`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, October 31, 2023

Zionisme pesong kepala kita

 

Hari ini semua orang bercakap tentang Palestin, Zionis, Israel, Gaza, Hamas dan perang. Di media sosial, di pejabat, di kedai kopi, di serambi masjid dan di mana-mana. Semua orang juga menulis tentangnya. Ceritanya sama iaitu tentang pencerobohan, pembunuhan, rampasan serta pelanggaran hak asasi. Memang apabila bercakap tentang Palestin kita tidak boleh lari daripada memperkatakan hal tersebut. Satu dunia melihat konflik di Gaza ini dari tahun ke tahun. Dari situ dunia nampak dan menilai sama ada mereka itu pro-Israel atau simpati kepada Palestin.

Tindakan Hamas terhadap Israel baru-baru ini dan serangan balas yang berlarut-larutan sehingga hari ini menyaksikan berlakunya perhimpunan orang ramai di seluruh dunia untuk menyatakan sikap. Seisi dunia memprotes tentera Israel yang melakukan jenayah perang. Rentetan protes ini maka timbullah idea boikot-memboikot terutama terhadap syarikat perniagaan yang dipercayai menyumbang kepada zionis yang membedil rakyat Palestin. Satu dunia membuat tindakan boikot ini.

Yang menjadikan saya semak, bengang, geram dan meluat apabila melihat di Facebook berlaku pula perang ejek-mengejek sesama kita di sini. Perilaku ini cukup memualkan dan meloyakan saya. Melugai, kata oghang utara! Apabila ada “kawan” yang dilihat seperti tidak berbuat apa-apa, mereka dibantai oleh “kawan” lain yang sedang melakukan tindakan memboikot produk pro-Zionis. Diejek-ejeknya dan direndah-rendahkan tahap iman kawan satu lagi yang disifatkannya lemah. Sementara kawan yang mengambil tindakan memboikot pula diejek dan diperlekehkan oleh kawan yang tidak berbuat demikian dengan kata-kata seperti, “sudahlah! Tiga bulan lagi makanlah balik Mekdi, Stabak tu!”.

Perangai sebegini membuatkan saya “sakit”. Ada pula sebahagian kawan saya yang lain saya lihat telah menulis “bukankah kita ada santau, ilmu parang terbang, kenapa tak boleh dihantar ke Palestin untuk membunuh Israel?” dan beberapa post ala-ala begitu. Melekeh-lekehkan dan mencebik-cebik. Sakit betul!

Seperti tagline yang tertulis di atas ruangan kolum saya ini “Ronasina…bla…bla…Dia juga kartunis, melukis tentang perangai manusia yang acap kali menghampakan” yang merujuk sebagai pengenalan diri saya maka saya sejujurnya mengaku sakit jiwa melihatkan ejek-mengejek kawan-kawan saya sesama sendiri di media sosial itu. Ia sama sakitnya hati saya menyaksikan penindasan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin. Saya tertanya-tanya mengapa boleh jadi macam tu? Apakah ini juga salah satu strategi Zionis dalam usaha memecah-belah pendirian manusia seluruh dunia? Adakah perangai ini terjadi sendiri atau memang telah dirancang halus oleh pakar psikologi Zionis agar kita sesama sendiri dalam satu keluarga di dalam rumah hatta tidur sekatil pun akan berpecah?

Kita berasa kita telah berbuat apa-apa tapi sebenarnya tidak. Kita perasan kitalah paling bijak bertindak. Sesiapa yang berbeza dengan kita dalam sesuatu hal kita anggap mereka tidak betul dan bengap.

Seperti jarum halus, dalam hal Palestin ini jelas kita telah dipesongkan fikiran oleh Zionisme agar perlahan-lahan menjadi hamba mereka. Apa pendirian kita sendiri yang sebenarnya mungkin kita boleh ubah mengikut permainan terancang mereka. Kita dipecah-pecahkan. Faktor parti politik, faktor berbeza kaum dan agama akan menentukan sikap kita terhadap nasib rakyat Palestin. Bagi yang seagama pula akan terbelah dek aliran fahaman agama yang berbeza. Pandangan mereka berpandukan kepada isme-isme mereka sendiri. Kerana karier juga akan mempengaruhi sokongan kita dan paling leceh sokongan atau penentangan kita dipengaruhi oleh fahaman politik kepartian. Lagi kacau!

Itulah petunjuk bahawa diri kita ini lemah. Apabila kita lemah maka jarum psikologi dimainkan untuk memperdaya kita. Zionis juga menggunakan taktik “play victim” apabila diserang oleh Hamas. Ini adalah suatu kaedah psikologi yang mampu membuat pihak lain bersimpati. Saya tidak hairan apabila semenjak dua menjak ini saya berhadapan dengan beberapa orang kawan saya yang apabila berbual, jelas terlihat simpati dia juga kepada Israel. Bayangkan apa akan berlaku sepuluh tahun akan datang bila semakin ramai berfikiran seperti itu. Orang akan balas melawan apabila mereka diancam. Itu reaksi normal. Alangkah anehnya apabila kita bising terhadap sebuah reaksi dan terlupa bahawa sesuatu reaksi itu timbul akibat daripada sebuah aksi.

Oleh kerana pihak yang “beraksi” itu gagah dan ramai sekutunya menguasai ekonomi, media dan politik – maka yang dilihat jahat ialah pihak yang “bereaksi”. Pihak yang ditindas cuba membela diri tetapi mereka pula dicop ganas. Inilah pemesongan fikiran yang telah berjaya dilakukan oleh Zionis kepada kita. Perangai Zionis telah diserap ke dalam diri kita satu dunia. Perangai angkuh, sombong, membuli, menghasut, memfitnah, adu domba malah “play victim” yang ada pada kaum yang disebutkan di dalam al-Quran itu bagi saya bukan semestinya merujuk kepada “kaum tersebut” tetapi juga kepada diri kita ini yang berperangai sama seperti mereka. Kulit kita benar sawo matang, hidung kita kemek tak mancung tapi hati kita Zionis!

Zionis sehingga hari ini masih tidak mampu menguasai sepenuhnya Gaza tetapi Zionisme berjaya menguasai seluruh dunia dengan memesongkan fikiran kita semua. Kalau kita tidak seganas mereka pun cukup apabila mereka sudah berjaya membuat kita sesama kita ejek-mengejek sesama sendiri tetapi hakikatnya tidak berbuat apa-apa. Wallahu a’lam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.