`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, December 25, 2023

Pak, belajar daripada politikus Malaysia yok

 

Walaupun pilihan raya akan diadakan Februari depan, di Indonesia sekarang sedang rancak berkempen. Sebenarnya kempen sudah berjalan sekian lama kerana tarikh ‘pemilihan umum’ Indonesia sudah ditetap dan diumum awal-awal. Tidak ada elemen suspen dan tak perlu tertanya-tanya seperti di Malaysia.

Pemilu 2024 akan menentukan keanggotaan DPR atau Dewan Perwakilan Rakyat. Ertinya, parlimen Indonesia. Yang mendapat perhatian ramai bukan sahaja di Indonesia ialah pemilihan presiden untuk mengambil alih daripada Joko Widodo, yang penggal sebagai presiden tamat tahun depan.

Amalan lazim calon presiden dan wakil presiden (istilah kita ‘naib presiden’ atau ‘timbalan’) wajib berdebat. Kali ini ada lima pusingan debat. Dua sudah dilangsungkan. Hebat dan menarik. Bukan senang berdebat untuk menyakinkan pengundi. Ada lebih 200 juta pengundi di Indonesia yang layak “coblos” kali ini. Tentu bukan senang berkempen untuk menembusi sasaran. Soal logistik juga tanggungjawab besar. Kesimpulanya banyak usaha wajib dilakukan untuk pemilu. Tetapi jika mahu senang apa kata jika ahli politik Indonesia belajar daripada politikus Malaysia? Bukan semua tetapi belajar daripada kumpulan tertentu. Yang bijak mencipta kemenangan tanpa perlu bertarung pilihan raya.

Bagaimana bapak-bapak poltitik Indonesia sekalian? Mau ngak? Begini. Contoh klasik kalau bapak tidak tahu ialah apa yang dipanggil Langkah Sheraton. Orang Malaysia sudah lebih daripada tahu. Ia terjadi pada 2020 dua tahun setelah pilihan raya umum Malaysia ke-14.

Begini Pak. Ada silap mata berlaku yang akhirnya menyaksikan perdana menteri waktu itu letak jawatan. Sekali gus mengikut perundangan kerajaan yang dipimpinnya tumbang, dong. Kerajaan yang tumbang itu turut dianggotai wakil beberapa parti dalam satu pakatan. Cukup menarik ada dalam kalangan mereka yang menang tahun 2018 lantas duduk dalam kerajaan berpakat pula dengan parti yang kalah untuk mengambil alih pemerintahan. Ertinya mereka ‘lompat’ untuk bersama parti yang mereka lawan dulu tetapi sudah jadi kawan. Dulu benci sekarang cinta.

Mereka berpakat-pakat (saya tidak tahu istilah Indonesia) dan menentukan perdana menteri baharu. Hebat bukan? Jadi perdana menteri dan tubuh kerajaan tanpa perlu berlawan dan bertarung dalam pilihan raya. Tidak perlu pusing kepala untuk cuba dapat mandat rakyat. Pedulikan dituduh ‘kerajaan pintu bekakang’ atau ‘tebuk atap’. Istilah ‘tebuk atap’ diilhamkan salah seorang pemimpin tertinggi kerajaan itu sendiri ya. Apa pun hakikatnya berjaya dan berhasil jadi kerajaan cara mudah.

Lebih hebat tidak lama kemudian ‘kerajaan tebuk atap’ itu pun turut tumbang dengan cara hampir sama apabila ada dalam kalangan meeka menyatakan hilang keperycayaan terhadap perdana menteri baharu tadi, sekali gus tarik sokongan. Maka perdana menteri baharu dah tak jadi baharu. Tiba-tiba jadi mantan. Diganti dalam kalangan mereka yang tarik sokongan seperti disebut tadi, lalu terbentuk satu lagi kerajaan tanpa pergi mendapatkan mandat rakyat. Mudah bukan?

Jelas Langkah Sheraton memberi nafas baharu kepada politik Malaysia dan dijadikan contoh. Ia perintis ke arah bentuk kerajaan tanpa susah payah. Menarik juga bajet untuk pilihan raya yang berjumlah jutaan ringgit berjaya dijimatkan. Bertuah kami punya politikus yang prihatin terhadap perbelanjaan wang negara.

Benar ada undang-undang baharu yang nawaitunya menghalang politikus lompat-lompat pakat-pakat. Sedikit sebanyak berhasil setakat ini tetapi ada politikus masih berura-ura dan merencana untuk melakukan lagi langkah ala Sheraton. Atap mahu ditebuk lagi. Cari jalan pintas untuk jadi kerajaan. Cuba tumbangkan pemerintah yang ada ini, yang menyahut titah raja bentuk kerajaan campuran dipanggil ‘kerajaan perpaduan’.

Iya dua hari lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bilang apa-apa percubaan untuk jatuhkan kerajaan ala ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak. Sarawak pak ialah negeri dalam Malaysia letaknya di Borneo jirannya Kalimantan. Di Borneo juga ada Sabah pak dan sokongan gabungan parti politik kedua negeri itu membolehkan kerajaan Anwar ditubuhkan.

“Kalau ada sedikit sebanyak percubaan tebuk atap ia akan hanya berasas sekiranya ada ruang yang diberikan Sarawak dan Sabah,” kata Anwar pada 23 Disember lalu, dilapor agensi berita Bernama.

Kata Anwar Sarawak dan Sabah tidak akan beri ruang itu akan tetapi maklumlah pak politikus akalnya panjang, sentiasa berputar cari muslihat untuk menjatuhkan lawan. Dalam hal ini mereka cari jalan pintas. Pedulikan apa kata rakyat.

Apa kata bapak ahli politik Indonesia? Mahu ngak ikut cara politikus kami? Jalan mudah dapat kuasa. Saya faham jika bapak tidak mahu belajar cara politikus Malaysia yang disebut tadi kerana bapak julang demokrasi dan hormati suara pengundi. Bapa di landasan yang betul. Syabas. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.