`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, October 14, 2023

Mejah tanya, Mejah patut jawab

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin dilaporkan terkejut besar. Terkesima kerana seorang anak buahnya sendiri tiba-tiba mengisytiharkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Harus juga tersentak atas hujah peruntukan pembangunan amat diperlukannya sedangkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan isu itu.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mendakwa keputusannya itu kelmarin didorong keperluan mendesak untuk menangani krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya. Dengan kata lain, beliau sanggup memberi kejutan kepada PN yang menaunginya demi kepentingan pengundi yang bergantung harap kepadanya agar dapat membawa perubahan nasib dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Bak kata Timbalan Ketua PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri, tindakan Iskandar itu membuktikan beliau pemimpin berjiwa besar dan wajar dicontohi wakil rakyat PN yang lain.

“Beliau telah memperlihatkan bahawa perbezaan fikrah atau manhaj politik bukan satu halangan untuk bersama-sama dalam mencurahkan khidmat bakti terbaik demi kepentingan rakyat. Perkara ini sepatutnya menjadi panduan dan teladan kepada setiap wakil rakyat pembangkang kerana keutamaan perlu diletakkan kepada rakyat seperti janji-janji pada PRU15 lalu,” katanya.

Hamzah atau lazimnya dipanggil “Mejah” dalam loghat Perak, harus berasa tertampar. Terpaksalah naratif sama-sekali berbeza dibawanya – daripada Iskandar diugut, ditekan dan didesak, berdepan risiko pendakwaan atas kesalahan rasuah hinggalah kepada ketaasuban kerajaan perpaduan untuk dapatkan semula majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Kita tak minat nak ulas kata-kata Mejah mengenai Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu kononnya dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang sudah disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Juga kononnya beliau didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri, yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri, dan didesak untuk menyokong Anwar serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat.

Atau kenyataan media didakwa dibuat Iskandar secara terburu-buru dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan sedangkan ia dikatakan berbeza dengan penjelasan diberinya kepada beberapa pemimpin parti.

Semua itu tuduhan berat yang beban pembuktiannya di pihak orang yang membuat dakwaan berkenaan. Pihak berkuasa juga hendaklah melancarkan siasatan terperinci supaya dakwaan berkenaan dapat dipastikan sahih atau tidaknya di samping memutuskan tindakan seterusnya.

Tapi soalan yang boleh ditanya kepada Mejah ialah jika benar tindakan Iskandar itu didorong oleh hujah peruntukan pembangunan yang belum diperoleh Ahli Parlimen pembangkang, maka ia harus berbalik kepada setiausaha agung PN itu sendiri yang belum memulakan usaha untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkaitan perkara itu.

Tidak mungkinkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu beralih sokongan kerana didorong rasa kecewa terhadap pimpinan PN, terutama Mejah selaku ketua pembangkang dan Takiyuddin Hassan selaku ketua whip PN, yang seperti didakwa Anwar angkuh dan sombong, kerana enggan merundingkan hal peruntukan dengan Fadillah?

Anwar, dalam jawabannya kepada permintaan Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor berkaitan soal itu ketika menggulung perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat 19 Sept lalu berkata isu agihan peruntukan kepada pembangkang hendaklah dibincang dengan Fadillah, sama seperti kaedah digunakan ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Runding (kalau) setuju kita luluskan. Kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan. Runding, jangan sombong dan angkuh tuntut,” tegas perdana menteri dalam jawaban yang harus tidak dianggap keliru oleh sesiapa, terutama Mejah dan Takiyuddin yang kedua-duanya menganggotai Kabinet Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Isnin lalu, Fadillah mengulangi bahawa belum ada sebarang surat rasmi daripada wakil PN kecuali Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjumpa dengannya untuk membincangkan peruntukan kepada pembangkang.

Satu lagi soalan buat Mejah, tidak mungkinkah langkah yang dipelopori oleh Iskandar itu menjadi ikutan kepada beberapa yang lain, tambahan jika beliau mendapat peruntukan yang diinginkannya?

Selain perkembangan terbaru ini menjadi tamparan kepada ego PN, keputusan Iskandar itu tidak akan mengubah apa-apa yang lain, termasuk tempat duduknya di blok pembangkang di Dewan Rakyat atau berkait dengan undang-undang anti-lompat parti. Seperti dijelaskannya, beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati Bersatu dalam apa jua keadaan atas prinsip taat dan setianya kepada parti.

Biarpun mungkin berdepan risiko tindakan disiplin oleh parti, tambahnya, beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

“Saya dengan ini mengambil keputusan untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum yang seterusnya,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Iskandar menyokong Anwar atas kapasiti peribadi memandangkan beliau masih ahli parti pembangkang.

“Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun telefon atau bertemu atau mengadakan perbincangan dengan perdana menteri mengenai sokongan beliau kepada kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Cuma, masih terngiang-ngiang usikan Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan kepada Khlir sebelum ini, “Mari sebelah sini… mari sebelah sini (jika ingin peruntukan)”.

Barangkali juga Fadillah sudah boleh meluangkan masa untuk temu janji wakil-wakil PN yang ingin merundingkan soal peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dalam waktu terdekat ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.