`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 3, 2023

Populariti Dr Sam menangkan PAS

 

Asalnya beliau mungkin bukan pun calon pilihan utama. Seperti diakui Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini, PAS Pusat menerima lima nama untuk dipilih sebagai calon bagi PRK Parlimen Kemaman. Ramai yang percaya Che Alias Hamid akan diberi peluang bertanding semula tapi kesudahannya Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar jadi pilihan.

Harus kini ia bersifat akademik kenapa beliau ditampilkan PAS. Pihak lawan mengandaikan parti itu terdesak selepas Barisan Nasional (BN) lebih dahulu mengumumkan bekas panglima angkatan tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya. Diuar-uarkan sebagai seorang yang mengenali Kemaman luar dan dalam, beliau ‘dijual’ sebagai wakil rakyat yang akan dapat memberi segenap tenaga dan sepenuh tumpuannya terhadap pengundi dan kawasan berkenaan.

Sebaliknya, Samsuri, 53, digembar-gemburkan lawan hanya dapat menjadi Ahli Parlimen separuh masa atau kurang daripada itu. Kesibukan tugasnya mentadbir negeri di samping kawasan Ru Rendang yang diwakilinya sebagai Adun, dikatakan tidak akan meluangkan masa untuknya mendekati dan menyelami masalah dan keperluan pengundi Kemaman.

Cakap-cakap seumpama itu tersebar luas sehingga menuntut Presiden PAS Hadi Awang tampil pada 18 Nov lalu untuk memberi perakuan Samsuri tidak perlu meletak jawatan menteri besar semata-mata untuk memberi fokus sebagai calon PRK Kemaman. Beberapa menteri besar dan ketua menteri negeri lain yang turut jadi Ahli Parlimen dijadikannya contoh selain yakin naib presiden PAS itu mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Kemudian, ketika kempen semakin meningkat momentumnya, pengiktirafan terbesar terhadapnya diberikan oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang tidak menafikan Ahmad Samsuri adalah calon perdana menteri pada masa depan. Ia dianggapnya salah satu langkah strategik dalam memberikan gambaran kepada rakyat bahawa PN tidak ketandusan pemimpin berwibawa.

Ini disusuli pula oleh kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin yang bersetuju beliau berkelayakan untuk dilantik sebagai perdana menteri masa depan, dengan menteri besar Terengganu itu yang kini memasuki penggal keduanya sudah membuktikan kemampuan mentadbir negeri dengan baik.

Penarafan atau ‘rating’ Samsuri terus melonjak. Tolak ke tepi apa pun isu yang cuba ditimbulkan lawan terhadapnya, kebarangkalian untuk seorang anak Terengganu diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara – tidak kira bila dan bagaimana – ternyata sukar untuk ditenggelamkan.

Malah, dari awal lagi, PAS sudah melaungkan keyakinan mampu meraih kemenangan lebih besar, dengan Naib Presiden Idris Ahmad percaya pengundi terutama orang muda masih bersama memberi sokongan kepada PN dan PAS. Berucap di satu ceramah perdana di Kijal pada 23 Nov, beliau yakin majoriti calon PAS itu akan meningkat kepada 30,000 undi – mengatasi majoriti 27,000 pada PRU15.

Menurut keputusan rasmi yang diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab di pusat penjumlahan undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman malam tadi, Samsuri meraih 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi mendapat 27,778 undi sekali gus merekodkan majoriti 37,220. Peratusan keluar mengundi adalah 65.76%.

Tidak sekadar meniti populariti barunya, Samsuri turut memiliki beberapa faktor lain yang memenangkannya. Antaranya simpati pengundi kepada PAS selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU15 setelah didapati wujudnya unsur rasuah.

Ia kerusi Parlimen kedua dimenangi PAS yang dibatalkan. Pada PRK Kuala Terengganu yang berlangsung serentak dengan pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos lalu, PN mengekalkan kerusi itu dengan mudah apabila calonnya Ahmad Amzad Hashim berjaya meraih kira-kira 5,300 lebih undi berbanding yang diterima pada PRU15. Sentimen yang sama boleh dilihat dengan jelas pada PRK Kemaman.

PAS juga masih mengekalkan momentum Gelombang Hijau yang kuat berdasarkan kemenangan 8-0 bagi kerusi Parlimen pada PRU15 di samping kedudukan 32-0 pada PRN 12 Ogos – menafikan hasrat BN untuk ‘pecah telur’ rekod 40-0 yang terus dipertahankan PN, di samping membiarkan kerajaan perpaduan hanya dapat berpuas hati mengekalkan kerusi yang dahulu dimenanginya seperti yang dapat disaksikan pada PRK Pulai, Simpang Jeram, dan Pelangai.

“Ketenangan yang ada pada Ahmad Samsuri menyelesaikan satu-satu isu, tidak menyerang peribadi seseorang dan kejayaan mentadbir Terengganu melayakkannya menjadi seorang perdana menteri kepada semua bangsa dan parti-parti politik di negara ini,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman Hanafiah Mat sebagai menyimpulkan keperibadian ‘Dr Sam’.

Benarlah jangkaan Presiden Umno Zahid Hamidi yang menerusi perkongsiannya di laman Facebook 18 Nov lalu mengakui PRK Kemaman tidak seakan semudah yang diingini mereka. Kekuatan personaliti Raja Mohamed Affandi sebagai calon semata-mata ternyata tidak mencukupi. Juga dakwaan Samsuri tamakkan jawatan tidak banyak memberi kesan.

Perlu juga direnungkan semula pemilihan Raja Mohamed Affandi selaku calon langsung BN dan bukan melalui Umno sama ada bertepatan atau sebaliknya kerana PAS mudah memainkan naratif bahawa sebahagian penyokong Umno sendiri menolaknya.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa sebelum ini membangkitkan calon BN itu bukannya daripada kepimpinan parti itu di Kemaman, seolah-olah tidak ada seorang pun pemimpin di Kemaman yang layak bertanding.

Keputusan semalam juga melenyapkan tanggapan kawasan Parlimen Kemaman adalah kubu kuat Umno, yang kini hanya boleh dijadikan kenangan kejayaan silam selepas penguasaan BN menerusi Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal berakhir dengan kemenangan Che Alias untuk PAS pada PRU14.

Kesimpulan Zahid yang partinya kalah Kemaman pada PRU15 disebabkan fitnah terhadap Umno dan BN yang diberikannya naratif “simbahan kebencian terhadap Umno khususnya” selain penggunaan sumber kewangan yang luar biasa oleh pihak lawan, kini hanya selayaknya menjadi bahan arkib.

Samsuri, dalam euforia kemenangannya, menganggap ia satu game changer yang membuka pintu bagi PN menuju ke Putrajaya. Ketika ini ia mungkin keterlaluan – kerajaan perpaduan masih mempunyai 152 Ahli Parlimen manakala pembangkang kekal dengan 69 – tapi dengan kemasyhuran baru yang membawa kepada kemenangannya, beliau harus boleh dimaafkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.