`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 13, 2023

Estet mini 150 hektar tingkat pengeluaran padi di Sabah

 

Tahun ini Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di negeri itu.

KOTA KINABALU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang melaksanakan dua projek estet padi mini masing-masing di Beluran dan Pitas dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi dan pendapatan pesawah di Sabah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin, berkata dua estet mini seluas 150 hektar itu dilaksanakan menerusi peruntukan 2021 dan 2022 bertujuan membantu pesawah terlibat melaksanakan penanaman padi secara tersusun.

“Kedua-duanya masih dilaksanakan dan kita memantaunya. Mudah-mudahan dengan peruntukan ini akan berlaku peningkatan hasil padi dan pendapatan petani,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata, LPP juga terlibat dalam penyediaan kemudahan jentera dan mekanisasi bagi membantu pesawah dari segi penggunaan jentera untuk penghasilan lebih besar.

Katanya, bagi tahun ini LPP Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di negeri itu.

“Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita memang fokus untuk mekanisasi dan automasi untuk membantu peladang dari segi kemudahan jentera.

“Bagaimanapun di Sabah, kita masih berdepan dengan masalah saliran. Tetapi secara umumnya, melalui dua program ini, kita akan cuba meningkatkan hasil padi di negeri ini,” katanya.

Amir berkata, pengagihan peruntukan kepada setiap negeri bergantung kepada permohonan projek dikemukakan kepada LPP, dan Sabah menerima peruntukan antara 6 hingga 7% daripada keseluruhan diagihkan kerajaan kepada LPP di seluruh negara setiap tahun. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.