`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Saturday, October 31, 2026

Petua 9: Lebih mudah urus propaganda apabila elit pemerintah, media dan pemilik digital bergabung

 Apabila aliran maklumat dikawal jaringan elit, masyarakat bukan sahaja terpengaruh malah diarah tanpa sedar untuk berfikir, merasa dan bertindak ikut kepentingan pihak menguasai sistem.

Dalam dunia moden, masyarakat sering merasakan mereka bebas membentuk pendapat sendiri. Namun, seperti dihujahkan oleh Edward S Herman dan Noam Chomsky dalam karya penting Manufacturing Consent (1988), pendapat umum sebenarnya dibentuk melalui hubungan rapat antara elit politik, elit korporat dan pemilik media.

Herman & Chomsky menunjukkan media arus perdana tidak benar-benar bebas; sebaliknya, ia mengikuti struktur kepentingan pemilik, pengiklan, kerajaan, dan rangkaian ekonomi-politik yang mengawal aliran maklumat. Apabila masyarakat bersandar kepada elit kerajaan, agensi dan tokoh berpengaruh, keputusan menjadi lebih mudah ‘diurus’ kerana rakyat bergantung kepada sumber yang sudah dianggap sah dan berautoriti.

Jika pada era lama pemilik media ialah syarikat akhbar, konglomerat penyiaran dan stesen televisyen nasional, hari ini ‘pemilik media’ telah berubah wajah menjadi pemilik platform digital.

Herman & Chomsky menekankan sesiapa yang menguasai infrastruktur penyampaian maklumat akan menguasai ruang fikir masyarakat. Dalam konteks abad ke-21, kuasa itu bukan lagi dimonopoli oleh kerajaan atau syarikat media tradisional, tetapi oleh gergasi digital seperti Meta (Facebook, Instagram, WhatsApp), Google (YouTube), X (Twitter), TikTok, dan aplikasi mesej peribadi seperti Telegram.

Mereka bukan sahaja menyebar kandungan, tetapi mengawal algoritma iaitu sistem yang menentukan apa yang rakyat lihat, baca dan bincangkan setiap hari.

Inilah versi baharu manufacturing consent dalam era digital: persetujuan tidak lagi dibentuk melalui editorial akhbar, tetapi melalui newsfeed, trending list dan algoritma cadangan yang direka untuk memaksimumkan masa tontonan.

Sebagai contoh, Facebook boleh mengangkat isu tertentu sehingga kelihatan seperti ‘suara rakyat’, walaupun ia sebenarnya digerakkan oleh kumpulan kecil belakang tabir yang mengeksploitasi sistem perkongsian. Begitu juga YouTube, yang boleh mempercepatkan penyebaran ideologi tertentu melalui cadangan video yang memerangkap pengguna dalam echo chamber.

Walaupun kerajaan masih mempunyai kuasa kawalan, yang menurut saya terhad kepada kandungan. Mereka kini bergantung pula kepada platform digital untuk menjangkau rakyat, menjadikan pemilik platform sebagai rakan strategik atau ancaman senyap dalam pembentukan pendapat umum.

Hubungan ini dapat dilihat dalam pilihan raya moden. Di Amerika Syarikat, kempen Donald Trump 2016 bergantung kepada Facebook Ads yang menyasarkan kelompok tertentu dengan mesej emosi, membuktikan bahawa pemilik data kini lebih berpengaruh daripada pemilik media tradisional.

Di Malaysia, penyebaran naratif politik di TikTok menjelang PRU15 menunjukkan bagaimana anak muda membina pandangan politik bukan daripada ucapan rasmi, tetapi daripada video pendek yang dikuasai algoritma. Ini menunjukkan kuasa mengurus masyarakat kini bergantung kepada gabungan kerajaan + elit korporat + pemilik platform digital, bukannya kerajaan sahaja.

Secara keseluruhan, apabila masyarakat terlalu bersandar kepada elit berkuasa baik kerajaan, media tradisional atau pemilik digital maka proses membuat keputusan menjadi lebih mudah dimanipulasi.

Masyarakat percaya kerana mereka menganggap sumber-sumber ini ‘natural’ dan neutral, sedangkan Herman & Chomsky membuktikan setiap sistem media sebenarnya mempunyai struktur kepentingan yang tersusun. Dalam era digital hari ini, propaganda menjadi lebih halus kerana ia bukan lagi disampaikan oleh editor manusia, tetapi oleh algoritma yang memutuskan apa yang wajar ditonton.

Pemahaman ini penting supaya masyarakat sedar bahawa ‘kemudahan membuat keputusan’ selalunya datang dengan harga: penyerahan sebahagian kebebasan berfikir kepada elit yang mengawal aliran maklumat.

Bagaimana ekosistem ini mempengaruhi fikiran dan tindakan masyarakat

Ekosistem yang dibina oleh kerajaan, pemilik media tradisional dan pemilik platform digital hari ini membentuk satu sistem pengaruh yang hampir total. Masyarakat yang bergantung pada sumber-sumber rasmi dan platform digital untuk memahami dunia akan mengikuti aliran maklumat yang telah ‘ditapis’ sebelum sampai kepada mereka.

Dalam kerangka Herman & Chomsky, ini ialah proses penyusunan agenda di mana apa yang dianggap penting oleh rakyat sebenarnya ditentukan oleh struktur kuasa di belakang media. Platform digital menambah satu lapisan baharu: maklumat bukan sahaja disaring oleh pemilik media, tetapi dipilih oleh algoritma yang mengutamakan interaksi popular dan bukan atas agenda kepentingan negara.

Akibatnya, isu yang paling banyak mendapat perhatian bukanlah isu yang paling penting, tetapi isu yang paling menguntungkan dari segi trafik dan emosi.

Ekosistem ini mempengaruhi cara masyarakat berfikir dengan mencipta ilusi bahawa maklumat datang secara organik, sedangkan ia sebenarnya hasil kawalan sistemik. Contohnya, seseorang mungkin percaya sesuatu isu ‘hangat dibincangkan rakyat’ kerana ia tular di TikTok, walhal algoritma hanya menolak kandungan serupa berulang kali sehingga mencipta kesan majoriti palsu.

Ini disebut Herman & Chomsky sebagai manufactured perception, persepsi yang dibuat, bukan dilahirkan secara semula jadi. Begitu juga dalam konteks politik: apabila naratif tertentu diulang melalui media arus perdana dan disokong oleh kemunculan semula video pendek di laman sosial, masyarakat mula melihat naratif itu sebagai ‘kebenaran kolektif’. Mereka percaya bukan kerana bukti, tetapi kerana kekerapan dan kebiasaan.

Ekosistem ini juga mempengaruhi emosi kolektif. Kerajaan mungkin menetapkan nada optimistik seperti ‘ekonomi stabil’, media tradisional mengulanginya melalui laporan rasmi, dan platform digital memanjangkan emosi itu melalui konten yang dipromosikan oleh algoritma seperti infografik, meme, video pendek, atau klip ucapan pemimpin. Pada masa sama, algoritma meminggirkan suara yang dianggap tidak menguntungkan atau bertentangan dengan arus popular.

Apabila masyarakat hanya dibenarkan melihat satu sisi, mereka percaya itulah keseluruhan cerita. Keadaan ini menjadikan propaganda lebih efisien kerana ia tidak memaksa masyarakat menerima sesuatu naratif, tetapi membentuk persekitaran maklumat yang membuatkan naratif itu kelihatan seperti pilihan paling logik.

Selain fikiran dan emosi, ekosistem digital juga mempengaruhi tingkah laku. Di Malaysia, kita dapat lihat bagaimana pola pengundian anak muda berubah secara drastik apabila mereka terdedah kepada video politik TikTok dan bukan kerana hujah rasional, tetapi kerana naratif visual yang dikuatkan oleh algoritma.

Di peringkat global, kempen Trump 2016 dan Brexit menunjukkan bagaimana data pengguna digunakan untuk menyasarkan mesej individu mengikut ketakutan, minat dan kelemahan masing-masing. Apabila algoritma mengetahui apa yang mencetuskan kemarahan, ketakutan atau harapan seseorang, ia boleh mempengaruhi tindakannya tanpa individu itu sedar mereka sedang dipengaruhi.

Akhirnya, ekosistem ini menjadikan masyarakat lebih mudah diurus. Herman & Chomsky menyebut media moden sebagai ‘sistem propaganda’ yang tidak kelihatan seperti propaganda kerana ia berfungsi dalam suasana kebebasan. Dalam era digital, sistem ini menjadi lebih kuat: masyarakat percaya mereka bebas memilih, tetapi pilihan mereka telah dibentuk oleh infrastruktur maklumat yang dikuasai oleh kerajaan, pemilik media, dan pemilik platform digital global.

Kesimpulannya, apabila aliran maklumat dikawal oleh jaringan elit ini, masyarakat bukan sahaja terpengaruh, malah diarahkan tanpa sedar untuk berfikir, merasa dan bertindak mengikut kepentingan pihak yang menguasai sistem. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.