`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 23, 2023

Kes Zayn Rayyan: Polis minta bantuan Interpol

 

Polis merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk, dan mengambil 248 sampel DNA dalam siasatan kes kematian Zayn Rayyan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis memohon bantuan Interpol untuk mengkaji beberapa maklumat dan bahan yang diperoleh dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pada sidang media berkata bantuan itu melibatkan maklumat diperoleh pasukan siasatan, yang memerlukan maklumat lanjut daripada pangkalan data Interpol.

Mengulas lanjut, Hussein berkata polis merakam 225 percakapan daripada keluarga dan penduduk di Apartment Idaman, Damansara Damai; dan mengambil 248 sampel DNA.

“Lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan adalah tempat kejadian jenayah kedua dan berikutan itu kami mempunyai bukti fizikal dan keterangan yang terhad, kami masih lagi sedang mengesan lokasi pembunuhan,” katanya.

Proses siasatan kes berkenaan kini memasuki fasa ketiga iaitu pasukan forensik memberi tumpuan kepada unit tertentu di blok tertentu rumah pangsa berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan setiap hari di kawasan berkenaan. Kami tidak akan berputus asa, akan teruskan siasatan hingga pelakunya ditahan… mungkin bukan sekarang tetapi kami yakin pelaku ini akan ditahan,” katanya.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, pada keesokannya.

Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.