PETALING JAYA: Adun Sungai Air Tawar Rizam Ismail dari Barisan Nasional (BN) dijangka mengangkat sumpah sebagai exco Selangor, menyaksikan parti itu kembali menjadi sebahagian kerajaan sejak kalah PRU 2008.
Sumber berkata ketua Umno Sabak itu telah menerima jemputan bagi menghadiri istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji exco negeri di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2 petang di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
“Umno dapat satu kerusi exco dalam kerajaan Selangor, ia atas semangat perpaduan untuk menjadi sebahagian kerajaan,” katanya kepada FMT.
Pada PRN 12 Ogos lalu, Rizam mempertahankan kerusi DUN Sungai Air Tawar menewaskan Zaidi Selamat dari Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 846 undi.
Sumber itu berkata, antara muka baharu lain bakal dilantik exco termasuk Adun Kota Anggerik Najwan Halimi dan Adun Seri Setia Fahmi Ngah dari PKR manakala Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin dari DAP.
Terdahulu, media melaporkan Adun Sungai Tua Amirudin Shari dari PKR akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal kedua dalam istiadat di hadapan Sultan Selangor pada 11 pagi.
Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN berjaya membentuk kerajaan di Selangor selepas menang 34 daripada 56 DUN, namun gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga dinikmati selama dua penggal bermula 2013.
Selangor adalah negeri terakhir yang belum melantik menteri besar selepas PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu. Sultan Sharafuddin berada di London untuk mendapatkan rawatan dan baru pulang pada Selasa lalu.
Pada bulan lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata Amirudin Shari dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya gabungan itu berjaya mempertahankan Selangor dalam PRN.
Bagaimanapun, ada khabar angin bahawa Amirudin tidak akan dilantik untuk penggal kedua. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.