Kedatangan tahun baharu sering dikaitkan dengan azam untuk menukar apa-apa yang sebelum ini disifatkan kurang baik atau sudah lama menuju ke arah lebih baik. Maka, kita pun menanam azam dan tekad sebaik menjelangnya tahun baharu.
Kalau tahun lepas merokok, azam tahun baharu kita mahu berhenti. Kalau gemuk, kita berazam untuk kurus. Azam juga dipasang untuk melunaskan impian dan cita-cita yang terbengkalai sebelum ini agar berjaya direalisasikan tahun berikutnya. Setiap kali kalendar bertukar, kita mahu berubah menjadi lebih baik. Itu nawaitu.
Dahulu ketika penggal pertama persekolahan dimulakan pada awal tahun, ibu bapa akan membeli persalinan sekolah baharu untuk anak-anak. Daripada pakaian sehinggalah stoking dan kasut. Seakan suatu kemestian, amalan ini barangkali untuk menumpang berkat semangat tahun baharu itu sendiri.
Seingat saya, ketika bersekolah dahulu, saya tidak berpeluang merasai suasana seperti itu, lantaran latar keluarga yang datang daripada kelas buruh di mana perbelanjaan kami berdikit-dikit. Memang ada kawan-kawan sebaya berpakaian baharu di tahun baharu, tetapi keluarga kami tidak mengamalkan cara seperti itu.
Ayah saya hanya membeli pakaian baharu, kasut baharu untuk menggantikan persalinan lama yang sudah tidak muat. Tidak kira kalau tengah tahun, tengah tahunlah. Bukan tertakluk pada kalendar. Kadang-kadang tapak kasut sudah haus, tetapi kerana masih muat, saya terus memakainya.
Apabila masuk sekolah berasrama di tingkatan empat dan lima, saya memakai baju dan kasut yang saya minta daripada kawan tinggal satu dorm dengan saya. Saya tidak ada masalah dan tak pun bersungut sebab sedar diri. Kalau saya hendak berazam pada tahun baharu ini, saya ingin terus kekalkan keazaman saya yang saya pupuk semenjak remaja itu lagi, iaitu tak mahu bersungut.
Apa sebenarnya yang kita mahu setiap kali datang tahun baharu? Iyalah! Apa yang kita hajati itu bergantung kepada apa yang kita buat. Kalau kita bekerja makan gaji, kita mahu berusaha naik pangkat. Kalau kita ahli politik, kita mahu kedudukan kita melonjak lebih atas lagi. Kalau kita penyanyi, kita mahu buat konsert yang besarlah!
Bercakap tentang itu, minggu lepas pada 26 Dis, saya menyambut hari lahir saya yang ke-50. Saat saya sampai umur 50 itu, saya merenung kembali pencapaian hidup saya. Dan saya melihat rakan-rakan seusia saya. Benar, untuk umur begini, boleh dikatakan rakan-rakan seangkatan saya sudah berada dalam keadaan stabil. Karier pun sudah selesa, anak-anak sudah dewasa, rumah dah ada, dah pergi Mekah tunaikan umrah dan haji. Pendek kata, cukup syarat dah. Dah boleh “healing-healing” dah. Apa nak lagi, kan?
Kemudian saya melihat ibu dan ayah saya di kampung. Ibu sudah berusia 81 tahun, tetapi tidak menghidap sebarang penyakit, manakala ayah yang sudah menginjak usia 88 tahun masih boleh memandu kereta. Ini membuat saya berasa insaf. Saya berazam mahu menjadi seperti mereka. Tetapi, timbul pertanyaan di hati saya, dengan gaya hidup saya sekarang, mampukah saya mencapai usia sebegitu dengan kesihatan serupa? Sudah tentu saya tidak mahu menjadi sebaliknya.
Menghidap penyakit yang membantutkan pergerakan dengan kesibukan memenuhi temujanji hospital adalah mimpi cukup menakutkan. Lebih mengerikan, keuzuran ini pastinya menyusahkan orang lain pula. Kalau dah macam itu, apa pun tak boleh, wo!
Berkenaan kawan-kawan seangkatan saya yang saya sebutkan stabil tadi, kerjaya dan pencapaian mereka, nampaknya ada di antara mereka sudah mula dihinggapi penyakit. Darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, jantung, strok ibarat tetamu yang sedang berada di laman rumah dan mengetuk pintu untuk masuk. Dan kita yang berada di dalam rumah cukup berdebar. Pada tahun baharu 2024 ini juga, jika berazam itu hukumnya wajib, maka saya berazam untuk menjadi sihat. Ilmu kesihatan perlu dipelajari. Gaya hidup yang sihat perlu diamalkan.
Berbalik kepada kisah orang tua saya yang saya kagumi dan berazam ingin mencontohi mereka , memang gaya hidup merekalah faktor utama mereka tidak kena penyakit kronik yang disebut sebagai tiga serangkai itu.
Ayah saya, saya lihat sejak kanak-kanak akan terus balik ke rumah selepas bekerja. Dunia dia hanya menghadap berita TV dan rancangan yang disiarkan pada waktu perdana sebelum masuk tidur sekitar 10 malam. Dia bukan kaki lepak kedai kopi, tetapi tidak pula dia kera sumbang.
Ibu dan ayah mempunyai hubungan baik dengan jiran tetangga. Kenduri-kendara dia terlibat. Tetapi bergebang dan melepak di kedai kopi tidak. Tidak ada teh tarik, roti canai, mi goreng di luar. Makan minumnya hanya di rumah. Tidak melanggan suratkhabar. Tiada kaset, pita video semua itu. Cukup hanya menonton TV dan melayan stesen radio kerajaan sahaja.
Manakala ibu saya pula celik matanya menguruskan rumah tangga. Segala masak-memasak, kemas-mengemas dan cuci-mencuci sahaja yang dia tahu. Politik apa, ribut apa, kahwin cerai artis dia tak tahu langsung. Yang dia fikirkan ialah lauk apa nak dimasak setiap hari. Sampai masa mengundi, dia mengundi.
Itulah yang kedua mereka hadap sepanjang kedewasaan saya. Hidup yang tenang-tenang sahaja. Ikut arus. Ada rumah sendiri sudah. Tak payah beli tanah dan tak perlu ada harta banyak atau rumah sewa.
Bila saya sudah bekerja, saya belikan buku serta kitab-kitab agama untuk ayah telaah. Itulah aktiviti dia mengisi hari-hari tua, membaca dan membuat catatan di buku nota sendiri sambil menghafal apa yang dikutip daripada pembacaannya.
Wajarkah saya mencontohi mereka? Baikkah amalan hidup sebegitu? Dalam hiruk-pikuk dunia sekarang, dengan perkembangan teknologi dan media sosial serta gaya hidup minum kopi, sanggupkah saya menggadaikan “nikmat-nikmat” dunia hari ini dan bertukar menjadi keramat hidup seperti mereka? Pengorbanan sungguh nampaknya ni! Perjuangan betul gayanya ni, kalau nak jadi macam mereka.
Untuk saya, kita harus menjadi diri sendiri. Dalam menentukan masa depan kita sendiri, benar – memang menuntut keazaman yang tinggi. Maka itu, kita buat dengan apa yang kita ada.
Jikalau saya memacakkan tujuan hidup saya dengan bermodelkan rakan-rakan seangkatan, saya pasti saya akan diserang kemurungan dan gagal. Mereka berkerjaya tetap, sedangkan saya ini bekerja sendiri. Tiada gaji bulanan.
Mereka punyai anak yang mendewasa, sudah bermenantu dan menimang cucu, sedangkan anak-anak saya sudah meninggal dunia. Jika saya guna kayu ukur kehidupan mereka, pastilah hari tua saya dan isteri saya akan kami habiskan di rumah kenangan dengan syahdu. Nak-nak apabila syawal menjelma. Tak ada siapa yang ziarah.
Tidak! Saya tidak boleh pakai silibus mereka. Kita guna kompas kita sendiri. Apa yang kita miliki, kita pegang dengan bangga dan yakin. Itulah yang kita bawa sampai hujung hidup kita. Dengan apa yang kita pegang itulah, kita bina azam dan bergerak untuk mencapainya tanpa mengira bila. Tidak perlu tunggu tahun baharu datang, jalan terus.
Dalam kekalutan yang tak pernah putus di sekeliling kita, baik debat agamawan sama agamawan, heboh-heboh konspirasi politikus untuk menjatuhkan politikus, dengan pergaduhan bisnes antara “influencer” sama “influencer” – kita mesti terus hidup, dengan cara kita tanpa menjadi pak turut kepada siapa-siapa. Selamat tahun baharu 2024! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.