PETALING JAYA: Data Kementerian Pendidikan (KPM) yang secara langsung mencerminkan peningkatan kes buli di sekolah belakangan ini mencetuskan polemik dengan beberapa pihak mengesyorkan kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus bagi menanganinya.
Syor mereka bersandarkan kebimbangan gejala sosial itu akan terus membarah apabila pihak berwajib mendedahkan sepanjang tahun ini, sebanyak 4,994 kes dilaporkan setakat Oktober lepas, berbanding 3,887 kes pada 2022 dan 326 kes pada tahun sebelumnya.
Antara kes yang dilaporkan media termasuk kejadian tiga pelajar lelaki Tingkatan Empat dikatakan dipukul oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah berprestij di Kuala Kangsar, Perak, pada September lepas. Baru-baru ini, seorang pelajar Tingkatan Dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras, dikatakan kerana tidak tahan dibuli.
Jelas, kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman akibat buli pada 2017 gagal memberi keinsafan mahupun pengajaran kepada pihak yang berkenaan, sekali gus kata pakar, mewajarkan penguatkuasaan undang-undang khas sepertimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Filipina.
Pakar berpandangan, pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual oleh KPM pada September lepas, belum memadai, kerana hanya membantu pihak sekolah mengendalikan kes buli.
“Bagi saya, penting penguatkuasaan (akta) sebagai pengajaran dan membangkitkan ketakutan supaya mereka tidak mudah membuli,” kata peguam Muhammad Akram Abdul Aziz, lapor Bernama.
Buli bukan sekadar fizikal
Pada masa sama, Muhammad Akram kesal kerana masih ramai tidak sedar salah laku buli tidak terhad kepada kekerasan fizikal, tetapi turut merangkumi perbuatan lisan seperti mengejek, mengusik atau menghina ciri fizikal.
Tanggapan buli hanya berbentuk kekerasan fizikal membuatkan ramai mangsa buli secara lisan atau bahasa badan diabaikan, sekali gus menafikan hak mereka mendapat pengadilan.
Perbuatan tersebut memberi kesan kepada pembangunan sahsiah seseorang yang turut berisiko mengalami tekanan mental, tambahnya.
“(Dengan) adanya undang-undang, maka tafsiran buli itu lebih menyeluruh dan dapat membantu mangsa buli akibat percakapan seperti mengejek, menyebarkan khabar angin, panggilan mengaibkan atau mimik muka, misalnya menjegilkan mata, senyum sinis dan sebagainya.”
“Buat masa ini, antara undang-undang yang digunakan bagi menangani kes buli ialah Kanun Keseksaan, namun akta ini hanya boleh mensabitkan buli esktrem yang mengakibatkan kecederaan, bunuh dan ugutan.”
Mohamad Naqiuddin Dahamat Azam, penyelidik bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia pula berkata, dengan adanya undang-undang khusus, si pembuli dapat dikenakan hukuman setimpal.
Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 misalnya, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100 bagi mereka yang disabitkan kesalahan membuli secara lisan, yang menurut Mohamad Naqiuddin, tidak cukup setimpal.
Jangan sorok
Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat akta khusus dapat menutup ruang dan peluang salah laku itu daripada berlaku.
Beliau turut memetik program suai kenal di asrama antara pelajar baharu dan senior sebagai antara perkara yang membuka ruang kepada salah laku buli.
“Contohnya, melalui program suai kenal (sebegitu), pembuli boleh kenal pasti mereka yang mudah dibuli.
“Malah, ada potensi mereka yang pernah menjadi mangsa sebelum ini bertukar menjadi pembuli,” katanya, mencadangkan agar program seperti itu diteliti semula dan disesuaikan dengan keadaan semasa.
Pada masa sama, beliau menegaskan pihak sekolah harus bertanggungjawab dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya berlaku insiden buli.
Pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Norsafatul Aznin A Razak pula melihat pihak sekolah yang menyembunyikan insiden buli sebagai mengabaikan kebajikan pelajar.
“Semua sekolah harus mempunyai prosedur yang jelas untuk melapor, menyelidik dan menangani kes buli. Perlu ada langkah pencegahan buli dengan melaksanakan program pencegahan buli di sekolah.
“Ibu bapa juga kena berwaspada dan perlu melihat sama ada anak mereka berpotensi atau berdepan risiko dibuli dalam kalangan rakan-rakan mahupun lingkungan sekitar mereka, agar anak itu dapat dibantu apabila ia berlaku,” katanya.
Peranan masyarakat
Sementara itu, Mohamad Naqiuddin turut meletakkan tanggungjawab menghapuskan salah laku buli pada masyarakat, yang katanya perlu memainkan peranan proaktif.
Kepekaan masyarakat terhadap isu itu akan dapat membendung salah laku berkenaan pada peringkat awal, katanya. Ini termasuk mengenal pasti mangsa buli dan mengambil langkah segera bagi menanganinya.
“Kajian mendapati kegagalan mengawal perasaan marah, kurang rasa empati, desakan rakan sebaya serta pelaksanaan disiplin di sekolah yang kurang berfungsi antara faktor yang mendorong perbuatan buli.
“Oleh sebab itu, kita perlukan pembabitan komuniti yang aktif untuk menamatkan gejala buli. Persatuan ibu bapa dan guru juga boleh melaksanakan program menghentikan buli di sekolah,” katanya.
Beliau juga melihat portal aduan buli yang dilancarkan KPM pada Ogos tahun lepas sebagai medium terbaik bagi melaporkan kes buli di sekolah, berbanding menyebarkan insiden itu di media sosial. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.