`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 13, 2023

Jangan lihat dari sudut ‘kaca mata korporat’, menteri kewangan II diberitahu

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan perlu ada kemahuan politik untuk mengutamakan ekonomi rakyat.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno berharap Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat tidak hanya memfokuskan kepada ekonomi, sebaliknya perlu “berjiwa rakyat”.

Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata walaupun dasar yang hendak dilaksanakan mungkin tidak sesuai pada kaca mata seorang “ahli korporat” tetapi Amir Hamzah perlu ada “kemahuan politik” untuk mengutamakan ekonomi rakyat.

“Jangan fokus pada ekonomi negara sahaja. Dengar denyut nadi rakyat. Menteri kewangan perlu berjiwa rakyat. Barulah berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Berpengalaman lebih 27 tahun dalam sektor korporat, Amir Hamzah selepas mengangkat sumpah sebagai Senator semalam berkata beliau komited untuk membantu membangunkan ekonomi negara, sekali gus memastikan Malaysia kembali disegani di rantau ini.

Amir Hamzah mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sejak Mac 2021. Sebelum itu, beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), MISC Bhd dan Petronas Dagangan Bhd.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan perlu memastikan rakyat cukup makan dan poket terisi bagi menangani sentimen agama dan bangsa yang sering dimainkan pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan.

Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata sejarah dunia membuktikan sentimen menyentuh emosi seperti agama dan bangsa mudah dimainkan, namun tidak memberi kesan sekiranya pemerintah berjaya memastikan rakyat mempunyai cukup makanan dan ekonomi terus kukuh.

“Sentimen ini mudah dimainkan apabila perut rakyat terikat dan keadaan ekonomi melarat.

“Jika kerajaan dapat pastikan makanan atas meja rakyat mencukupi dan poket rakyat sentiasa terisi, sentimen murahan yang tidak berasas ini mudah sahaja diketepi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, Asyraf berkata, kedudukan Islam dan kepentingan Melayu-Bumiputera akan terus terpelihara selagi Umno berada dalam kerajaan.

“Selagi Umno dalam kerajaan perpaduan, selagi semua parti hormati perjanjian yang dimeterai sejak awal pembentukan, insyaAllah kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tetap terpelihara bahkan kepentingan Melayu-Bumiputera juga tidak akan sesekali diperlekehkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Rombakan itu menyaksikan jumlah menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang susulan pecahan kepada kementerian sedia ada, manakala timbalan menteri turut bertambah daripada 27 kepada 29 orang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.