Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah menyaksikan RM1.1 bilion diperuntukkan untuk manfaat 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Pembantu kedai itu berkata bantuan bersasar kerajaan yang mula diagihkan semalam itu tiba tepat pada masa — selepas dia berhabis membeli keperluan persekolahan anak.

“Musim sekolah bermula, memang banyak pakai wang. Seorang anak RM500, dua orang RM1,000. Dengan adanya STR ini, dapatlah saya bernafas. Tengah-tengah bulan pula,” katanya kepada FMT.
Kisah sama dikongsi seorang ibu tunggal, Azizah Hussin, 60, yang menyara seorang anak yang masih belajar.
Azizah yang merupakan pesara tentera berkata wang pencen hanya cukup untuk kelangsungan hidup dia dan anak.

“Duit STR saya simpan dan guna untuk anak hendak belajar. Makan hari-hari guna duit pencen. Duit pencen bukanlah banyak cukup-cukup makan sahaja, tapi alhamdulillah, duit kecemasan itu ada,” katanya.
STR diagihkan secara berfasa dengan Fasa 1 pada bulan ini, diikuti April bagi Fasa 2, Ogos bagi Fasa 3 dan Oktober/November bagi Fasa 4.
Bagi Fasa 1, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk manfaat 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan. Penerima akan menerima sebanyak RM100 sehingga RM500, mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Bagi Hamaladevi Nadesan, 58, yang mengusahakan gerai sarapan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, STR menambah keperluan harian.

“Kita tahu setiap beberapa bulan duit STR masuk, jadi boleh tambah-tambah barang keperluan,” katanya.
Hamaladevi menambah bantuan itu turut meringankan perbelanjaan ketika musim perayaan.
“Macam Deepavali tahun lepas, bantuan itu sangat membantu. Jadi untuk Hari Raya dan Tahun Baru Cina tahun ini pun, ia akan banyak membantu,” katanya.
Peruntukan keseluruhan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2026 berjumlah RM15 billion, yang tertinggi dalam sejarah kerajaan persekutuan. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.