`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, July 13, 2025

PRN Sabah: Pilihan PN terhad, mungkin tanding solo, kata penganalisis

 Awang Azman Pawi berkata selepas tolak GRS, PN juga dilihat sukar bersama BN, PH dan Warisan.

bendera perikatan nasional
PN bakal berdepan cabaran besar jika bergerak solo pada PRN Sabah, menurut Awang Azman Pawi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
 Perikatan Nasional (PN) mungkin terpaksa bergerak solo pada PRN Sabah memandangkan pilihan parti yang terhad untuk bekerjasama, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi berkata selepas menolak kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PN tidak mempunyai banyak pilihan kerana komponen itu sudah pasti enggan bergabung dengan seteru utamanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurut penganalisis dari Universiti Malaya itu, kerjasama dengan Warisan juga sukar memandangkan parti pimpinan Shafie Apdal terbabit membawa aspirasi ‘Sabah For Sabahan’ berbanding PN yang dilihat berorientasikan politik Semenanjung Malaysia.

“Sekiranya PN bergerak solo, ia bakal menghadapi cabaran besar di Sabah kerana PN masih belum mempunyai struktur akar umbi kukuh di banyak kawasan luar bandar Sabah.

“Langkah menolak GRS mungkin simbolik menunjukkan kekuatannya sendiri tetapi berisiko dari segi taktikal terutama landskap politik Sabah yang sangat cair serta berbentuk tempatan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata PN menolak kerjasama dengan GRS pada PRN Sabah dengan alasan tindakan komponen itu keluar PN sebelum ini.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpandangan jika bergerak solo, PN mungkin terpaksa bergantung populariti pemimpin pusat, manifesto menarik dan kempen agresif.

Menurutnya, keadaan itu pastinya sukar memandang sentimen tempatan yang dikatakan menguasai politik Sabah, sesuatu yang kurang pada PN memandangkan komponennya kini terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

Mengikut rekod, parti tempatan seperti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) pernah bersama PN tetapi keluar untuk menganggotai GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Dari segi potensi kerjasama, Syahruddin berkata PN mungkin mencari parti tempatan yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan konflik di pusat antaranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Malah calon bebas yang mempunyai pengaruh di kawasan tertentu seperti Tambunan, Tenom dan Kudat mungkin boleh jadi pilihan strategik.

“Langkah menolak kerjasama dengan GRS bakal ‘memaksa’ PN lebih kreatif cari sekutu di Sabah, mereka juga mungkin mahu dilihat tidak hanya sebagai parti nasional tetapi pemain tempatan yang relevan,” katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata persaingan sengit yang bakal dihadapi PN jika bergerak solo mungkin menyebabkannya sukar dalam merebut 73 kerusi DUN dipertandingkan.

Namun, beliau berpandangan peluang kerjasama PN dengan parti lain masih terbuka memandangkan dinamika politik semasa.

“Menang banyak kerusi mungkin sesuatu yang sukar untuk PN namun dalam politik tiada yang mustahil, namun kerjasama politik perlu ada persetujuan bersama dengan mana-mana parti,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.