`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, October 19, 2023

Maha kaya yang kita semua iri

 

Sebenarnya iri hati juga melihatkan status Instagram golongan maha kaya. Mereka memiliki kapal layar, jet peribadi, baju elok-elok yang tiada olok-olok, dan kulit selalunya putih melepak. Kalau pun gelap, ia tidak kusam seperti kita. Ia masih hitam menawan. Bukan kebetulan wajah mereka segak dan kacak, kalau yang lelaki; manakala yang perempuan akan selalu berpinggang ramping dan bibir memuncung. Soalnya mereka selalu tampak bergaya dan penuh kesenangan. Kita tidak dapat memikirkan yang maha kaya ini berasa maha susah seperti golongan maha miskin.

Maha kaya seperti ini ada dalam filem-filem Bollywood yang terus-terusan ditonton dengan rasa terjepit. Kehidupan mereka penuh dansa. Selalunya rumah mereka tiada retak di dinding, atau bocor atap secara tidak diduga. Kenderaan juga sentiasa pikap apabila perlu berlumba masa di jalan raya demi mengejar temu janji untuk menggandakan wang mereka.

Pada 1970-an, yakni tahun-tahun selepas menyaksikan negara dibangunkan oleh orang tempatan ia adalah era amat memeraskan. Nampak setelah pemergian penjajah jurang antara masyarakat sepertinya telur di hujung tanduk.

Kalau kita membaca ucapan Anwar Ibrahim sebagai presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 7 Disember 1975, dengan judul “Jelaskan Wadah Perbaru Tekad: Pesanan Buat Jenerasi Muda Islam” di muktamar Abim kali ke-4 kita akan mendapati percik dan limpah kenyataan di atas. Anwar berteriak-teriak agar yang maha miskin diberi perhatian dan kesentosaan.

Lima tahun berlalu, ketika Anwar di muktamar Abim kali ke-9 antara 28-31 Julai 1980, dia masih menyatakan dengan terang dan garang; bahawa meskipun pedalaman dan desa di negara ini semakin dimajukan tetap penindasan dan eksploitasi tuan tanah, pedagang orang tengah dan kapitalis di kampung-kampung berkekalan.

Hal ini dilihat oleh Anwar sebagai berpunca dari petaka dan puaka kolonialisme. Bahawa orang tertindas belum dapat mandiri dan berdikari. Anwar melihat betapa merungkaikan penjajahan ini (termasuk minda dan perbuatan) adalah jalan keagamaan. Islam tidak mengizinkan perhambaan. Maka solusinya ialah untuk mandiri dan bebas. Inilah asas pandangan Anwar dalam ekonomi dan pembangunan. Idea ini dibawa oleh Abim yang diketuainya.

Bezanya, di tangan saingan Abim iaitu PAS ketika itu, kemiskinan dilihat kerana hukum agama tidak diberikan posisi untuk menyelesaikan. Bagaimana ia akan dilakukan tidak jelas. Sikap PAS ini dapat difahami kalau-kalau kita merenung insiden bagaimana Hassan al-Banna terlongo melihat maha kaya yang terdiri dari puak penjajah dan bangsawan Mesir hidup mewah di dalam zon Suez. Ini berbanding orang tempatan yang merempat dan melarat dengan ruang sebesar liang lahad. Al-Banna menuntut penyelesaian Islami, ini yang dipusakai oleh PAS. Sedang Anwar melihat isu ini bukan sahaja Islami tetapi juga manusiawi.

Apabila Anwar menyertai kerajaan setelah dijemput Mahathir Mohamad, Anwar cuba memahami fungsinya untuk mengimbang. Tatkala Anwar di perbendaharaan, tika itu sedang ada kegilaan membuat wang. Wang awam dihambur untuk projek infrastruktur yang mencengangkan, pelaburan swasta besar, peluang dan kesempatan banyak sekali selain naungan-naungan tuan politik tertentu dan pesona kaum korporat.

Untuk membanteras korupsi yang menjadi-jadi di bawah era pertama Mahathir itu, Anwar nampaknya menawarkan manusiawi yang dipercayainya. Anwar menghadirkan Islam dan moral (diterjemah praktiknya sebagai tata kelola yang baik), dan ini terserlah dalam pembentangan bajet antara tahun-tahun 1991 hingga 1996. Membaca hansard Parlimen memahamkan kita bahawa Anwar bergelut dengan perbelanjaan yang nampaknya berlebihan.

Dalam banyak keadaan Anwar terdesak menyatakan Malaysia seharusnya jangan terjerumus ke dalam kancah maddiyah atau materialistik yang durjana. Ia semacam tazkirah untuk kawan-kawannya dalam Umno. Berkali-kali diseru soal kehormatan manusia, usaha mengisbatkan kebebasan, penawaran akal budi; dan bersungguh-sungguh Anwar menghujahkan kerangka al-Ghazali iaitu al-adl wal-ihsan sejajar dengan prinsip-prinsip Konfusius.

Pernah Anwar merujuk Kautilya dalam Arthashastr; jadikan kesenangan rakyat sebagai kesenangan pemerintah, bahawa kebajikan rakyat adalah kebajikan pemerintah dan apa yang sentosa untuk kerajaan adalah bukan kesentosaan melainkan rakyat itu sendiri sentosa dan cukup.

Di sela itu Anwar memperkenalkan Madani. Demikian bersipongang selalunya Madani, ia menjadi sebati dalam minda rakyat. Dengan ‘Kebangkitan Asia’, pada 1996 Anwar menawarkan ekonomi yang manusiawi; iaitu yang bebas penjajahan, hempukan tuan tanah, nepotisme, dan rasuah. Kemudian secara tiba-tiba Anwar Ibrahim terbuang.

Sebagai pembangkang, Anwar masih meneruskan gagasan yang ditemukan dalam tahun-tahun 1970-an itu. Cuma kali ini, bersama-sama ketajaman kritikan dan sanggahan terhadap Mahathir, ada kecaman untuk penswastaan yang semua kita waktu itu diajar sebagai salah satu gejala Mahathirisme yakni ‘penswastaan untung dan pemiliknegaraan kerugian’.

Rasa menyampah Anwar kepada bail out meluap-luap. Di tangan Abdullah Badawi, yang cuba mengagih kekayaan untuk koridor ekonomi dan ceruk desa dilihat sebagai berbahagi sesama elitis. Dalam erti kata lain, Anwar dalam sepatu pembangkang melihat yang maha kaya tatkala era Mahathir berterusan kaya di zaman Abdullah, dan kemudian mencapai kemuncak bobroknya di zaman Najib Razak.

Anwar kembali ke tampuk kuasa. Kali ini tanpa perlu kautim dengan Mahathir dan juaknya, beliau membawa semula formula manusiawi dan pembebasan itu kembali. Seperti dalam Abim, petua ini inti agama. Ia pernah dipakej sebagai madani tatkala beliau di dalam kerajaan dalam dekad 1990-an. PAS menolak madani, tetap menempik Islam sebagai solusi. Pun tidak banyak PAS berkembang dengan solusi itu. Terengganu dan Kelantan masih terperuk. Lihat sahaja stesen bas Kota Bharu. Nanti Kedah juga akan terceruk. Lebih aniaya jerit pekik PAS itu sia-sia kerana kini mereka memutar balik kepada punca, iaitu Dr Mahathir Mohamad. Entah apa Islaminya.

Apa yang ingin saya katakan di sini sebagai rumus ialah, formula Anwar Ibrahim tidak banyak berubah sejak tahun 1970-an. Permintaan beliau kini sebagai menteri kewangan dan perdana menteri supaya yang maha kaya memandang yang tidak maha di bawah, saya percaya masih serupa. Idea Anwar kekal sama.

Di pihak kita yang menadah habuan bajet (ada atau tidak), kita tetap menyelongkar status golongan maha kaya dan melihat mereka menunggang penderitaan Palestina, memandu Tesla, mengahwini wanita-wanita Eropah, terbang dengan jet peribadi untuk menonton artis secara dekat, dan ya tatkala mereka melangsungkan perkahwinan golongan maha kaya ini dinikahkan oleh agamawan selebriti, yang di sela pengajaran tajwid atau akidah mereka di TikTok akan menista Cina jangan sampai diangkat sebagai pemimpin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.