PETALING JAYA: Seorang pemimpin Perikatan Nasional menegur Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung gambaran seolah-olah “golongan maha kaya” mengambil kesempatan menikmati subsidi untuk rakyat.
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin yang menyokong penjajaran semula subsidi bertegas teguran ini bukan untuk mempertahankan golongan tertentu, tetapi mahu kerajaan memberikan gambaran sebenar.
“Seperti biasa perdana menteri banyak mengkritik golongan maha kaya yang dikatakan banyak mengambil kesempatan menikmati dan menghirup pelbagai subsidi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
“Persoalannya berapa peratus sebenarnya golongan maha kaya ini dalam negara kita. Kerajaan setakat ini tidak pernah mengeluarkan angka rasmi sebenar yang mewakili golongan ini.”
Terdahulu, Anwar ketika menyentuh tentang ketirisan dan tanggungan subsidi berkata subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat meminimumkan kos sara hidup.
Perdana menteri melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa Belanjawan 2023 memperuntukkan RM64 bilion untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan, dan keperluan tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.
Justeru, Anwar mengumumkan mulai tahun depan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa, manakala sebahagian hasil penjimatan akan disalurkan sebagai bantuan tunai.
Ermieyati menyokong pengenalan subsidi bersasar namun menggesa kerajaan menjelaskan klasifikasi pendapatan.
“Klasifikasi T20, M40, dan B40 hanya berasaskan pendapatan semata-mata, sebagai contoh golongan M40 di bandar besar bila-bila masa bertukar menjadi B40 kerana kenaikan pendapatan bulanan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.