`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 12, 2023

Lari asrama: Polis akan ambil keterangan pelajar dakwa dibuli

 

Khamis lalu remaja berkenaan dilaporkan hilang dari kawasan sebuah sekolah di Cheras sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan seorang pelajar lelaki 14 tahun yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah, di sini, kerana mendakwa tidak tahan dibuli, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, ketika dihubungi Bernama berkata keterangan pelajar berkenaan, akan direkodkan selepas remaja itu keluar dari hospital.

“Polis akan memanggil selepas remaja itu keluar dari hospital dan akan memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada pelajar lelaki berkenaan berkata anaknya masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras, akibat trauma.

Beliau berkata, anaknya mungkin memerlukan sedikit masa untuk kembali stabil dari segi emosi dan fizikal, sebelum membuat laporan polis.

“Saya hadir ke balai polis untuk buat laporan tetapi atas nasihat polis, tunggulah sehingga anak saya sihat sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu, remaja berkenaan dilaporkan hilang dari kawasan sebuah sekolah di Cheras sebelum ditemukan dalam keadaan lemah di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan buli melibatkan pelajar berkenaan dan akan memastikan perkara itu diselesaikan segera. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.