Tawfik Yaakub berkata keputusan buruk pada PRN Melaka turut memberi isyarat berkait keperluan perubahan berkait kepimpinannya.


Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata kekalahan Bersatu di semua tujuh kerusi ditandinginya pada PRN Melaka menggambarkan kemerosotan politik parti itu yang amat serius sejak penubuhannya.
Menurutnya, keputusan PRN Johor, Negeri Sembilan dan terbaru Melaka memberi isyarat Bersatu semakin kehilangan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.
“Bersatu sudah tidak relevan dan ditolak oleh orang Melayu,” katanya kepada FMT.
Pada PRN Melaka, Bersatu gagal memenangi semua tujuh kerusi ditandinginya, termasuk Bemban dan Sungai Udang yang dimenangi parti itu pada 2021.
Kekalahan itu menyusuli nasib sama pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, menjadikan Melaka kekalahan menyeluruh ketiga berturut-turut bagi Bersatu.
Tawfik turut berpandangan rentetan kekalahan itu memberi isyarat berkait kepimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali gus memerlukan perubahan drastik segera jika parti itu mahu terus bertahan dalam arena politik negara.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata Bersatu masih dalam proses pemulihan selepas mengalami perpecahan dalaman yang menyaksikan sebahagian pemimpin utama dan pertengahannya menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan Bersatu memerlukan lebih masa untuk menyusun semula kekuatan dan memperkemas jentera pilihan rayanya sebelum mampu kembali bersaing dengan berkesan.
“Bersatu masih dalam proses pemulihan selepas perpecahan teruk, sebahagian kepimpinan utama dan pertengahan telah pergi ke Wawasan,” katanya merujuk kepada parti pimpinan bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.
Mazlan turut berpandangan ketiadaan kerjasama rasmi antara Bersatu dengan PH di Melaka menyebabkan pemindahan undi penyokong kedua-dua pihak tidak berlaku secara ketara.
Katanya, walaupun kerjasama antara kedua-dua pihak mula kelihatan di peringkat persekutuan dan Selangor, persefahaman sedemikian tidak diumumkan secara rasmi di Melaka.
“Kalau berlaku pun pemindahan undi itu sangat minimum. Begitu juga undi Bersatu kepada PH, kadarnya sangat rendah,” katanya. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.