Pada 2 Disember lalu kawan lama saya Jestus Pereira menghantar mesej teks ke kumpulan WhatsApp kami murid tua St John’s Institution batch 1972 yang berbunyi: “Di awal 70-an ada rancangan Krismas di RTM dan penyanyi Melayu seperti Zain Azman kerap mendendang lagu Krismas. Tak ada masalah. What happened over these five decades?”
Empat hari kemudian beliau meninggal dunia. May he rest in peace. Saya tahu ada orang Melayu-Islam yang berpendapat RIP tidak harus diucapkan oleh orang Melayu-Islam kerana menganggap ia suatu doa buat orang yang meninggal dunia yang bukan orang Islam. Saya tidak berhasrat bertikam lidah berhubung isu ini. Saya ada pendapat tersendiri. Bagaimanapun saya hormati saranan itu.
Saya kenal Jestus sejak kami di Tingkatan 1 dan persahabatan kami kekal sehingga mendiang menghembus nafas terakhir. Jestus ialah seorang paderi Katholik. Itu tidak pernah menghalang kami berkawan rapat. Itu bukan isunya.
Yang ingin dinyatakan ialah apa yang mendiang luahkan menerusi teks WhatsApp yang disebut tadi memang benar. Saya juga biasa menonton rancangan Krismas di televisyen yang Jestus katakan itu. Zain Azman memang terkenal waktu itu. Matt Mondo of Malaysia, kata orang. Nama sebenarnya Aziz Majid, anak Haji Majid pengasas the legendary Majid Sate. Nama Aziz jadi Zain sebagai stage name. Keluarga saya kenal rapat dengan keluarga Haji Majid. Allahyarham orang kuat Masjid Jamek Kampung Baru. Tidak bermasalah anaknya nyanyi lagu Krismas. Allahyarham tahu anaknya tetap Islam.
Lagu Krismas, pokok Krismas, Santa Clause malah ucapan selamat sambut Krismas kerap dijadikan isu sejak kebelakangan ini. Semakin hari semakin keras. Ada ustaz melarang umat Islam terbabit dengan semua itu. Haram kata mereka. Rosak akidah. Saya tidak mahu berdebat dengan ustaz yang berkata demikian. Saya tahu mereka yakin bahawa apa yang mereka katakan benar belaka.
Cuma ingin dinyatakan, seperti yang dikatakan pengulas politik Imraz Ikhbal, tidak ada dalam Bible yang menyebut pasal Santa Claus. Ia hanya budaya bukan bersabit keagamaan. Oleh itu orang Islam tidak perlu bimbang kalau bertopi merah putih yang sinonim dengan sang Santa.
Cerita Santa Claus rekaan untuk memeriahkan festivities dan antaranya bertujuan memastikan kanak-kanak berkelakuan baik supaya dapat hadiah daripada orang tua berperut buncit dan janggut putih yang duduk di Arctic Circle.
Kanak-kanak diberitahu sepanjang tahun Santa dibantu oleh orang bunian atau elves yang bertungkus rumus membuat bermacam permainan untuk dihadiahkan kepada kanak-kanak yang baik. Santa dengan menaiki “sleigh” iaitu kenderaannya yang ditarik oleh sekumpulan rusa yang boleh terbang akan datang ke rumah kanak-kanak pada malam menjelang Krismas. Santa turun dan masuk ke rumah menerusi cerobong asap dan meletakkan bungkusan hadiah di bawah pokok Krismas sebelum beredar ke rumah lain. Tetapi kalau rumah tidak ada chimney macam mana Santa masuk ye?
Apa pun kanak kanak tahu itu sekadar cerita rekaan. Mereka tahu hadiah di bawah pokok Krismas dibeli oleh ibu bapa mereka. Tetapi mereka play along atas semangat perayaan.
Saya ada baca rencana yang memetik kalangan agamawan Kristian yang merungut dan sedih Krismas seakan dihijack dan keterlaluan dikomersilkan, sehingga matlamat asal menurut kepercayaan mereka iaitu menyambut atau bersyukur atas kelahiran Jesus Christ diketepikan, khususnya di Barat. Tonton filem Krismas di Netflix dan kita akan tahu apa yang dimaksudkan.
Lalu bagi saya memakai topi Santa atau memberi ucap selamat tidak harus diklasifikasikan sebagai ikut serta atau meraikan ucapara keagamaan. Begitu juga jika menghadiri majlis makan sempena Krismas asalkan tidak menjamah makanan dan minuman yang dilarang Islam.
Upacara keagamaan diadakan di gereja di mana sembahyang dijalankan. Ini rata-rata umat Islam Melayu tidak ikut serta. Umat Islam Melayu tahu akan had, larangan, dan batasan.
Baru-baru ini pengurusan sebuah kedai bakeri mengeluarkan arahan kepada kakitangan supaya menolak sebarang permintaan pelanggan untuk menghias kek dengan ucapan Selamat Hari Krismas . Bakeri itu mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim.
“Kami hanya ikut arahan. Kami bukan melakukan sewenang-wenangnya (melarang ucapan Krismas). Apa akan jadi jika Jakim tiba-tiba mengaudit kami? Mereka akan membatalkan sijil halal kami,” kata pengurusnya kepada FMT tempoh hari.
Apa pun tindakan bakeri itu membuat ramai netizen terutamanya melenting. Ada yang tuduh bakeri itu rasis. Ada orang bukan Islam yang salahkan dan membidas Jakim.
Untuk berlaku adil Jakim tidak ada kena mengena dengan langkah bakeri berkenaan. Maka tidak wajar dipersalahkan sekurangnya berhubung isu ini kali ini. Jadi bolehkah bakeri itu diibarat melatah dan overreact? Sebenarnya bakeri juga tidak boleh dipersalahkan kerana pada 2020 Jakim ada mengarahkan premis yang mempunyai pensijilan halal tidak dibenarkan mempamer produk yang mengandungi logo halal dengan sebarang ucapan bukan Islam. Ertinya termasuk ucapan Selamat Hari Krismas. Bagi saya arahan itu pelik dan keterlaluan.
Bagiamanpun apabila isu bakeri ini tercetus, Jakim pada 16 Disember diberitakan membatalkan larangan yang dikeluarkan pada 2020 itu. Ertinya arahan 2020 tidak lagi terpakai.
Jelas bakeri tadi tidak tahu tahu akan pembatalan arahan 2020 lalu mengambil tindakan untuk memastikan sijil halal mereka tidak terbatal. Kalau Jakim terlebih dahulu memaklumkan akan pembatalan itu maka tidak kecoh seperti yang terjadi. Atau mungkinkah larangan 2020 batal hanya setelah isu tahun ini tercetus?Waullahualam.
Ini tidak pernah berlaku pada masa saya muda dulu. Seperti dikatakan tadi Santa Claus, lagu dan pokok Krismas bukan masalah bagi umat Islam masa lalu. Adakah orang Islam dulu tidak sekuat Islam orang Islam sekarang?
Kepada semua umat Kristian diucapkan Selamat Hari Krismas. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.