Perdagangan haram bukan sekadar isu kehilangan hasil negara tetapi persoalan integriti institusi, rasuah dan jenayah terancang, kata Transparency International Malaysia.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Raymon Ram, berkata perdagangan haram bukan sekadar isu kehilangan hasil negara, tetapi juga persoalan integriti institusi, rasuah dan jenayah terancang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dapatan Transnational Alliance to Combat Illicit Trade dalam laporan ‘Menilai Prestasi Asean dalam Indeks Perdagangan Haram’ bagi tahun 2025.
Walaupun Malaysia meraih markah tinggi sebanyak 77.3 daripada 100 mata bagi aspek perdagangan, kastam dan kawalan sempadan, skor negara menjunam kepada 24.7 mata bagi pengawasan terhadap perniagaan tempatan seperti pengendali gudang serta pasaran dalam talian.
Raymon berkata, kelemahan itu mencerminkan jurang antara kewujudan undang-undang dengan keberkesanan penguatkuasaannya.
“Walaupun kawalan sempadan Malaysia mencatatkan skor yang baik, pengawasan terhadap gudang, pengedar dan platform dalam talian masih lemah,” katanya.
“Lebih membimbangkan, kegiatan perdagangan haram turut membuka ruang kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan wujudnya perlindungan terhadap sindiket.”
Raymon berhujah, kerajaan perlu memperkukuh kawalan dalaman, audit berasaskan risiko dan pengesanan keseluruhan rantaian bekalan, katanya.
Malaysia juga memerlukan penyelarasan penguatkuasaan yang lebih berstruktur, dengan perkongsian risikan, tanggungjawab yang jelas dan sasaran prestasi bersama, katanya.
“Kejayaan penguatkuasaan tidak boleh diukur melalui nilai rampasan semata-mata, tetapi sejauh mana dalang, pembiaya dan pihak yang bersekongkol berjaya dibawa ke muka pengadilan.
“Yang diperlukan ialah tindakan bersepadu yang mampu memutuskan keseluruhan rangkaian penyeludupan, bukan sekadar menangkap pengedar atau merampas barangan,” katanya.

Pakar kriminologi, Haezreena Begum Abdul Hamid, berkata persoalan yang lazim timbul apabila bercakap hal perdagangan haram adalah sejauh mana undang-undang dilaksanakan dan keberkesanan pantauan.
“Perdagangan haram melibatkan satu rangkaian, daripada pembekal, penyimpanan, pengedaran sampailah kepada penjualan kepada pengguna,” katanya.
Pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya ini berkata, penyelarasan dan perkongsian maklumat antara agensi sangat penting untuk tindakan penguatkuasaan yang menyeluruh.
“Kita perlu lihat siapa sebenarnya di belakang kegiatan ini, siapa pembekal, siapa pengedar dan siapa yang mendapat keuntungan,” katanya.
Beliau juga menyeru pemantauan terhadap platform dalam talian diperkukuhkan.
Katanya, platform perlu ada tanggungjawab memastikan penjual dan barangan yang ditawarkan tidak melanggar undang-undang.
“Kalau iklan diturunkan atau akaun ditutup tetapi penjual boleh buka akaun baharu dan teruskan kegiatan yang sama, masalah sebenarnya masih tidak selesai,” katanya.
Hazmi Mohd Rusli, pakar undang-undang laut antarabangsa di Universiti Sains Islam Malaysia berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani perdagangan haram.
“Cabarannya adalah dari segi pelaksanaan dan pemantauan, khususnya yang melibatkan platform dalam talian. Identiti penjual perlu disahkan dengan lebih teliti bagi memastikan barangan haram tidak mudah dijual secara terbuka,” katanya.
Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya apabila terdapat aduan atau ketika operasi besar-besaran dijalankan. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.