`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 21, 2023

Abang Adik: Momen senyap yang luar biasa

 

Banyak yang ingin saya perkata dan tuliskan mengenai filem Abang Adik setelah menontonnya. Malah saya pasti menontonnya sekali lagi. Ia sebuah filem Malaysia yang sudah meraih perhatian luar biasa dari pelbagai festival filem di luar negara, dan memberikan Wu Kang Ren bintang Taiwan yang tersohor menerusi Autumn’s Concerto sebagai Aktor Terbaik di Anugerah Golden Horse ke-60. Akan tetapi meski ketara kerjaan krew Taiwan, ia tetap filem kita.

Karya sulung pengarah kelahiran Taiping, Perak; Jin Ong ini menyorot hidup golongan tanpa dokumen kerakyatan di sekitar Pudu, Kuala Lumpur. Filem Abang Adik mengisahkan kekhuatiran, penderitaan, dan harapan hancur dua lelaki tanpa dokumen. Mereka mengharungi kehidupan melarat di tengah ibu kota mendepani segala macam diskriminasi, korupsi, dan konflik dengan penguatkuasa undang-undang. Di tengah usaha memperolehi kad pengenalan, ada watak dengan pekerja sosial, migran asing, pemeras ugut perantara pemerdagangan manusia, sepi kaum trans, sunyi wanita profesional dan harapan pelarian.

Filem ini filem yang baik, malah terbaik. Filem yang baik tidak memerlukan banyak rempah sebenarnya. Untuk Abang Adik ia cukup prinsip dan ciri filem baik. Temanya utuh dan tidak bercempera. Sebab dan akibat naratifnya rapi dan tersusun tidak berlompongan. Skripnya mengharu rasa, di samping persembahan para pelakon meyakinkan. Ia juga diramu dengan sinematografi teratas, dengan iringan skor muzik yang menggamamkan.

Filem hampir dua jam ini membentangkan setiap momen dan detik yang bertaraf dunia. Ia dibuka dengan pemaparan pertentangan golongan ‘stateless’ ini dengan para penguatkuasa. Ada pelakon Bront Palarae sebagai ejen pendatang asing yang angkuh untuk membuatkan kita rasa terbiasa, diiring Jack Tan (pernah muncul dalam Air Force The Movie: Selagi Bernyawa) sebagai Adi yang membuatkan kita rasa sebal setelah muka tampan tetapi teduh beliau ditampar dua kali. Menampilkan wajah tempatan ini penting kerana ia memberi keyakinan kepada audien kita bahawa ini filem Malaysia yang realistik, cuma bezanya bahasa filem ini didominasi Mandarin berbaur Kantonis, beralih ke bahasa Melayu dan Inggeris.

Momen kedua-dua abang dan adik berasa geruh dan khuatir setiap kali berdepan dengan polis cukup meyakinkan. Ada banyak detik yang membuatkan kita dapat menghubungkan tingkah laku pihak berkuasa. Kita rasa remuk redam melihat impian kaum trans yang lemah. Mereka sudah tua, tidak laku tetapi masih cuba positif meneruskan hidup.

Kemelut dan juga sengsara mereka yang kerakyatannya kabur ini sangat menyakitkan hati kita yang menontonnya. Empati kita berganda kerana kita cuba memahami mereka tidak ada banyak pilihan dalam hidup. Misalnya Abang dan Adi tidak boleh ke sekolah, membesar di daerah kumuh, menjadi mangsa pemerasan dan tidak ada banyak peluang kesempatan. Abang melakukan banyak pengorbanan, dengan keadaan pekak dan bisu dia berusaha melindungi adiknya. Hatta membuat pilihan melepaskan cintanya. Ia sangat mengharukan.

Syot pilihan pengarah bukan sebarangan. Latar kusam hanyir Pudu di celah kemajuan ibu kota bangkit dalam setiap saat filem ini. Detik air kotor dari ampaian berguguran malah menjadi pemandangan artistik yang menerjang rasa.

Flem ini tidak mensyarahkan persoalan kerakyatan. Ia menunjukkan, dengan meyakinkan bagaimana birokrasi Kementerian Dalam Negeri serasa tidak manusiawi. Kata pegawai kerja sosial yang membantu Abang dan Adi, “rumah mereka terbakar, ibu bapa mati bersama sijil kelahiran dan mereka hidup merempat”. Tentu kisah sebetulnya jauh lebih rumit.

Di satu adegan Adi mengingatkan Kakak Money supaya pilihan raya akan datang mereka “mengundi elok-elok” disambut ujaran Kakak Money, “awak boleh mengundi ke?” Momen politikal seperti ini sangat banyak dan diketuk dengan lembut membuatkan kita tidak berasa.

Pengarah bijak menghantar simbol. Ada adegan Adi di jejambat dengan rasa kecewanya, dengan syot jauh terpampang jejambat itu tertulis Kita Anak Malaysia. Ada satu ketika ketika pegawai polis yang menjaga lokap menempatkan Abang, tertera nama pada dada pegawai itu ‘Adil’. Beliau satu-satunya polis yang dapat dikatakan manusiawi. Di penghujung cerita, skaf yang terlepas di angin lalu balkoni Kakak Money di Ipoh; disulam laungan azan subuh hari dengan esak tangis Adi serasa meramas jiwa. Perlambangan begini melengkapkan sesebuah filem yang kelas.

Kecekapan bermain seperti ini jarang ada. Ia menjadikan filem Abang Adik ini sebuah karya seni yang amat sasterawi. Inilah karya paling hampir untuk kita ke Oscar.

Tema yang unggul ini dibantu oleh lakonan mantap. Banyak yang disebutkan tentang Wu Kang Ren yang melakonkan watak bisu pekak dengan berkesan. Bukan sahaja dia perlu mempelajari sistem bahasa isyarat tempatan, dan bergaul dengan kelas bawah di Pudu, beliau bahkan sangat berjaya mengungkapkan perasaan dan kata-kata tanpa perlu berkata-kata.

Oleh sebab protagonisnya bisu, dan senyap; watak pembantu oleh Jack Tan (pelakon Malaysia) sangat signifikan sehingga serasa berat dan muatannya seimbang. Dalam satu momen senyap yang amat luar biasa setelah Abang melampiaskan rasa marahnya kepada sami (mengingatkan saya adegan hebat dalam Dead Man Walking oleh Sean Penn) khalayak akan diheret untuk meruntun rasa syahdu. Ia saat paling mengetuk. Tidak hairan ramai yang menangis sedu sedan di sini.

Jack Tan yang jelas akan mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan cepat sekali lanjutan filem ini. Ada banyak sebab untuk beliau melonjak naik.

Diam-diam saya berharap filem ini akan mengorak langkah besar dan memberikan kita kalungan penghormatan internasional. Abang Adik antara karya panggung Malaysia terbaik dekad ini. Ia mempunyai segala perasa dan perasaan. Temanya abadi, dialognya sangat tepat menghunjam masuk ke dalam nurani dan lakonannya membuatkan kita terbang ke langit tinggi.

Sebagai pengkritik saya jarang memuji secara keseluruhan sebuah filem yang baik begini. Akan tetapi Abang Adik satu pengecualian. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.