PETALING JAYA: Ahmad Said berkata beliau berundur sebagai ketua Umno Terengganu untuk memberi laluan kepada muka baharu.
Dikenali dengan panggilan Mat Said, bekas menteri besar Terengganu itu berkata beliau turut mencadangkan nama Rozi Mamat sebagai pengantinya yang sebelum ini berperanan sebagai setiausaha Umno negeri.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi Umno Terengganu dan telah mencadangkan Rozi Mamat bagi menggantikan saya.
“Untuk makluman semua, keputusan yang telah saya buat ini adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang baru yang lebih muda bagi meneraju Umno Terengganu,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan pelantikan Rozi yang juga bekas Adun Telemong sebagai ketua Umno Terengganu yang baharu berkuat-kuasa serta merta.
Selain Rozi, turut diumumkan pelantikan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi sebagai ketua Umno Johor.
Ahmad yang juga bekas Adun Kijal turut berterima kasih kepada semua yang membantunya sepanjang menduduki jawatan itu.
“Saya memohon kemaafan kepada semua yang terlibat dalam pentadbiran saya selama ini, jika ada kekasaran atau kekurangan yang telah saya lakukan sepanjang pentadbiran saya di dalam Umno Terengganu.
“Saya berharap dengan pelantikan Rozi dapat menyuntik semangat baharu dalam pentadbiran Umno Terengganu nanti,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.