`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 12, 2023

Hujung Tahun Punya Cerita

Sedar tak sedar kita sudah sampai bulan Disember. Rasa baru sahaja kita menyambut tahun baharu dan hari-hari perayaan, tahu-tahu dah pun berada di penghujung tahun. Bila masuk bulan 12, kita bakal disibukkan dengan berbagai hal. Teringat dulu-dulu bulan 12 cuti sekolah panjang. Anak-anak berkhatan, musim orang buat majlis nikah-kahwin serta kenduri-kendara di bulan inilah. Syarikat-syarikat perniagaan dan jabatan kerajaan pun sibuk buat kerja tutup fail, kira untung-rugi, kalau untung lebih beri bonus. Program adhoc pun dibuat untuk menghabiskan wang peruntukan tahunan sebelum buka fail untuk tahun baharu dan datangnya bajet baharu.

Disember ini juga musim tengkujuh pun tiba. Masing-masing bersiap-sedia kemungkinan berlakunya banjir. Walaupun sudah bertahun-tahun keadaan begini tiada tetapi akhir-akhir ini musim tengkujuh sudah kembali seperti keadaan sewaktu saya kanak-kanak dahulu. Banjir dan tanah runtuh yang kerap saya dengar zaman kanak-kanak dahulu kini mula kerap berlaku kembali bahkan lebih merisaukan berbanding sepuluh dua puluh tahun sebelum ini agak kurang. Inilah putaran kehidupan. Kemudian masuklah tahun baharu dan peristiwa ini terus berulang dan berulang seiring usia kita. Dari awal Januari lalu hingga hujung Disember ini kita menyambut beberapa kelahiran baharu dalam keluarga kita dan pada waktu yang sama kita juga menerima kehilangan ahli melalui kematian.

Di hujung tahun ini kita mengeluh sekali lagi mengenangkan masa. Kenapa semakin tua kita merasakan masa semakin cepat berlalu? Itu pertanyaan kawan saya kepada saya kerana menurut dia sewaktu kanak-kanak dia rasa waktu berjalan sangat lambat. Untuk saya, ia ada kaitan rapat antara perjalanan hidup kita dengan tuntutan di sekeliling.

Begini. Kebanyakan kita mula menyedari yang kita ini benar-benar wujud apabila kita pertama kali menjejak kaki ke sekolah rendah. Waktu itu kita rasa kita paling kecil. Mereka yang sudah masuk darjah lima dan enam kita lihat sudah besar. Kita mahu cepat sampai kepada umur tersebut dan kita berasa sangat lambat. Apabila tamat darjah enam kita sekali lagi berasa masih lagi kecil apabila masuk ke sekolah menengah. Kakak-kakak dan abang-abang kita yang di tingkatan tiga mula meremaja dan tidak mahu lagi berkawan dengan kita. Mereka sudah akil baligh, sudah ‘mengguna’ barangan dewasa seperti tuala wanita, ubat jerawat ataupun pisau cukur. Muzik, lagu, artis-artis pujaan adalah bahan cerita mereka. Kita berasa geram dan mahu berpakaian seperti mereka dan kita berasa amat lambat sampai ke situ untuk bersama mereka yang mula meninggalkan kita. Dan apabila kita sudah sampai ke situ, kita melihat ke atas lagi. Ada sebuah lagi perjalanan yang penting dan panjang. Perjuangan untuk menentukan masa depan kita dalam menempuh hari-hari dewasa. Menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kerjaya. Inilah perjalanan yang paling kita rasa lambat iaitu umur antara 20 hendak masuk ke 30. Pada peringkat ini banyak perubahan hidup kita berlaku. Berkawan, bersuka-ria, bekerja, bercinta dan berkahwin lalu mempunyai anak. Untuk usia ini apa-apa pun boleh berlaku kepada nasib kita sama ada baik atau sebaliknya.

Masuk usia 30an itulah mulanya masa dirasakan bergerak dengan pantas. Walaupun di alaf 21 ini perubahan telah berlaku di mana ramai lelaki dan wanita masih tenang membujang pada usia ini tetapi mereka tidak dapat tidak sedang melalui fasa menstabilkan kerjaya. Seperti yang saya kata tadi tuntutan hidup menekan kita. Kita telah masuk ke dalam arus yang laju tidak kira kita bujang atau sudah beranak-pinak. Ketika kita berperang inilah kita melihat ibu bapa kita semakin tua dan proses ketuaan mereka kita rasakan amat pantas.

“Tak payah beria berteorilah, Ron.” sampuk kawan saya. “Kita rasa masa cepat bergerak sebab kita kena bayar bil dan hutang. Bil bulan lepas kita baharu bayar, belum sempat rileks bil baharu sudah sampai. Hutang rumah, hutang kereta, hutang bank baharu kita jelaskan semalam, bila gaji masuk hari ini kita nak kena bayar lagi. Baru nak enjoy-enjoy sikit datang lagi bil nak kena bayar!”

Ya! Itulah maksud saya. Kehidupan kita telah diatur oleh sebuah sistem yang hendak tak hendak kita semua telah pun masuk ke dalam terowong itu. Kita beramai-ramai dan bersesak-sesak perlu berjalan dalam arus yang sama sehingga ke hujung terowong. Langkah kita kena laju dan semakin laju.

“Aduh! Berfalsafah pulak!” rungut kawan saya lagi. “Kita kena bayar semua bil, itu sebab kita rasa masa bergerak amat laju.” kata dia sambil berlalu. Katanya hendak ke hospital ada temujanji bulanan dengan doktor untuk sakit kencing manis yang dihidapinya. “Rasa baru semalam pergi, ni nak kena pergi lagi.” sungut dia lagi. Begitulah kita melihat masa bergerak. Sebuah pertanyaan saya kepada dia sebelum dia beredar ialah ‘sehingga hujung tahun ini antara golongan pembuat dasar dengan kita rakyat marhaen, kehidupan siapakah yang lebih baik?’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.