Dalam apa juga keadaan tidak kiralah pada era politik kita stabil atau ketika bergolak teruk, ketika ekonomi mencanak mahupun di waktu ia meleset – lagu dan muzik masih tetap menjadi ubat jiwa kita semua. Kerana itulah lagu mampu menjadi medium cukup berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej/pesanan/agenda/propaganda ke merata ceruk dunia. Konsert pun khabarnya rancak jadualnya di ibu kota sampai hujung tahun ini. Muzik dan lagu mampu mengubah fikiran kita, mampu memberi semangat, mampu membuat kita menilai sesuatu dan mampu membuat kita buat bermacam-macam lagi. Lagu yang bagus mampu “menyekolahkan” fikiran manusia.
Bila sebut lagu maksudnya ia adalah sebuah pakej gabungan alunan melodi dan lontaran seni kata (lirik). Sejak dahulu lagi kita tidak kurang dengan lagu-lagu yang mempunyai seni kata hebat hasil tulisan penulis hebat tanah air. Dari zaman P Ramlee kita ada S Sudarmaji, Jamil Sulong, Yusnor Ef, Kassim Masdor (sekadar menyebut beberapa nama) sehinggalah hari ini ramai pelapis lahir seiring perkembangan muzik itu sendiri. Tetapi sejauh manakah kita melihat seni kata itu juga adalah sebuah karya sastera sebaris dengan puisi, seloka, pantun dan syair?
Kalau kita soroti beberapa seni kata lagu yang dihasilkan sepanjang zaman kita akan dapati ada antaranya cukup indah dan bermutu tinggi sebagai sebuah karya sastera. Lagu-lagu yang seni katanya dihasilkan oleh Habsah Hassan, M Nasir, S Amin Shahab, Bob Lokman, Siso, Loloq, Ito Mohd atau Hairul Anuar Harun meniti dari hati ke hati, menangkap jiwa kemudian dinyanyikan semula oleh kita sehingga ke dalam bilik air. Maksudnya tanpa kita sedari karya tersebut “sampai”. Seni kata dihasilkan itu merupakan sebuah karya sastera disandingkan dengan melodi. Kaedah ini dilihat lebih berkesan kepada dalam usaha untuk membuat masyarakat menghayati sastera.
Lalu kita bertanya layakkah penulis lirik dinobatkan sebagai sasterawan negara? Jika ia memenuhi kriteria mengapa tidak? Apa masalahnya, kan? Beberapa penulis seni kata lagu yang saya sebutkan di atas tadi sangat prolifik dan konsisten menulis sejak tiga-empat dekad lalu. Karya mereka bukan kecil anak. Ia melekat di kepala rakyat. Lagu Merisik Khabar, Apo Nak Dikato, Kekasih Awal Dan Akhir, Mentera Semerah Padi, Isabella, Cindai telah melangkaui sempadan kaum, umur dan negara dengan bahasa puitis lagi indah. Malah karyawan-karyawan ini mempunyai stok karya seni yang cukup banyak untuk dikaji. Mereka mempunyai testimoni yang cukup untuk dimasukkan ke dalam senarai calon sasterawan negara sebaris penggiat sastera lain. Ya, karya sastera yang indah, bahasa bermutu, pengkaryanya sangat prolifik serta mampu “sampai” ke bilik tidur pendengar takkanlah tak layak? Sebahagian daripada karya hebat dihasilkan oleh nama-nama saya sebutkan tadi telah pun dijadikan tesis oleh mahasiswa. Sebagai contoh, Hairul Anuar Harun penulis lirik lagu nyanyian Siti Nurhaliza seperti Cindai, Sesuci Lebaran, Hati Kama dan beberapa penyanyi lain seperti Samrah Mentari (nyanyian Jamal Abdillah) sedang menyiapkan tesis doktor falsafahnya di Institut Peradaban Melayu, UPSI berjudul “Estetika Kesenimanan Melalui Perspektif Akal Budi Melayu Dalam Karya M Nasir”.
Penyanyi dan penulis lagu legenda Barat, Bob Dylan telah diberi penghormatan sebagai penerima Hadiah Nobel Sastera bagi tahun 2016. Penyerahan penghargaan yang cukup berprestij itu berlangsung di Swedish Academy di Stockholm sebagai sebuah pengiktirafan kepada seniman kerana menghasilkan kerja yang bagus dalam bentuk lagu dan lirik kerana karya Dylan dinilaikan mampu memberi inspirasi kepada dunia. Bob Dylan merupakan penulis lagu yang pertama menerima Hadiah Nobel. Ini bermakna karyanya dianggap sebagai sebuah karya sastera terbaik sebaris tokoh sastera terkemuka dunia. Ini menjadi kebanggaan warga Amerika. Bagaimana dengan kita di sini?
Mungkin kerana kita masih menganggap lagu dan muzik hanyalah sebuah hiburan ringan dan remeh maka ia tidak layak dibincangkan apatah lagi untuk diangkat sebagai sebuah khazanah hebat. Kita wajar melihat seniman dan sasterawan kita sebagai khazanah negara. Menteri melalui kementerian berkaitan patut menganjurkan perbincangan sama ada di peringkat akademik mahu juga di tempat awam tentang sumbangan sasterawan kepada masyarakat sama ada melalui lagu, puisi atau novel.
Selain sukan, lagu mampu menyatukan kita rakyat Malaysia. Lagu berperanan menjadi jambatan perpaduan seluruh warganegara. Peranan penulis seni kata lagu khususnya yang memupuk nilai murni, mengangkat martabat bahasa kebangsaan dan membawa pemikiran bernas sehingga menginspirasikan rakyat patut sangat dikategorikan sebagai sebuah karya sastera. Usaha mereka setanding dengan sasterawan yang lain. Maka jika mereka berjaya memenuhi kriteria sebagai sasterawan negara, saya tidak nampak masalahnya. Boleh! Pantaslah! Jangan kita tertinggal dengan negara lain dalam memberikan pengiktirafan kerana kita ini seperti selalunya, sangat lambat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.