PETALING JAYA: Polis menerima 23 laporan menyamar pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) membabitkan kerugian RM720,495 sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa menerima panggilan individu mendakwa pegawai NSRC dan diminta mengikut semua arahan memindahkan wang ke akaun diberikan.
“Individu itu memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran aduan nombor telefon mangsa menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Bagi tujuan siasatan, panggilan kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar pegawai polis,” katanya menurut Bernama dalam sidang media khas di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan mengaku daripada NSRC adalah penipuan.”
Katanya, sepanjang penubuhannya dari Oktober 2022 hingga 30 Nov lalu, jumlah kerugian keseluruhan kes diterima NSRC ialah RM173 juta dan RM33 juta daripadanya berjaya disekat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.