`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 14, 2024

Juhar bantu 2 pelajar ‘tawar hati’ sambung pengajian di UMS

 

Free Malaysia Today
Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Mohd Rashid Mohd Tahir (dua dari kanan) mewakili Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin. (Dari kiri) Nor Fasha Natashya dan Crisnanalina Jumis serta (dari kanan) Naib Canselor UMS Kasim Mansor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin tampil membantu dua pelajar kurang berkemampuan yang mulanya ‘tawar hati’ meneruskan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana kurang berkemampuan.

Crisnanalina Jumis dan Nor Fasha Natashya Abdul Rahim menerima bantuan pendaftaran pengajian berserta komputer riba disampaikan Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah Mohd Rashid Mohd Tahir di universiti itu, pada majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UMS Kasim Mansor.

Crisnanalina, 20, pelajar berasal dari daerah pedalaman Paitan berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Juhar, masyarakat dan pihak terlibat dalam membantu beliau untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda perhutanan.

Pada mulanya saya ingin menolak tawaran pengajian dan terus menyambung kerja sambilan di sebuah restoran, namun saya dimaklumkan oleh ibu saudara yang ada pihak ingin membantu jadi saya rasa amat bersyukur dan tidak akan mensia-siakan peluang ini,
 katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, bantuan yang diperolehi sangat membantu dalam urusan kemasukan ke universiti memandangkan pendapatan ibu bapa beliau yang bekerja sebagai petani dan suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pengajian tersebut.

Nor Fasha Natashya, 20, berkata beliau juga hampir menolak tawaran pengajian berikutan kekangan kewangan yang dihadapi keluarga, namun berasa amat bersyukur apabila mendapat tahu urusan kemasukan beliau ke universiti akan dibantu.

Saya anak keempat daripada lapan orang adik beradik, bapa saya telah meninggal dunia dan ibu saya tidak bekerja, kami sekeluarga hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan,
 katanya yang juga pelajar ijazah sarjana muda doktor perubatan.

Justeru dengan bantuan yang diperolehi, Nor Fasha bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor perubatan sekali gus memegang teguh harapan keluarga. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.