Kepulangan Harun Jusoh ke Rahmatullah pada usia 75 tahun, Selasa minggu lalu bermakna seorang lagi bekas anggota skuad bola sepak kebangsaan ke Sukan Olimpik Munich 1972 meninggalkan kita. Lebih dahulu ialah jurulatih Jalil Che Din (1992), Ali Bakar (2003), Wong Choon Wah (2014), Othman Abdullah (2015), Wan Zawawi Yusof (2017), M Chandran (2019), Mohamad Bakar, Namat Abdullah, Salleh Ibrahim dan V Krishnasamy (2020).
“Seorang demi seorang tinggalkan kita, yang masih hidup beberapa kerat sahaja,” kata bekas pemain Bahwandi Hiralal kepada FMT pada 2020 merujuk kepada skuad asal 19 pemain yang turut membariskan Wong Kam Fook, Soh Chin Ann, Khoo Luan Khen, Hamzah Hussein, Shaharuddin Abdullah, Lim Fung Kee, Looi Loon Teik dan Rahim Abdullah.
Enam lagi anggota skuad yang menjuarai pusingan kelayakan dengan menundukkan Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0, Taiwan 3-0 dan Filipina 5-0 di Seoul pada 1971 — Syed Ahmad Syed Abu Bakar, Dell Akbar Khan, Chan Kok Leong, Wong Hee Kok, V Kalimuthu dan Yap Eng Kock — tidak terpilih semula dalam skuad ke Munich itu. Mokhtar Dahari pula tidak disertakan kerana pengurus pasukan Harun Idris berpendapat bahawa usianya yang baru mencecah 19 tahun ketika itu terlalu muda untuk ditampilkan di pentas Olimpik.
Penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik Munich kekal sebagai pencapaian tertinggi skuad bola sepak negara yang melayakkannya gelaran selaku antara gergasi Asia. Dua pasukan lain sebagai wakil Asia ialah Burma dan Iran. Tuan rumah Jerman Barat kendalian Jupp Derwall tersingkir seawal pusingan kedua dalam saingan bola sepak Olimpik yang menyaksikan Poland menang pingat emas selepas mengalahkan Hungary 2-1 dalam final pada 10 September 1972.
Dibandingkan dengan skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 tapi akur dengan keputusan kerajaan memboikotnya kerana pencerobohan Soviet Union di Afghanistan, skuad 1972 itu dikatakan kurang mendapat pengiktirafan seperti yang pernah disuarakan beberapa pemainnya. Bahwandi, Fung Kee dan Rahim berasa seolah-olah mereka dan rakan sepasukan terlepas daripada tumpuan sepatutnya.
“Saya rasa agak malang apabila kami tidak mendapat pengiktirafan. Ketika itu rakyat begitu bersemangat kerana kita menang perlawanan dan layak ke sana. Saya tidak minta apa-apa kepada sesiapa pun, tiada siapa peduli tentang kami,” kata Bahwandi yang berpendapat memadai dengan menerbitkan buku kisah mereka, yang beraksi ketika tiada pemain bola sepak profesional di Malaysia.
Fung Kee, yang kecewa mereka tiada apa-apa status dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengungkapkan: “Kami bangga memakai jersi kebangsaan. Saya tidak berharap untuk dapat pengiktirafan sekarang, saya tak nampak apa gunanya minta diiktiraf. Dulu kami ada pas pemain, jadi kami boleh tonton perlawanan. Sekarang, kalau saya mahu tengok Malaysia bermain, apa yang perlu saya buat? Beli tiket?,” katanya.
Rahim pula berkata ketika pasukan kembali dari Munich, kisah mereka tidak ditonjolkan seperti pasukan 1980 dan selepas bersara daripada bola sepak, hanya beberapa anggota skuad 1972 itu diberi peluang untuk menjadi antara tenaga kejurulatihan pasukan kebangsaan.
“Ramai antara kami dilupakan. Standard bola sepak kita merosot sekarang, saya rasa pengalaman kami perlu dimanfaatkan seperti untuk mencari bakat baru. Kami masih mahu berkhidmat untuk negara, kami juga tidak perlu dibayar, kami akan melakukannya secara percuma, hanya babitkan kami,” katanya dalam satu temu bual tiga tahun lalu.
Sedih dan mengharukan apabila mengenangkan kejaguhan mereka lebih 50 tahun lalu membuat peminat bola sepak negara berasa bangga ketika mereka turun beraksi menentang Jerman Barat, Amerika Syarikat dan Maghribi dalam Kumpulan A, terutama perlawanan pembukaan dengan tuan rumah yang bersaksikan 60,000 penonton di Stadium Olimpik Munich pada 27 Ogos 1972. Skuad kebangsaan kesudahannya menduduki tempat ke-10 daripada 16 pasukan secara keseluruhan.
“Sasaran awal kami dalam babak pertama ialah cuba meraih seri dengan Jerman Barat tapi mereka tiba-tiba menukar pelan untuk cuba menyerang dalam babak kedua (sehingga dibolosi gol Ronald Worm, Juergen Kalb dan Rudolf Seliger),” kata penjaga gol Kam Fook mengingati perlawanan itu.
“Ia satu penghormatan besar untuk bermain dalam perlawanan pembukaan Sukan Olimpik. Tuan rumah memiliki Ottmar Hitzfeld and Uli Hoeness, nama-nama besar ketika itu. Kami beraksi baik dalam separuh pertama tapi gol pertama mereka selepas 56 minit meruntuhkan semangat kami untuk dibolosi dua gol lagi. Tapi hakikatnya kami berdepan lawan yang sangat kuat,” kata Chin Ann pula.
Skuad negara bangkit daripada kekalahan itu dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai mangsa dengan kemenangan 3-0 yang mengujakan di Ingolstadt hasil gol-gol Shaharuddin Abdullah, Salleh Ibrahim dan Wan Zawawi Wan Yusof sebagai anak Malaysia pertama membuat jaringan di peringkat Olimpik.
“Allahyarham Salleh seperti seorang pelari pecut dan sangat sesuai bermain di posisi sayap sama ada kiri atau kanan,” kata Rahim mengenai gol rakan sepasukannya pada minit ke-67 itu hasil larian pantas dari sebelah kanan sehingga tidak mampu dikejar oleh empat pemain AS sebelum meledakkan rembatan yang menewaskan penjaga gol Michael Ivanov.
Kemenangan itu menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk ke pusingan kedua, dengan Maghribi menjadi halangan terakhir dalam perlawanan bersempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Hakikat bahawa Maghribi hanya mampu seri 0-0 dengan AS terdahulu membayangkan skuad negara berkedudukan baik untuk mara – sesuatu yang harus menyulitkan Jerman Barat daripada menjuarai Kumpulan.
Tapi, seperti dirumuskan oleh Lim, barisan negara diberi panduan yang salah oleh penasihat pasukan dari Jerman Dettmar Cramer hingga mengakibatkan kekalahan besar 0-6 kepada Maghribi dan sudah pun dibolosi lima gol selepas hanya 25 minit hingga memaksa Kam Fook dikeluarkan dan tempatnya di pintu gol diambil alih oleh Kam Fook.
“Cramer maklumkan Maghribi mengamalkan taktik kotor dan kasar. Arahannya supaya tidak bertindak balas jika diasak lawan melemahkan semangat dan kesungguhan kami untuk beraksi sepenuh hati kerana bimbang akan tercedera. Ia mungkin permainan psikologinya bagi menakut dan menjatuhkan moral pemain kebangsaan (supaya Jerman Barat dapat mara),” katanya.
Hamzah bagaimanapun menawarkan pandangan berlawanan dengan menyimpulkan Malaysia dibelasah 6-0 kerana perbezaan fizikal dan ketangkasan pemain lawan. Maghribi juga, tambahnya, menunjukkan kesungguhan luar biasa berbanding ketika seri dengan AS.
“Mereka memang main bersungguh-sungguh dan sangat laju sehinggakan belum sempat bola sampai ke kaki pemain Malaysia, mereka sudah merampasnya. Mereka umpama motosikal kelas 250cc, kita pula motosikal kelas 125cc saja. Kita memang bukan tandingan mereka yang mempunyai kemahiran tinggi. Sebab itulah dalam masa 25 minit, Malaysia sudah ditembusi lima kali. Daripada aspek kekuatan fizikal dan taktikal, pemain skuad dari benua Afrika itu jauh lebih baik,” katanya.
Sebilangan anggota skuad berkenaan akan menjadi tetamu dalam satu majlis Sports Flame di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 9 Dis ini — satu sambutan meraikan pemain-pemain hebat Malaysia dari tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an. Acara itu, yang disokong oleh FMT, dianjurkan oleh empat wartawan sukan dari era itu, George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar, yang telah menulis mengenai ikon sukan negara dalam pelbagai akhbar dan dalam mysportsflame.com.
Selain nama semua anggota skuad Olimpik ’72 itu tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mungkin boleh dipertimbangkan juga cadangan Rahim agar mereka dikurniakan gelaran Datuk kerana hanya segelintir yang mengecapi tahap itu seperti yang diterima Chandran, Chin Ann, Mohamad dan Namat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.