Kenyataan politikus memerlukan interpretasi sendiri selari dengan tajuk artikel ini.

Ikut logik betul juga Zahid Hamidi dalam soal ini. Begini.
Rasanya ramai sudah baca laporan media 13 Jan lalu mengenai presiden Umno itu mengimbau apa yang pernah diluahkan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat selaku mursyidul am PAS suatu masa dulu.
Saya imbau apa yang Zahid imbau. Kata Zahid ‘ada rakan daripada PKR dan Amanah hadir di sini apabila Allahyarham Nik Aziz menyebut Umno jika suatu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam perlembagaannya, PAS akan dibubarkan’. Zahid anggap kata-kata itu sebagai wasiat.
Seterusnya kata Zahid ‘apabila saya ambil alih kepimpinan Umno perkara utama saya lakukan adalah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan Umno’. Beliau merujuk pindaan perlembagaan parti pada 2019.
Dalam minda saya tertanya-tanya sebelum zaman Zahid atau lebih tepat sebelum pindaan 2019, Perlembagaan Umno tak Islam ke? Atau untuk lembutkan pertanyaan – sebelum pindaan 2019 soal Islam tidak diletakkan dalam Perlembagaan Umno ke? Adakah kerana itu Nik Aziz meluahkan apa yang Zahid anggap wasiat seperti disebut tadi?
Apa pun menurut Zahid, Umno tidak pernah menolak Islam dan ‘banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan’.
Sekarang, bak kata beliau soal Islam sudah ada dalam Perlembagaan Umno tetapi kata Zahid ‘PAS belum terbubar lagi. Harap akan terbubar dengan sendirinya’.
Saya ulang ikut logik. Betullah apa yang dikata si presiden Umno. Partinya sudah letak soal Islam dalam perlembagaan. Maka, tiba masa PAS menunaikan wasiat Nik Aziz menurut istilah yang digunakan Zahid. ‘Technically he is right’. Setahu saya apa yang terkandung dalam sesuatu wasiat mesti dituruti.
Bagaimanapun, bagi Naib Presiden Idris Ahmad, PAS (mahu pun Umno) tidak perlu dibubar sebaliknya kedua-dua parti boleh bersaing di pentas demokrasi selaras prinsip Malaysia negara demokrasi.
Kata beliau, PAS dan Umno boleh berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik dan menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi siapa yang lebih layak untuk dipilih.
Adakah kata-kata itu terutama apabila bila sebut soal ‘akhlak’ bermaksud PAS dan Umno mesti tunjuk siapa lebih Islam?
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, pula menyentuh soal kata-kata Nik Aziz dahulu. Menurutnya ‘setiap kata-kata itu sesuai dengan zamannya’. Adakah itu bermakna beliau menyifatkan kata-kata Nik Aziz dahulu hanya sesuai pada waktu lalu maka PAS zaman ini tidak perlu menurutinya? ‘PAS now is not binded by the late Nik Aziz?’
Kata beliau lagi, kalau nak diambil hujah ucapan lama, bekas presiden Umno Najib Razak ‘pernah kata Melayu akan menjadi bangsat apabila Umno kalah’. Ucapan Najib dibuat pada 2015.
Dan kata Fadhli, Umno kalah pada 2018 dan tidak boleh dikatakan menang pada 2022 walaupun menyertai kerajaan hari ini. Lalu tanya beliau ‘soalan saya adakah Melayu sedang menjadi bangsat sekarang?’.
Adakah logik hujah beliau? Menyamakan kata-kata Nik Aziz dengan ucapan Najib? Ada persamaannya inti pati atau mesejnya? Terpulang interpretasi masing masing.
Fadhli juga berkata ‘baguslah Umno telah menukar dasar kepada Islam tetapi dengan situasi Umno berada dalam kerajaan dan boleh menukar dasar pada bila-bila masa seperti hari ini sangatlah lebih utama untuk PAS terus kekal berdiri’.
Adakah beliau mahu kata Umno akan tukar dasar suatu hari nanti? Tak ada dasar Islam? Sekarang beliau akui Umno sudah ‘tukar dasar kepada Islam (baguslah katanya) tetapi pada masa sama menegaskan PAS tidak akan dibubarkan dan saya kira dan amat yakin hayat politik PAS jauh lebih lama daripada Umno’. Ertinya, partinya akan terus lawan Umno dan menang?
Dalam pada itu, Presiden PAS Hadi Awang menerusi laporan Malaysiakini 19 Jan lalu memberi isyarat untuk menolak kolaborasi agung diilhamkan Umno yang hasratnya akan membabitkan semua parti politik dan NGO Melayu Islam.
Panjang lebar catatan Hadi. Namun, antaranya beliau berkata ‘segala perbincangan hendaklah datang daripada kalangan ilmuwan yang bertafaqquh dalam urusan Islam bukan melalui orang yang jahil’.
Bolehkah ditaksir beliau maksudkan perbincangan untuk adakan kolaborasi agung tidak dilakukan oleh ilmuan yang bertafaqquh? Sebaiknya oleh orang jahil?
Kata Hadi lagi ‘tidak juga melalui ilmuan yang tidak bertafaqquh atau yang meletakkan akalnya ke dalam perutnya?’ Jadi siapa yang boleh bincang soal kolaborasi itu? Bolehkah diertikan Hadi berpendapat hanya ‘ilmuan’ daripada partinya yang layak?
Menurut Hadi, PAS memilih perpaduan yang ‘mengikut ketetapan Allah’. Maksudnya perpaduan dijalin yang tidak membabitkan PAS atau bentuk perpaduan yang tidak dipilih oleh PAS adalah tidak ‘ikut ketetapan Allah?’
Saya sarankan kenyataan politikus dan dalam konteks penulisan ini Hadi, Idris dan Fadhli memerlukan interpretasi sendiri selari dengan tajuk artikel ini.
Oh seperkara lagi. Dalam catatan sama Hadi juga bercakap mengenai isu lama yakni perkara yang sudah berlalu. Beliau beri penjelasan mengapa PAS enggan bersama parti lain membentuk kerajaan perpaduan.
Alasan Hadi – kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas PRU lalu turut melibatkan ‘syaitan bisu’. Siapa? Banyak parti dalam kerajaan perpaduan. Yang Melayu Islam dan yang bukan Melayu bukan Islam.
Menurut Malaysiakini, untuk rekod lazimnya label ‘syaitan bisu’ digunakan PAS ke atas kumpulan tertentu termasuk ilmuan agama yang tidak sependapat dengan mereka.
Ooo begitu… - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.