“Saya dulu bukan terus terjun ke politik ketika masih bermain bola sepak tapi selepas habis bermain pada 1985. Selama 10 tahun sejak itu, saya aktif dalam jawatankuasa Pemuda Umno bahagian di mana saya terdedah untuk berucap, merasmikan mesyuarat, bergaul dengan masyarakat, dan mengetahui setiap masalah setempat.

“Bila terpilih sebagai calon pada 1995, saya sudah lama mempersiapkan diri dengan pengetahuan berpolitik. Tidak lagi rasa kekok dan sudah petah berucap di hadapan khalayak. Pendedahan secukupnya dalam politik itu penting kerana tiada siapa boleh bergantung kepada populariti dalam bola sepak, waima dalam bidang lain sekalipun, sebagai jaminan untuk jadi wakil rakyat,” katanya.

Kerana sudah terlajak untuk berpatah balik, nasihat Jamal buat Baddrol ialah menggandakan kerjanya dan mendampingi pengundi seramai yang boleh dalam baki tempoh berkempen sehingga tengah malam 11 Ogos, bagi memadamkan sebarang tanggapan negatif terhadapnya serta memenangi hati pengundi bagi memberinya peluang kali ini.

“Baddrol tak rugi apa pun kerana dia orang baru. Ambil contoh Radhi yang popular ketika kali pertama bertanding tapi tak menang juga. Mungkin Baddrol diberi jaminan boleh menang oleh partinya tapi cabaran baginya kini ialah mengalihkan sokongan pengundi atas pagar ke pihaknya,” katanya.

Namun, dalam politik, satu cabang seni yang apa saja berkemungkinan, peluang Baddrol untuk bergelar YB tidak sama sekali boleh diketepikan kerana beliau meluncur atau diluncurkan ‘Gelombang Hijau’ di negeri Jelapang Padi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.