`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, January 16, 2024

Filem penyuntik semangat

 

Melangkah sahaja alam remaja kita seperti memasuki litar perlumbaan. Pengaruh sekitar seperti latar belakang keluarga, pergaulan dengan kawan-kawan, muzik yang sedang hangat, filem dan fesyen yang menjadi ikutan akan membentuk hala tuju kita. Kita berkemungkinan boleh berubah dari acuan asal yang dibentuk dari kecil di rumah. Seperti pantun lama:

Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sebatang
Masa kecil ditimang ibu
Bila besar ditimang gelombang

Pantun, syair, peribahasa, perumpamaan lama itu sebenarnya telah kita kecilkan maknanya walhal itulah falsafah hidup peninggalan nenek-moyang. Ini melambangkan betapa tinggi dan tajam pemerhatian mereka. Kita cenderung menyanjung falsafah-falsafah luar sedangkan tok-nenek kita juga kenal sepak-terajang kehidupan.

Teori dan praktikal kehidupan berjalan serentak ketika kita memasuki umur belia. Ini kita panggil ‘pendidikan informal‘ setelah kita melalui ‘pendidikan formal‘ dan ‘non-formal‘ di sekolah. Saya ketika mencecah remaja juga seperti rakan sebaya tercari-cari identiti. Lagu dan fesyen daya tarikan yang kuat tetapi itu apabila kita bercakap tentang penampilan. Bagaimana dengan prinsip dan pegangan hidup? Bagaimana hendak menghadapi kerenah hidup di kota yang kian hari kian mencabar.

Bekerja dan bergaul menemukan saya rencah-ragam manusia. Kawan-kawan datang dan pergi. Nak bercinta, makwe macam mana nak kena cari? Nasihat siapa yang harus kita dengar? Mak abah? Kita takkan terima punya sebab zaman mereka sudah berlalu, fikir kita. Kitalah yang kena hadap sendiri semua ini. Sepak-terajang ini menuntut kita mencari falsafah hidup yang bagaimana hendak kita pegang.

Ketika itulah saya bertemu sebuah filem yang mendidik saya tentang menangani kehidupan. Seniman Irish terkenal, Oscar Wilde (1854-1900), pernah mengungkapkan life imitates art far more than art imitates life. Mungkin kenyataan ini sangat benar dan boleh juga berlaku sebaliknya, tetapi melalui sebuah filem berjaya mempengaruhi cara kita berfikir.

Filem ‘A Bronx Tale’, yang diadaptasi daripada karya teater solo oleh Chazz Palminteri berdasarkan kisah zaman kanak-kanaknya, dan arahan pertama pelakon pujaan saya, Robert De Niro, menjadi guru kehidupan saya ketika bergelut dalam dilema. Ditayangkan pada 1993 ketika saya baru cecah usia 20 tahun, ia mengisahkan seorang kanak-kanak yang menyaksikan pembunuhan di depan rumahnya oleh seorang kepala samseng di kejiranan mereka. Ketika disoal polis, Calogero tidak memecahkan rahsia.

Sonny (lakonan Palminteri sendiri), si ketua samseng sejak itu mula beri perhatian pada Calogero dengan memanggilnya ‘C’. Dia terhutang budi dengan C yang menutup mulut tidak bekerjasama dengan polis. Kanak-kanak ini diberi peluang bekerja di bar sebagai pembaling buah dadu dalam permainan judi haram di tingkat bawah tanah bar tersebut. C yang selama ini hanya kanak-kanak di tepi jalan mula digeruni oleh jiran-jiran sekitar kerana mereka tahu C rapat dengan Sonny.

Sudah tentulah bapa Calogero iaitu Lorenzo (lakonan De Niro) marahkan Sonny kerana mengajar anaknya jadi jahat. Di sinilah munculnya pertentangan falsafah di mana Sonny mengajar seorang anak remaja menjadi cepat dewasa dengan wang, fesyen, dan kuasa manakala Lorenzo, seorang pemandu bas, mengajar anaknya menjadi manusia yang tekun bekerja bagi menyara keluarga.

“Orang tidak sayangkan Sonny. Mereka takut dengannya. Ada beza antara ditakuti dengan disayangi.”

Kata-kata Lorenzo kepada anaknya itu saya cuba terapkan sewaktu saya menjadi guru vokasional yang berhadapan dengan beratus budak remaja sedang meningkat naik. Nakal mereka bukan main-main, kalau gagal dikawal boleh porak-peranda asrama. Saya menimbangkan antara mahu jadi guru yang disayangi dan popular atau menjadi guru garang, ditakuti dan langsung tidak popular. Falsafah Sonny membuatkan saya terfikir semula.

“Kalau boleh kita hendak keduanya sekali. Ditakuti dan disayangi tetapi ia sukar untuk dibuat. Aku pilih untuk ditakuti.”

Pap! Saya memilih menjadi guru yang ditakuti oleh pelajar-pelajar remaja saya. Memang saya ditakuti sehinggakan apabila tiba Hari Guru, saya dan beberapa guru yang garang antara yang tidak pernah mendapat hadiah daripada para pelajar. Yang banyak dapat hanyalah guru-guru yang baik dengan pelajar. Aduhai! Namun, setelah setengah abad hidup saya mulai mengerti maksud Sonny. Hari ini, hubungan saya dan bekas pelajar saya terutamanya yang nakal terus kekal mesra dan baik.

Seperti anda semua, saya juga pernah mengalami perangai kawan yang pinjam duit kita tetapi cukup liat nak melunaskannya. Kita pula yang dilihat bersalah setiap kali tagih hutang. Kawan kita lari-lari. Sonny mengajar satu pelajaran kepada C ketika C mengejar seorang kawan yang enggan bayar hutang.

“Dia tak nak bayar hutang kau $20? Biarkan dia lari. Kau tak suka dia kan? Dah! Tak payah fikirkan dia lagi. Tak usah minta. Dia tak akan muncul lagi dalam hidup kau dan tak akan ada lagi muka dia datang nak pinjam duit dengan kau. Dengan harga $20 kau dah buang dia dalam hidup kau. Itu nilai untuk dia.’

Kan? Berguna juga nasihat Sonny ini kan? Saya pernah meminati seorang artis. Cukup-cukup minat tetapi pernah sekali apabila berjumpa betapa saya kecewa dengan layanan yang diberikannya terhadap saya. Sonny melihat C memakai topi besbol The Yankees dan C mengaku minat Mickey Mantle, jaguh pasukan tersebut. Sonny langsung mengejek;

“Mickey Mantle buat duit banyak. Bapak kau ada duit sebanyak dia? Kalau bapak kau susah tak mampu bayar sewa rumah, dia pergi minta dekat Mickey Mantle; kau ingat Mickey bagi?”

Sejak itu Calogero tidak lagi menggilai Mickey Mantle sama seperti saya yang mengucapkan ‘lantak pi lah!’ kepada artis pujaan saya. Kita beli album dia, hafal lagu-lagu dia – senyum pun dia tak mahu? Udahlah tu, yeop! “Nobody cares!” itulah perkataan yang kerap diucapkan di dalam filem ini. Ya, segala hal yang kita tempuh dalam kehidupan ini, nobody cares. Kita saja yang berasa orang kisah dengan kita. Nak buat itu takut apa orang kata, nak buat ini bimbang orang cakap. Dapat naik pangkat mesti orang akan kagum. Nobody cares, huh!

Calogero terpengaruh dengan pendidikan di jalanan apabila melihat wang, kuasa, dan fesyen penentu kehebatan bagi seseorang manusia apatah lagi untuk seorang lelaki. Sonny seperti bapa dan guru di luar rumah manakala bapa kandungnya daripada kelas pekerja yang berbangga membanting tulang menyara keluarga. Kata bapanya:

“Bukanlah gagah bagi seorang lelaki yang menarik picu pistol untuk mencari makan (dengan memeras orang lain) tetapi cuba suruh mereka bangun pagi pergi bekerja setiap hari mencari nafkah menanggung keluarga. Mereka takkan mampu. Lelaki yang bekerja adalah lelaki yang kuat.”

Sonny dan Lorenzo idola Cologero. Keduanya betul dari perspektif masing-masing. Tentang mencari kekasih, Sonny berikan tips untuk menguji kesetiaan seseorang wanita. Sonny tidak melihat rupa dan warna kulit, nasihatnya bertemakan kepedulian manakala bapa Calogero agak rasis. Ini membuatkan Calogero dan Lorenzo bergeser pandangan kerana dia sedang dating dengan seorang gadis kulit hitam yang tinggal di ghetto, permukiman penduduk Afrika-Amerika bersebelahan kawasan tempat tinggal mereka yang rata-ratanya keturunan Itali-Amerika.

Pendeknya, begitulah kita mendewasa. Perjalanan kita memang mengikut ke arah mana kecenderungan kita. Dari situ ada elemen-elemen sekeliling yang mempengaruhi kita. Ada yang dipengaruhi dengan ahli falsafah, sajak-sajak penyair, ada yang warak mengikut anjuran agama dengan petikan kitab suci dan hadith sebagai panduan.

Nama-nama seperti Plato, Aristotle, Jalaluddin Al-Rumi dan Saidina Ali Abi Talib antara tokoh falsafah masyhur yang diidolakan oleh ramai manusia di seluruh dunia. Mungkin kata-kata mereka adakalanya dipetik salah konteks namun pemikiran mereka diakui banyak memberi inspirasi. Jalan-jalan yang kita pilih adalah denai-denai yang kita percaya mampu membahagiakan kita. Betul atau salah, itu kita sendiri yang percaya sebab kita telah memilih dan bersedia menanggung baik-buruknya.

Apa yang paling menyedihkan dalam hidup ini? Bagi saya, kata-kata dalam filem A Bronx Tale di bawah ini cukup mengesankan:

“The saddest thing in life is wasted talent.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.