`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 26, 2023

Memikul amanah Parti Amanah

 

Kalau ikut undian perwakilan pada pemilihan Amanah dua hari lalu bolehkah disimpulkan parti mahu Dzulkefly Ahmad menjadi presiden? Bukan lagi Mohamad Sabu? Bagi saya pada permukaannya begitulah realitinya. Bagi penulis politik veteran Mohd Sayuti Omar yang mengikuti Amanah sejak parti itu dilancarkan pada 2015, isyaratnya jelas.

“Ini adalah signal bahawa ada perwakilan yang mahu Amanah bertukar kepimpinan,” kata Sayuti.

Ditukar kepada Dr Dzul? Tetapi beliau pernah menyuarakan hasrat berundur malah tidak mahu bertanding PRU15 tetapi dipujuk supaya ubah fikiran. Dzulkefly bertanding dan menang sekali lagi Parlimen Kuala Selangor untuk Amanah-Pakatan Harapan.

Apa pun Dzulkefly pada pemilihan parti 24 Dis lalu mendapat 900 undi untuk menduduki tangga teratas manakala Mohamad di tangga kelapan dengan 613 undi, dalam pemilihan 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah. Mengikut peraturan 27 ahli itu akan memilih dalam kalangan mereka penyandang jawatan Top Five. Lalu mereka pilih Mohamad untuk presiden, Mujahid Yusof sebagai timbalan presiden, dan Dzulkefly, Siti Mariah Mahmud serta Adly Zahari jadi naib presiden.

Berbalik kesimpulan yang saya sebut tadi. Benar ‘hanya’ 1,008 perwakilan yang mengundi secara e-voting Ahad lalu, bukannya setiap ahli parti. Tetapi ahli memberi mandat kepada perwakilan lalu mesti akur apa jua langkah yang perwakilan ambil. Begitu juga hak 27 AJK pimpinan nasional untuk memilih Top Five. Peraturan ini diterima oleh setiap ahli Amanah. Oleh itu pilihan jawatankuasa boleh diterjemah sebagai pilihan parti walaupun diakui tentu ada yang tidak puas hati dan sebagainya.

“Pemilihan parti secara konsensus menyelamatkan Mat Sabu. Pada saya persetujuan dan muafakat jawatankuasa pimpinan adalah lebih kepada mengenang beliau sebagai pejuang dan pengasas parti,” kata Sayuti.

Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Mohamad atau Abang Mat dalam kalangan parti amat besar dan tidak boleh dinafikan. Pun begitu ini penggal terakhir sebagai presiden kerana menurut perlembagaan parti seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut. Faktor penggal terakhir juga dirasakan diambil kira jawatankuasa pimpinan apabila memilih Mohamad. Sebagai last hurrah beliau.

“Yang membimbangkan perubahan yang diharapkan tidak akan ke mana kerana umum tahu kebolehan Mohamad selama memimpin parti dan juga semasa menjadi menteri,” kata Sayuti.

Hampir semua pemerhati politik sependapat Amanah punyai peranan penting untuk mengukuhkan PH juga kerajaan perpaduan, terutama untuk menarik undi Melayu. Amanah sendiri tekad mahu jadi parti progresif dan alternatif kepada PAS yang dilihat sebagai ‘hardline‘ dan ‘extreme’ namun sehingga kini belum berjaya. Tentunya pengkritik menuding jari kepada Mohamad.

Kini Mohamad setelah diberi peluang sekali lagi mesti melakukan keajaiban. Dibantu Mujahid, Dzulkefly, Siti Mariah, dan Adly.

“Pelantikan Mujahid adalah tepat. Bagi saya hakikatnya Mujahid adalah presiden parti. Beliau bukan sekadar mengganti Allahyarham Salahuddin Ayub tetapi merupakan ‘pengganti’ Mohamad Sabu,” menurut Sayuti. Sebelum pemilihan, Mujahid dikatakan berminat menggambil alih sebagai presiden.

Mungkin kata Sayuti, jika Mujahid mempunyai jawatan menteri dalam kerajaan perpaduan beliau akan dapat lebih daripada apa yang diperolehi Dzulkefly. Mujahid mendapat 699 undi dan tiga tangga di belakang Dzulkefly. Pada rombakan Kabinet tempoh hari Mujahid tidak dipilih walaupun ramai yang menjangka beliau akan kembali. Dzulkefly dipilih untuk menjadi menteri kesihatan buat kali kedua.

Bagaimanapun menurut Sayuti pemilihannya sebagai timbalan presiden Amanah memberi peluang kepada Mujahid merealisasikan cita-cita memperkasakan parti dan “Mujahid perlu membuktikannya dan tidak menggunakan pemilihan sebagai timbalan presiden parti sebagai sandaran untuk dilantik ke jawatan menteri atau jawatan penting dalam kerajaan menerusi jawatan nombor dua Amanah.”

Menurut Sayuti, memperkasakan parti lebih penting daripada jawatan kerajaan. Tugas berat menunggu dan Sayuti berharap Mujahin “dapat perbetul keadaan dan menyusun semula organisasi di semua peringkat dari negeri ke kawasan.”

Pada pandangan saya Top Five Amanah gandingan mantap cuma yang wajib mesti bergerak senada seirama jika mahu merealisasikan (mengikut kata-kata Mohamad) “potensi besar untuk terus mengemudi negara bersama rakan dalam PH dan mutakhir ini dalam kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional.”

Oh ya. Satu lagi niat Amanah ialah perjuang untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama dan menolak extremism. Ini diulangi pada konvensyen nasionalnya tempoh hari. Ia juga mahu memerangi “politik takfiri” yang mengkafirkan sesama Islam. Susah tetapi bukan mustahil. Namun hanya gerakan sepadu boleh merealisasikan hasrat itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.