`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, December 22, 2023

Yogeswary wirawati sejati

 

Pengkisahan mengenainya umpama sedutan drama swasta di televisyen. Cuma, perihal R Yogeswary, seorang pengawal keselamatan yang ramah dan ringan tulang membantu orang ramai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh yang mula tular sejak Mac lalu bukan daripada adegan yang tujuannya untuk meruntun perasaan khalayak. Ia cerminan dirinya yang sebenar tanpa menaruh sebarang prejudis mahupun prasangka.

Mungkin ada beranggapan tidak ramai yang peduli, tambahan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan sering dikaitkan dengan layanan yang tidak sepatutnya mereka terima, dengan kata nista dan cemuhan sudah menjadi lumrah dalam pekerjaan sehari-hari.

Teguran supaya mengalihkan kenderaan dari tempat tidak sepatutnya, arahan supaya meletakkan kenderaan di kawasan yang sedikit jauh atau memastikan pelawat mematuhi peraturan pengurusan hospital demi keselesaan orang lain sering berbalas dengan kata-kata keras seolah-olah mereka tiada nilai dalam masyarakat.

Bohonglah kalau Yogeswary, seorang ibu tunggal berusia 44 tahun yang mempunyai dua cahaya mata, tidak pernah berdepan keadaan sedemikian. Tapi jauh daripada bertindak balas seperti lazimnya boleh dijangka daripada seorang yang berpekerjaan sepertinya, dia lebih mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan.

Mungkin padanya biarlah apa yang hendak difikirkan orang lain, khususnya dalam kalangan yang berdarjat dan berpangkat yang sering memandang rendah kepada orang lain, pegangan Yogeswary ialah dia tidak harus merendah-rendahkan dirinya ke tahap mereka. Seseorang tidak pun perlu berpangkat atau berkedudukan untuk berjasa dan berbakti, jauh sekali mengharapkan balasan atau habuan bagi apa juga amalan baik yang dilakukan seikhlas hati.

Pada akhir zaman yang menyaksikan ramai yang terdorong menghukum atau membuat tanggapan memperkecilkan orang lain, Yogeswary sebaliknya menyerlahkan keperibadian luhur dan murni demi suatu amanah dan meringankan kepayahan mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira perbezaan warna kulit mahupun anutan.

“Anda berhak kepada (pengiktirafan) ini,” titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepadanya ketika mengurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara Selasa lalu. Ia mungkin hanya empat patah perkataan yang ringkas tapi cukup bermakna yang menjadi lanjutan kepada pelbagai komen menerusi media sosial sebelumnya.

“Mungkin tuan puan kenal wanita ini. Di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, ada seorang staf yang istimewa. Ketika kita berada di kawasan hospital, kita akan dapat melihat dia bekerja dengan gembira. Dia jalankan tugasnya dengan baik, dan terkenal kerana suka menolong orang. Dia akan tolong bukakan pintu kereta, tolong angkatkan barang, menjaga lalu-lintas di kawasan parking, tenangkan pesakit yang cemas, ucapkan tahniah kepada ibu yang baru melahirkan anak. Tak kira hujan-panas, tak kira siapa kita, dia akan menolong dengan ikhlas dengan muka yang manis. Dia jalankan tugas dengan memberi 110%,” kata satu hantaran Mohd Fareed di laman Viral Perak, 13 Mac lalu.

“Puan Yogeswary mendapat penghargaan dari menteri besar Perak di Majlis Sambutan Hari Wanita 2023 Peringkat Negeri Perak yang telah diadakan tiga hari lepas di Laman Seri Ridzuan. Puan Yogeswary yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun seringkali tular di media sosial kerana sifat baik dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau semasa bertugas. Beliau menjadi pujian semua lapisan masyarakat yang datang ke hospital atas urusan, tidak terkecuali oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini,” kata satu lagi hantaran di laman sama pada 22 Mac.

“Congrats, Auntie. Masa keluar wad bersalin hari tu, dia tolong suami carikan parking. Masa nak naik kereta nak balik, di tolong bukakan pintu pastu siap cakap semoga dipermudahkan. Keep it up, Auntie,” kata Nor Farhana di Facebook, sambil Rafidah Zainul mengungkapkan: “Congrats madam. Saya salah seorang saksi kebaikan Puan Yoges di Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB. Saya ibu hamil yang stress memikirkan proses bersalin ketika PKP dan beliau menenangkan saya dengan pelukan dan sentuhan mak-mak.”

“Memang sangat-sangat baik pun, masa aku keluar hospital lepas bersalin time nak masuk kereta dia lah yang tolong bukakan pintu kereta pastu siap papah aku bawa masuk kereta lagi. Memang terbaik layanan dia,” ciap Fieyza Sha, ditokok oleh komen Puteri Farah Farhana, “Terbaik. Ini lah contoh pengawal keselamatan yang bekerja dengan ikhlas dan ada rasa tanggungjawab bukan kerana duit semata-mata,” diselangi penghargaan Haslina Mohd Hariri: “Tahniah Puan. Moga menjadi contoh buat semua… tanpa mengira agama dan bangsa.”

Ada puluhan lagi komen seumpamanya yang cukup diwakili hantaran menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa pada 15 Mac: “Tular di media sosial kisah seorang wirawati, Puan Yogeswary. Rata-rata menyatakan beliau amat sering bantu memudahkan pesakit atau ahli keluarga yang berurusan di hospital tersebut. Komitmen dipamerkan suatu yang amat terpuji. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Puan Yogeswary dan juga para staf sokongan di setiap fasiliti KKM.”

Susulan daripada komen-komen berkenaan, Yogeswary tidak menyangka menerima surat dari Istana Negara yang memaklumkan mengenai penyenaraiannya untuk menerima pingat daripada Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu. Berkebaya hitam dengan ditemani kakaknya R Rajeswary, 48, di majlis itu, Yogeswary hanya mampu merakamkan rasa syukur, gembira dan terharu.

“Ia membuatkan saya menitiskan air mata. Saya tak sangka khidmat kecil saya dihargai seluruh negara. Sudah tentu penganugerahan ini melonjakkan semangat saya untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat di sini,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Jelas budi baik lambat-laun akan mendapat penghargaan jua dan Yogeswary selayaknya menerima pengiktirafan tertinggi di atas bakti yang tidak pernah mengharapkan sebarang bentuk balasan. Cuma alangkah baiknya jika dia dapat turut dibantu meningkatkan taraf hidup daripada segi peningkatan kerjaya demi masa depan diri dan dua cahaya matanya.

Ketika bibit-bibit perkauman semakin menular dan toleransi antara kaum semakin terhakis, Yogeswary menunjukkan betapa nilai-nilai kemanusiaan harus sentiasa diutamakan selari dengan budi pekertinya selaku seorang wirawati sejati. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.