`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, December 16, 2023

Covid kembali angkara kita leka

 

Dua puluh empat jam sehari semalam harus diukur lebih tepat oleh seorang pesakit Covid-19. Panjangnya sehari atau semalaman dinilai pada kepayahan untuk lelap, badan yang dedar dan seram sejuk, lapar tapi tiada berselera makan di samping terpaksa menelan berbiji-biji pil sehari. Tidak pun perlu lama – cukup sekadar lima hari – penghidap Covid-19 mengharungi ketidaktentuan dan kelesuan yang tidak pernah dialami sebelumnya.

Bukannya kuarantin seminggu di rumah yang meresahkan, sebaliknya ketidakupayaan melakukan rutin harian yang benar-benar merimaskan ketika virus korona ini sedang mengganas dalam tubuh. Sebagai seorang penghidap stroke selama 11 tahun pada usia emas, Covid tentunya paling saya tidak dialu-alukan. Ia benar-benar menyusahkan bukan hanya kepada saya tetapi sesiapa saja.

Dari ketika menghadiri satu majlis di sebuah hotel di ibu negara petang Sabtu lalu lagi, kesan awalnya sudah pun terasa. Daripada terketar-ketar ketika majlis itu berlangsung, saya tidak mampu bangun dari tempat duduk bersendirian tanpa bantuan. Terhuyung-hayang rasanya ketika kedua-dua kaki tidak mampu menanggung berat badan 75kg.

Paling sukar ialah ketika terpaksa berjalan bertongkat untuk menaiki kereta pulang di depan hotel. Jika tidak kerana bantuan sahabat-sahabat, Rizal, Mohsin dan Kamel, harus saya sudah jatuh tergolek di lobi hotel lagi. Sesampai di rumah, badan terus menggigigil-gigil kesejukan dan ujian sendiri mengesahkan keputusan positif Covid-19, dengan pengesahan lanjut MySejahterai ia kes positif kategori 1 (tidak bergejala).

Keesokannya semakan dengan rakan-rakan mendapati mereka semuanya negatif sebagai kontak rapat. Daya ketahanan mereka ternyata lebih kuat. Ia jadi satu kemujuran tapi ia tidak mengurangkan kesan yang ditanggung sendiri – berperang dengan kocakan perasaan, melawan ketidaktentuan dan menggagahi gejala biasanya yang menuntut banyak kesabaran dan keredaan. Kecuali demam, selesema, sakit tekak dan kelesuan, tiada pula gejala lain seperti cirit-birit, hilang deria rasa dan bau tapi ia tetap melesu dan meresahkan.

Kalau pun ada sedikit kelegaan, ia haruslah hakikat bahawa saya hanya seorang daripada peningkatan 88% kes baru Covid kepada 12,757 kes sepanjang minggu lalu dibandingkan dengan 6,796 kes sepanjang seminggu sebelumnya. Ia bermakna berlaku peningkatan mendadak jumlah kes yang menandakan gelombang baru kes Covid sudah kembali lagi.

Cuma untungnya saya dah lengkapkan vaksinasi dos 1 dan 2 pada Jun dan Julai 2021 dan dos penggalak dalam tempoh berjarak empat bulan. Tak tahulah pula jika ia masih berkesan selepas tempoh sekian lama. Tidak dapat nak bayangkan impaknya jika menghidap Covid-19 pada waktu ini tanpa terdahulu mngambil dos-dos berkenaan dan harus jauh lebih merimaskan.

Kebanyakan kes baru yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan, menunjukkan gejala ringan yang tidak perlu dimasukkan ke hospital. Malah, peningkatan kes mendadak selari dengan trend global dan dijangka terus meningkat selepas cuti Krismas dan Tahun Baru di samping cuti persekolahan hujung tahun yang sudah bermula. Ini menuntut semua orang supaya berawas.

Benarlah anggapan bahawa rakyat Malaysia mempunyai daya ingatan yang amat singkat. Kita terlupa betapa ramai yang berebut-rebut untuk mendapatkan dua dos pertama vaksinasi pada 2021. Ketika itu, kita tidak kisah jenis vaksin yang dibekalkan kerajaan, baik dari Eropah mahupun dari China asalkan dijamin berkesan. Ingatan kepada kematian pada skala besar sebelumnya ketika vaksin belum dikeluarkan membuat ramai sanggup berbaris berjam-jam untuk mendapatkannya.

Harus dalam keghairahan ketika itu juga rakyat terlupa usaha gigih kerajaan berebut-rebut mendapatkan bekalan vaksin ketika penawarannya jauh di bawah permintaan. Di sebalik harganya yang mahal ketika itu, kejayaan membekalkan dua dos vaksin kepada lebih 90% rakyat menyaksikan kadar kematian disebabkan Covid menjunam dengan mendadak. Ia satu kejayaan yang bagaimanapun ada ‘harga’ yang perlu dibayar.

Orang ramai mula bersikap alpa terhadap langkah-langkah pencegahan selanjutnya dalam keadaan Covid sudah diterima sebagai norma baharu dalam kehidupan harian mereka, lantas tidak lagi terlalu ditakuti. Semakin lama semakin ramai yang terdorong untuk percaya kepada pelobi-pelobi akti-vaksin hingga mereka terlupa mengenai pengebumian beramai-ramai di tengah malam dan awal pagi ketika ketiadaan vaksin sebelumnya.

Keperluan untuk majoriti rakyat mendapatkan dos penggalak seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seakan-akan disangkal hingga sesetengahnya mudah termakan hasutan konon ramai yang meninggal dunia disebabkan vaksin Covid-19 berbanding bukti perubatan ia sebenarnya menjadi penyelamat kepada yang ramai.

Pengumuman menteri kesihatan baharu Dzulkefly Ahmad kelmarin bahawa kementerian mungkin mengeluarkan arahan terbaharu suntikan dos penggalak Covid-19, terutama kepada golongan rentan, khususnya warga lanjut usia, bertepatan. Seperti dinyatakannya, kadar pengambilan dos vaksin penggalak kedua pada kadar 54% dan dos penggalak ketiga masih terlalu rendah.

Rakyat dijangka tidak akan menerima kenyataannya bulat-bulat tapi dengan kembalinya gelombang baharu Covid-19 ketika ini dengan penularan yang sukar dikawal, seboleh-bolehnya tidak harus ada sebarang penentangan, apatah lagi jika pengalaman lalu jadi pengajaran. Biarlah apa juga keputusan mengenainya diputuskan oleh mereka yang arif dan pakar dan bukan lagi terlalu mudah terjebak dengan naratif vaksinasi Covid-19 hanya membawa lebih mudarat daripada kebaikan.

Kita harus belajar daripada pengalaman bahawa apa juga langkah pencegahan akan lebih berkesan jika ia dilakukan awal daripada harus menyesalinya kemudian. Di sebalik percanggahan pendapat beberapa pakar kesihatan yang tidak melihat keperluan untuk kerajaan mengarahkan semula pemakaian pelitup muka ketika ini, rakyat harus menilai keperluan sendiri jika pemakaiannya dapat menjadi langkah pencegahan tambahan buat mereka. Tidak cukupkah kelekaan yang menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19 akhir-akhir ini menjadi petunjuk?

Saranan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming agar Kementerian Kesihatan menguatkuasakan semula aplikasi MySejahtera untuk memantau pesakit Covid, kini mungkin sudah sampai ke tahap satu kemestian. Saya sudah sampai ke penghujung tempoh kuarantin di rumah, harap-harap ia tidak menjadi permulaan kepada beribu-ribu yang lain pula. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.