`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, December 20, 2023

Penipuan 3 syarikat pelaburan, 14 kes sudah dituduh di mahkamah

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf juga menafikan dakwaan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap tiga syarikat pelaburan itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis menerima 547 laporan berhubung kes penipuan oleh tiga syarikat pelaburan dan sebanyak 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata daripada jumlah itu, 42 kertas siasatan masih dalam penyiasatan manakala 14 kes sudah dituduh, empat arahan tiada tindakan lanjut dan dua masih dalam tindakan Pejabat Peguam Negara.

“Semua laporan polis yang didapati mempunyai unsur penipuan atau pecah amanah jenayah akan dibuka kertas siasatan dan disiasat mengikut seksyen berkaitan jenayah itu di bawah Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bagi kes melibatkan jenayah pelaburan, kebanyakan menjurus kepada peruntukan undang-undang lain antaranya Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta Skim Kepentingan 2016.

“Apabila sesuatu laporan polis diterima, JSJK akan menasihatkan pengadu untuk merujuk laporan mereka kepada agensi berkaitan,” katanya.

Ramli mengulas mengenai kira-kira 500 mangsa penipuan tampil membuat aduan dan laporan kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) selepas mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuang nasib mangsa perlu mengambil maklum bahawa pihak berkuasa termasuk polis tidak mengambil mudah atau bersikap tidak peka terhadap kes penipuan termasuk skim pelaburan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan khususnya yang menjanjikan pulangan tinggi terutama daripada syarikat tidak berdaftar.

Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama 500 mangsa kes penipuan pelaburan membuat aduan kepada NFCC.

Mereka mendakwa tiada tindakan diambil terhadap tiga syarikat yang dikatakan menipu mangsa. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.