`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 13, 2023

Menang 3 PRK, PH-BN belum boleh dabik dada, kata penganalisis

 

Wakil BN Amizar Abu Adam mempertahankan Pelangai dengan majoriti lebih rendah berbanding PRU15.

PETALING JAYA: Menguasai tiga PRK dalam tempoh dua bulan terbaru di Pelangai, gabungan parti kerajaan perpaduan tidak boleh mendabik dada mendakwa telah mendapat semula kepercayaan rakyat, kata penganalisis politik.

Merujuk kemenangan di DUN Pelangai minggu lalu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak menunjukkan peningkatan sokongan.

“Jika membuat unjuran pola pengundian, ini bukan kemenangan bergaya BN, meningkat 16 undi dari majoriti PRU15 dengan keadaan 72% keluar mengundi berbanding 78% sebelumnya.

“Wujud hakisan sokongan secara perlahan walaupun Pelangai ini merupakan kubu kuat BN sejak kawasan DUN ini diadakan pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Pada PRK Pelangai, calon BN Amizar Abu Adam menang dengan kelebihan 2,949 undi untuk menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional dan bebas. Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan berbanding 4,048 undi majoriti ketika PRU15.

Bulan lalu, rakan BN dalam kerajaan perpaduan PH menang dengan majoriti 18,641 undi di Parlimen Pulai manakala majoriti 3,514 undi di DUN Simpang Jeram, majoritinya juga berkurangan berbanding pilihan raya lalu.

Kemenangan itu hadir ketika BN mencatat prestasi buruk pada PRN di enam negeri, Ogos lalu. Umno hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya pula berkata keputusan PRK menunjukkan naratif politik Perikatan Nasional (PN) terutama PAS yang memainkan sentimen agama ditolak bukan Melayu.

“Orang bukan Melayu secara tuntas menolak naratif politik PN terutamanya PAS yang bukan sahaja dilihat sekadar ultra Islam tetapi juga dilihat anti-bukan Melayu,” kata Awang merujuk keputusan dari pusat daerah mengundi Telemung dan Sungai Gapoi di Pelangai.

Bagi Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, Umno masih merasai krisis susulan episod pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya, mengubah sokongan ahli akar umbi kepada pembangkang.

“Peningkatan undi PN adalah undi protes BN, ia masih kekal kedudukan tetapi prestasi sokongan lebih rendah berbanding PRU15…faktornya krisis Umno,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.