`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 3, 2023

Orang luar kenapa mahu bertanding di sini?

 

Calon luar atau tempatan sebenarnya bukanlah satu kriteria utama dalam memilih wakil rakyat sebaliknya penilaian calon itu harus ditumpukan kepada pengalaman, visi, misi, idea serta kualitinya.

Mengikut tradisi sejak dulu lagi, semua parti baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak terlepas dari membawa calon luar bertanding di kawasan-kawasan tertentu lebih-lebih lagi sekiranya diletakkan dalam senarai kerusi ‘panas’, atau paling tidak calon parti lawan adalah dalam kalangan nama-nama besar, maka amatlah penting untuk sesebuah parti itu meletak seorang calon yang dilihat ‘seteru’, ‘sepadan’ atau ‘setaraf’ dengannya.

Pada pandangan saya, rakyat cukup matang dalam memilih wakil rakyat yang diinginkan. Kita ambil contoh sikap warga Machang yang memilih Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai wakil rakyat di kawasan mereka pada PRU15 lepas.

Mereka melihat Wan Fayhsal yang masih muda itu mempunyai potensi untuk memantapkan lagi pembangunan di Machang, namun kesepakatan ini diambil bukanlah kerana faktor muda tetapi berdasarkan prestasi sewaktu menjadi timbalan menteri belia dan sukan serta timbalan menteri perpaduan negara. Kemenangan Wan Fayhsal dengan majoriti lebih 10,000 undi jelas menunjukkan sikap matang penduduk Machang yang tidak ambil kisah perihal latar belakang kelahiran seseorang calon. Sikap ini sewajarnya dijadikan contoh teladan.

Begitu juga dengan Tuan Ibrahim Tuan Man yang berasal dari Jerantut, Pahang dan merupakan Adun Cheka serta Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Sekali imbas memang aneh bagaimana seseorang dari Pahang boleh menjadi wakil rakyat di Kelantan? Semuanya dilakukan atas dasar strategi parti yang meletakkan calon berdasarkan faktor-faktor tertentu, bukannya diletak ikut suka hati.

Persoalan yang lebih penting adakah penduduk Kubang Kerian menerima Tuan Ibrahim yang tidak ada langsung perkaitan dengan negeri Cik Siti Wan Kembang? Jawapannya dapat dilihat pada kemenangan Tuan Ibrahim dengan majoriti lebih 40,000 undi. Maka jelaslah bahawa rakyat itu matang dan strategi itu penting, jika tidak, mana mungkin Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh melompat dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan akhirnya di Tambun, Perak?

Kalau nak lebih ketara lagi, lihatlah pemimpin senior DAP, Lim Kit Siang yang memulakan kerjaya politik sebagai wakil rakyat di Bandar Melaka, kemudian ke kerusi Petaling, Selangor, kembali semula ke Melaka, berpindah pula ke Pulau Pinang, Perak dan akhirnya bersara di Iskandar Puteri, Johor. Begitu juga anak kesayangannya, Lim Guan Eng yang bermula di Melaka seperti bapanya dan kini merupakan Ahli Parlimen Bagan, Pulau Pinang.

Tidak ada satu pun kerusi yang mereka tewas selama menjadi calon, maka jelaslah bahawa anak tempatan atau orang luar bukanlah kayu ukur terhadap pemilihan seseorang wakil rakyat.

Ads by Kiosked

Apa yang pasti, setiap calon luar akan dibantu oleh pimpinan parti di kawasan tersebut. Oleh itu segala tindak tanduk calon termasuklah dalam kerja-kerja merangka tawaran manifesto akan dilakukan dengan penuh teliti atas nasihat penduduk tempatan.

Jangka hayat seseorang wakil rakyat menjadi Ahli Parlimen mahupun Adun tidak begitu panjang. Ada yang hanya sepenggal, ada yang dua penggal bahkan ada yang berpenggal-penggal, namun puratanya sepenggal kerana sama ada kalah atau ditukar ke kawasan lain.

Masyarakat acap kali diseru supaya tidak memilih seseorang calon itu berdasarkan faktor kaum, agama, dan jantina semata-mata, maka sebegitu jugalah sikap kita dalam menyikapi isu calon luar dan tempatan.

Pilihlah wakil rakyat yang mampu menggalas tanggungjawab dengan baik kerana pada akhirnya mereka semua tetap dalam kalangan warganegara Malaysia. Sekiranya calon yang diberi mandat gagal memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan kesejahteraan penduduk, maka ajarlah mereka pada pilihan raya berikutnya. Pilih pula calon baharu yang dilihat lebih produktif dan progresif. - FMT

Rina Harun adalah calon Perikatan Nasional bagi DUN N41 Batu Tiga.

Ads by Kiosked

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.