Kebakaran di rumah pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham, pagi semalam bukan kejadian “terbakar” tetapi “dibakar”. Ini kesimpulan kenyataan polis. Laporan awal memetik Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya mengesyaki kebakaran itu ada unsur khianat. Pengarah Bomba Perak, Sayani Saidon, juga tidak menolak kemungkinan tindakan khianat berlaku.
Susulan itu media melaporkan polis sedang giat mengesan individu yang melontar bom botol atau molotov cocktail ke rumah Ngeh yang letaknya di Ayer Tawar dekat Ipoh. Menurut polis kejadian itu menyebabkan sebuah kereta Mercedes Benz terbakar, manakala kereta Honda CR-V dan sebuah Toyota Hilux terjejas akibat bahang api. Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).
Mujur tiada kemalangan jiwa. Ngeh dan isteri dikatakan sedang tidur semasa kejadian. Mereka dikejutkan oleh orang yang lalu di kawasan kediaman dengan membunyikan loceng rumah.
Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas mencetus kontroversi tempoh hari berikutan cadangan melantik pakar bukan Islam ke jawatankuasa khas untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah. Beliau dikecam hebat parti politik Melayu-Islam khususnya PAS dan rakannya dalam Perikatan Nasional, Bersatu. Umno yang duduk bersama parti Ngeh dalam kerajaan perpaduan turut mengkritik. Turut menyerang beberapa NGO Melayu. Bukan sekadar ke atas Ngeh tetapi tentulah partinya. Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, pula menyifatkan “sikap Ngeh kegagalan kerajaan”. Tidak perlu diulas kenyataan itu.
Tidak perlu diulang apa kata Ngeh dan apa kata pihak yang menyerang. Hakikatnya serangan sememangnya meluas saban hari dan akhirnya Ngeh menarik balik cadangannya dan memohon maaf. Namun ada pihak yang tidak puas hati masih tidak puas hati. Desakan dibuat supaya tindakan diambil. Ada yang mahu DAP memecat Ngeh.
Adakah insiden kebakaran di rumah Ngeh berkaitan isu kontroversi itu? Adakah tindakan itu akibat isu politik atau didorong kata-kata keras ke atas beliau? Seorang kawan lama yang menyokong sebuah parti politik memberitahu kumpulan WhatsApp yang dianggotainya “tiga kereta Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham musnah dalam kebakaran”. Seorang anggota kumpulan itu, juga seorang kawan lama, memberi respon “begitulah orang ekstremis dalam negara kita”. Mujur polemik panas tidak terjadi.
Mengambil kira cadangan Ngeh serta kejadian yang menimpa meskipun beliau sudah memohon maaf dan menarik kembali cadangannya, memang mudah andaian, teori, dan spekulasi timbul. Namun perlu diingat polis masih menyiasat dan belum mengumumkan motif di sebalik perbuatan yang disyaki khianat itu. Ketua polis Perak meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Sememangnya elok diberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan tunggu hasilnya.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, sependapat dengan polis. Kata beliau, orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi sebaliknya mesti menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya. “Kita serahkan kepada pihak berkuasa siasat menurut undang-undang sedia ada,” kata beliau.
Menurut Fadhli, PAS menegaskan tindakan membakar dan mengkhianati harta individu adalah perbuatan yang tidak boleh diterima. “Walau apapun perbezaan yang berlaku di dalam politik tindakan membakar dan mengkhianati harta individu dan apa lagi melibatkan risiko kehilangan nyawa adalah perbuatan yang tidak diterima.”
Namun, Ngeh meskipun mengaku telah memaafkan orang yang melontar bom botol ke rumahnya, menuding jari ke arah PAS dan Bersatu yang beliau dakwa telah mengapi-apikan supaya orang membencinya. “Mereka mengapi-apikan orang, menghasut orang untuk membenci. Kerana kita tahu akibat kebencian ialah keganasan,” kata beliau sambil menambah beberapa kenyataan pemimpin PAS dan Bersatu jelas meniup kebencian terhadapnya.
Setuju atau tidak terpulang. Sila manfaatkan carian Google untuk tahu apa kata pemimpin PAS dan Bersatu terhadap Ngeh. Inilah hebatnya zaman ini semua maklumat mudah diperolehi.
Semasa artikel ini ditulis, PAS dan Bersatu belum mengeluarkan reaksi terhadap dakwaan Ngeh yang disebut tadi. Yang pasti walaupun api di rumah Ngeh sudah dipadamkan, ‘api’ terus menyala berhubung isu ini. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.