`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 3, 2023

Takbir REE, takdir nadir bumi

 

Hoi nadir bumi. Hoi malapetaka bernama REE. Hoi Orang Kedah. Kalian faham apa itu nadir bumi? Kalian tahu bahaya perlombongan nadir bumi untuk kesihatan, dan bagaimana ia boleh membawa kepada kematian?

Hoi orang Kedah, ketahuilah pada 1980-an terdapat kilang nadir bumi di Bukit Merah, Perak, yang merekodkan kes kecacatan kelahiran dan leukemia sepanjang tempoh lima tahun dalam kalangan masyarakat setempat. Tidak berbaloi rasanya orang di sekitar Bukit Enggang, Sik, mempertahankan nadir bumi, khusus kalau yang lelakinya kelak mandul lantaran air mani tidak sihat, atau wanitanya tiba-tiba menghidap kanser tahap empat.

Tidak berbaloi sama sekali bertakbir untuk REE.

Hoi rakyat Malaysia, bawa beringat yang dalam kes di Bukit Merah, pencemaran thorium daripada kilang nadir bumi ini membawa kepada peningkatan kes kanser dalam kalangan manusia. Ketika itu terdapat laporan bahawa syarikat Asian Rare Earth menjual kalsium fosfat, selain produk sampingan pemprosesan nadir bumi sebagai baja. Hoi pakcik dan makcik; ketahuilah hatta lembu yang memakan rumput ditanam dengan menggunakan baja ini pun ikut mati. Hujungnya, kilang ini ditutup selepas campurtangan pemegang saham, Mitsubishi Chemical, tatkala memuncaknya bantahan daripada penduduk, pencinta alam sekitar, dan ahli politik Jepun.

Ketahuilah orang Kedah, syarikat ini membuang lebih 80,000 tong keluli sisa radioaktif ke tempat penyimpanan di kaki bukit sehingga Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menyenaraikan Bukit Merah sebagai salah satu tapak pembersihan sisa radioaktif terbesar di Asia. Kalian jangan senang diperbodohkan dengan TikTok live dan jenaka kalih sensasi.

Bersyukurlah orang Kedah, lantaran terdapat pendedahan bersiri dalam kes nadir bumi atau REE ini. Bila ada pendedahan bersiri ini, maka kita pun mengetahui ada nafsu besar untuk melombong unsur nadir bumi (REE) bernilai RM62 bilion. Hoi ini memang kerja gila dan tak berbaloi.

Anak-anak Kedah mestilah beritahu ibu-bapa kalian bahawa unsur nadir bumi ini hadir bersama radioaktif menggerunkan lantaran bijih dan mineral ini secara semula jadi mengandungi Uranium dan Thorium. Hoi nadir bumi, mambang tanah ini nama-namanya ialah Scandium, Yttrium, Lanthanum, Cerium, Praseodymium, Neodymium, Promethium, Samarium, Europium, Gadolinium, Terbium, Dysprosium, Holmium, Erbium, Thulium, Ytterbium, and Lutetium. Hoi, cuba beritahu kita nadir bumi mana yang tiada kesan radioaktif? Adakah anda bersedia mengorbankan keturunan kalian untuk cacat dan sakit semata-mata untuk 62 bilion ini?

Hoi anak-anak Kedah yang membaca mestilah menjelaskan kepada ibu-bapa kalian bahawa amang radioaktif paras rendah daripada kehadiran Thorium dan Uranium dalam bijih unsur nadir bumi berpotensi sangat berbahaya. Sebarang pengendalian yang cincai boleh mengakibatkan kerosakan kesihatan dan alam sekitar amat parah sekali. Lebih-lebih lagi kerana Thorium dan Uranium kekal radioaktif selama beratus tahun dan jika kita terdedah kepadanya boleh membawa kepada peningkatan risiko kanser paru-paru dan pankreas. Hoi, kalian sedia untuk mati begini?

Ads by Kiosked

Lebih menakutkan, hoi hoi ketahuilah perlombongan unsur nadir bumi akan menyebabkan pencemaran tanah dan air: Bayangkan sisa radioaktif yang melarut meresap dan menjalar ke dalam persekitaran akuatik lalu disedut oleh tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya boleh terkumpul secara biologi. Ia kemudian berpotensi memasuki rantaian makanan manusia jika haiwan ternakan atau manusia memilih untuk memakan tumbuh-tumbuhan ini. Bayangkan petik ulam di laman rumah, makan, dan menderita dalam masa lima tahun kemudiannya. Bayangkan tangkap keli dan belut kemudian mendapat mati.

Anak-anak Kedah jangan seronok dengan kaki lawak sebagai kepala negeri. Hoi, ketahuilah pendedahan kepada sisa radioaktif akan membawa kepada kanser, masalah pernafasan, kehilangan gigi dan yang paling dahsyat, kematian. Kumpulan paling berisiko adalah kanak-kanak memandangkan sisa radioaktif boleh memberikan kesan kepada perkembangan neurologi kanak-kanak, atau menjejaskan IQ dan boleh pula mendatangkan kehilangan ingatan. Hoi kalian mahu anak-anak kalian terdedah kepada radioaktif?

Tidak berbaloi kalian memilih mengikut nafsu dan akal TikTok untuk akhirnya menerima kesan radioaktif yang mencetuskan kanser sistem saraf seperti kanser tulang, kulit, dan kardiovaskular serta gangguan pernafasan. Jangan hoi, jangan taruh masa hadapan kalian.

Hoi hoi kita mestilah menolak semua rancangan untuk melombong nadir bumi ini. Tidak berbaloi kita membiarkan anak-anak cacat demi membolehkan sekumpulan orang kaya-raya. Tidak kira mana parti pun.

Hoi, hari ini, kes nadir bumi di Kedah ini bukan sahaja mengenai bahaya kesihatan yang boleh berlaku tetapi ia juga meleret kepada kes pemerdagangan pekerja yang terlibat dalam perlombongan. Hoi malulah ada hamba bekerja mengambil nadir bumi. Negeri macam apa begini? Hoi ketahuilah ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Hoi rakyat Kedah sekalian, kalian mesti ambil perhatian SPRM sedang menyiasat kes kecurian nadir bumi ini secara besar-besaran, dan para exco Kedah turut disoal. Rakyat Kedah mesti faham isu nadir bumi ini bukan semata berkait rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi tetapi boleh membawa kepada kematian.

Ads by Kiosked

Hoi, dengar sini; tidak berbaloi mempertahankan tukang karut, termakan pujuk rayu dan kempen untuk semata-mata mandul, cacat anggota dan kelak mendapat nestapa lantaran barah. Hoi tolak apa sahaja parti atau pemimpin kelapaq nadir bumi. Tidak berbaloi hoi.

Hoi orang Kedah yang bijak pandai. Hoi anak Kedah yang cerdik cerdas, pulanglah dan beritahu ibu-bapa kalian. Tidak berbaloi sama sekali bertakbir untuk REE. Tidak berbaloi menyerah takdir dengan takbir nadir bumi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.