`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, August 21, 2023

Isu Ambalat: Nyahklasifikasi Triti Laut Sulawesi, kata ketua PN Sabah

 

Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi berhubung Persempadanan Laut Wilayah antara Malaysia dan Indonesia ditandatangani pada 8 Jun 2023. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee mendesak Putrajaya menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim ditandatangani dengan Indonesia pada Jun lalu bagi merungkai isu Ambalat.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata tindakan itu wajar untuk menjawab sama ada Triti Laut Sulawesi ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, tidak membabitkan blok Ambalat.

Menurutnya, ia juga dapat menghentikan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.

“Blok Ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 km persegi di tengah-tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama, maka ia tidak boleh digadai sama sekali.

“Apatah lagi pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Pada 15 Ogos lalu, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menjelaskan Triti Laut Sulawesi ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat tetapi hanya membabitkan sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi.

Penjelasan itu susulan kenyataan Adun Tungku Assaffal Alian, pada DUN Sabah 10 Ogos lepas yang mendakwa kononnya Malaysia menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.