`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, January 26, 2024

Bekas isteri mengaku bunuh pemandu e-panggilan guna gunting

 

Saksi pendakwaan Nurimah Juli mengaku menikam bekas suaminya, Nurman Bakaratu, pada Januari tahun lepas, ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. (Gambar Facebook)

TAWAU: Seorang wanita mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia telah menikam bekas suaminya dengan gunting susulan pertengkaran di dalam kereta di sebuah ladang kelapa sawit pada Januari tahun lepas.

Nurimah Juli, 35, berkata, pada 13 Jan tahun lepas, dia dan mangsa, Nurman Bakaratu, 61, pergi ke ladang kelapa sawit itu menaiki Myvi yang dipandu mangsa untuk berbincang mengenai pernikahan semula mereka.

“Saya ajak arwah Nurman pergi ke ladang itu dan dia tanya ‘apa dan siapa ada di sana’. Saya kata, kau nak nikah sangat dengan saya dan dia cakap ‘ya, saya betul-betul mau nikah sama kau’.

“Saya terus bawa dia ke ladang dan sepanjang perjalanan, kami bertengkar kerana dia cakap dia tidak nampak siapa wali saya (untuk bernikah),” kata Nurimah semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Dia berkata, setelah tiba di ladang kelapa sawit itu pada kira-kira 8 malam, mereka berhenti di tepi jalan dan mangsa marah kepadanya kerana tidak dapat mencari jalan menggunakan aplikasi Google Maps.

Tambahnya, apabila sampai ke satu lokasi, dia ditampar oleh bekas suaminya di muka dan dia naik berang lalu cuba melawan balik.

“Dia kata, ‘Kau ini menipu saja sama saya. Kau tidak mau nikah sama saya’, dan arwah meminta mereka patah balik kerana di situ jalan mati,” katanya.

“Selepas itu, dia cuba pusing balik dan waktu itu dia pukul saya dengan tangan kirinya. Kemudian saya tidak dapat kawal emosi dan terus ambil gunting dalam beg saya dan menikamnya. Tiada sesiapa berada di situ.”

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata demikian pada hari kelapan perbicaraan kes bunuh Nurman membabitkan lapan tertuduh, iaitu bekas Ketua Staf Perisikan Eastern Sabah Security Command (Esscom) Mat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam.

Rosdi Rastam, 45; Denis Anit, 45; Fabian Rungam, 44,; Khairul Azman Bakar, 47; Mohd Azlan Sakaran, 40; John Kennedy Sanggah, 44; dan Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di sini, antara 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Jan tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mat Zaki, 59, pula didakwa dengan dua tuduhan, iaitu bersubahat membunuh Nurman, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Disoal Rohaiza apa tujuan saksi membawa mangsa ke ladang kelapa sawit, Nurimah menjawab: “Pada masa itu, saya tidak pasti apa tujuan sebenar saya, tetapi dia mendesak mahu menikah dan minta wali keluarga, jadi saya tidak tahu buat apa dan kami bergaduh dalam kereta.”

Saksi berkata, pada hari sebelum kejadian, mangsa yang juga seorang pemandu e-panggilan meminta untuk berjumpanya untuk memulangkan telefon yang dirampas mangsa pada 9 Jan di sebuah kelab di Lahad Datu.

“Dia juga merayu ingin merujuk balik dengan saya dan minta untuk bernikah dengan saya. Saya setuju dan cadangkan kami pergi ke Tawau.

“Kami tiba di Tawau pada 12 Jan dan keesokannya, arwah mengajak saya membeli baju dan cincin nikah,” katanya yang sebelum ini bernikah dengan Nurman pada 2017 sebelum bercerai pada 2021.

Apabila ditanya tentang hubungannya dengan mangsa selepas bercerai, wanita itu berkata, hubungan mereka tidak baik dan Nurman masih mengekorinya selepas mereka bercerai.

Mat Zaki bersama tujuh lelaki itu hari ini dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan masing-masing selepas pendakwaan enggan meneruskan kes terhadap mereka susulan keterangan Nurimah yang mengaku membunuh Nurman. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.