`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 26, 2023

Kunjungi 3 tempat indah dan semula jadi di Sabah

 

Taman Pertanian Sabah di Tenom yang menempatkan ribuan pokok buah-buahan dan spesies bunga berbaloi dikunjungi. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

KOTA KINABALU: Sabah yang kaya dengan khazanah flora dan fauna menjadi tumpuan pencinta alam semula jadi. Tidak hairanlah mengapa Negeri di Bawah Bayu ini menjadi pilihan pelancong yang ingin merasai sendiri suasana pergunungan dan hutan tropikanya.

Negerinya yang luas dan mempunyai begitu banyak tempat menarik mungkin membuatkan mereka yang kali pertama mengunjunginya berasa sukar membuat pilihan. Usah bimbang. Tourism Malaysia menyenaraikan beberapa pilihan hebat. Berikut adalah tiga lokasi wajar anda pertimbangkan.

1. Hayati suasana alam semula jadi dengan Klias River Cruise

Perjalanan menyusuri sungai membolehkan anda melihat keunikan alam semula jadi Sabah dengan lebih dekat. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Ingin menikmati pengalaman menaiki bot yang bukan sahaja santai lagi menenangkan, malah memberi anda peluang melihat hidupan liar dengan lebih dekat? Pilih Klias River Cruise.

Perjalanan yang bermula dari jeti di Kuala Penyu akan membolehkan anda mengenali “playboy of Borneo” dalam persekitaran habitat semula jadinya. Itulah monyet proboscis, spesies monyet yang terkenal dengan hidung besar!

Amati aktiviti spesies ini pada sebelah petang di sepanjang sungai tersebut.

Saksikan keunikan monyet proboscis yang terkenal dengan hidungnya yang besar. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Biarpun petang berganti malam, namun aktiviti menyusuri sungai belum berakhir. Hutan kaya dengan hidupan, malah banyak haiwan akan muncul selepas matahari melabuhkan tirainya.

Pastikan tangan anda tetap berada di dalam bot ketika pemandu anda menyuluh lampu ke permukaan sungai yang gelap. Sekiranya anda melihat sepasang mata yang berkilau, di situlah sejenis reptilia berada.

Malah, pada malam yang tidak disinari cahaya bulan, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan kelip-kelip menerangi pepohon.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kilas River Cruise, klik sini, hubungi 019-840 0402 atau emel sales@oibtours.com.

2. Mandi lumpur gunung berapi di Pulau Tiga

Di Pulau Tiga inilah musim pertama rancangan TV ‘Survivor’ difilemkan. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Pernah menonton “Survivor” rancangan realiti TV Amerika Syarikat? Kini, ia memasuki musim ke-46! Tahukah anda yang penggambaran musim pertamanya dibuat di Sabah? Ya, di Pulau Tiga.

Pulau ini yang menawarkan pelbagai tarikan tersendiri boleh dikunjungi menggunakan bot laju. Ia terletak 18km dari Kuala Penyu dan perjalanannya mengambil masa kira-kira setengah jam.

Setibanya di sana, pengunjung dapat melihat papan tanda yang bertulis “Survivor Island”.

Sepertimana kebanyakan pulau di Sabah, antara tarikan di Pulau Tiga ialah pantai yang indah dengan pasir putih dan laut membiru.

Lumpur gunung berapi di Pulau Tiga menarik kunjungan pelancong yang inginkan kulit cantik. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Rasai pengalaman unik mengunjungi lokasi lumpur gunung berapi yang terletak di tengah-tengah pulau ini. Ia ciri semula jadi di mana gas yang keluar dari perut bumi memuntahkan lumpur dan air.

Pelancong dari Asia Timur terutamanya, gemar mandi lumpur di sini kerana percaya ia memberi banyak manfaat kepada kulit. Mungkin inilah maksud sebenar menikmati alam semula jadi.

Siapa tahu, anda mungkin pulang dengan kulit yang sihat, cantik dan berseri!

Untuk maklumat lanjut mengenai Pulau Tiga, klik sini, hubungi 08-852 3500 atau emel hello@sabahparks.org.my.

3. Bersantai menghayati alam semula jadi di Taman Pertanian Sabah

Daerah Tenom sesuai untuk pertanian disebabkan tanahnya subur dan iklimnya yang serasi.

Di sinilah lokasi Taman Pertanian Sabah yang menjadi sebahagian daripada Kompleks Pertanian.

Taman ini yang diwujudkan pada Oktober 2000 berperanan mengekalkan kepelbagaian flora Sabah sambil mendidik pengunjung mengenai alam semula jadi.

Terdapat pelbagai koleksi orkid di Taman Pertanian Sabah termasuk spesies berharga dan sukar ditemui. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Terdapat lebih 2,000 spesies tumbuhan di sini, daripada yang biasa ditemui seperti durian sehingga kepada spesimen luar biasa seperti pokok cannonball.

Tarikan utama di taman ini adalah ratusan koleksi orkidnya, termasuk spesies diberi nama Sumazau iaitu orkid rasmi Sabah dan sangat berharga. Terdapat Kawasan dikhaskan untuk pokok buah-buahan, di mana anda boleh merasai buahnya di situ juga.

Jangan lupa melihat sendiri buah-buahan hanya terdapat di Sabah seperti kesusu yang seakan-akan cempedak, namun rasanya masam manis. Juga buah bambangan yang kelihatan seperti langsat bersaiz besar. Ia sebenarnya sejenis spesies mangga dan biasanya dijadikan jeruk!

Kemudahan penginapan turut disediakan di sini bagi mereka yang ingin menikmati haruman bunga dan buah-buahan segar di waktu pagi. - FMT

Untuk maklumat lanjut mengenai Taman Pertanian Sabah klik sini, hubungi 08-7737 952 atau emel tps_tenom@yahoo.com.

Artikel ini ditulis hasil kunjungan ke Sabah anjuran Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.